Secara umumnya, rawatan kanser merupakan proses yang kompleks serta memerlukan pendekatan multidisiplin yang melibatkan pelbagai kaedah seperti pembedahan, radioterapi dan kemoterapi.
Dalam kebanyakan kes, kemoterapi dan radioterapi sering menjadi antara rawatan utama yang disyorkan oleh doktor.
Namun begitu, kedua-dua rawatan ini mempunyai kaedah serta tujuan yang berbeza dan tidak semestinya sesuai untuk semua jenis kanser.
Takrifan, Kegunaan dan Kesan Sampingan Kemoterapi
Kemoterapi merupakan kaedah rawatan kanser yang menggunakan ubat untuk merencat pertumbuhan sel kanser.
Antara mekanisme tindakan ubat-ubatan kemoterapi ini termasuklah dengan menghalang penghasilan dan aktiviti komponen yang terdapat di dalam sel kanser, seperti DNA (asid deoksiribonukleik) dan RNA (asid ribonukleik).
Rawatan kemoterapi boleh diberikan secara oral atau melalui suntikan seperti intravena (saluran darah), subkutaneus (bawah kulit), intramuskular (otot), atau intratekal (tulang belakang), bergantung kepada jenis ubat dan tahap keadaan pesakit.
Kebiasaannya, rawatan kemoterapi diberikan dengan beberapa tujuan bergantung pada jenis dan peringkat kanser yang dihidapi pesakit, iaitu:
- Sebagai neoadjuvant untuk mengecutkan saiz tumor sebelum rawatan utama (contohnya seperti pembedahan) dijalankan. Kaedah ini membantu memudahkan proses pembedahan serta meningkatkan keberkesanan rawatan seterusnya.
- Sebagai adjuvan untuk rawatan tambahan selepas rawatan utama diberikan bagi menghapuskan sel kanser yang mungkin masih ada di dalam tubuh. Terapi ini kini menjadi rawatan utama bagi kebanyakan kanser peringkat awal, khususnya bagi kanser payudara, paru-paru, kolorektal dan ovari.
- Digabungkan dengan radioterapi bagi meningkatkan keberkesanan rawatan terhadap jenis kanser tertentu. Kombinasi ini sering digunakan untuk merawat kanser pada bahagian kepala dan leher, kanser hati serta kanser kolorektal.
- Sebagai terapi paliatif bagi pesakit kanser yang telah merebak ke organ lain sebagai cara untuk mengawal simptom, memperlahankan perkembangan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Ubat yang digunakan dalam kemoterapi bukan sahaja memberi kesan kepada sel kanser tetapi juga kepada sel badan lain yang membahagi dengan cepat.
Oleh sebab itu, bahagian tubuh yang mempunyai kadar pertumbuhan sel yang tinggi seperti sumsum tulang, saluran pencernaan dan folikel rambut lebih mudah terjejas.
Antara kesan sampingan ubat kemoterapi yang lazim ialah loya, muntah, ulser mulut dan keguguran rambut.
Selain itu, kemoterapi juga boleh menjejaskan sistem imun badan dan meningkatkan risiko jangkitan.
Takrifan, Kegunaan dan Kesan Sampingan Radioterapi
Radioterapi ialah kaedah rawatan kanser yang menggunakan pancaran sinar tenaga tinggi seperti sinar-X, sinar gamma, pancaran elektron atau proton.
Rawatan ini berfungsi untuk merosakkan DNA dalam sel kanser, sekali gus menghalang sel tersebut daripada membahagi dan akhirnya menyebabkan sel-sel tersebut mati.
Rawatan radioterapi terbahagi kepada tiga jenis utama, iaitu radiasi sinar luaran, radiasi dalaman, dan radiasi sistemik.
- Radiasi Sinar Luaran: Jenis rawatan ini menggunakan mesin berteknologi tinggi untuk menghantar sinar tenaga tinggi dari luar tubuh terus ke kawasan tumor. Prosedur ini biasanya tidak memerlukan pesakit dimasukkan ke wad tetapi hanya sebagai pesakit luar ke hospital atau pusat rawatan.
- Radiasi Dalaman (Branchytherapy): Sumber radioaktif akan dimasukkan ke dalam tubuh, sama ada berdekatan atau terus kepada tumor bagi membunuh sel kanser.
- Radiasi Sistemik: Kaedah ini melibatkan pemberian bahan radioaktif melalui mulut atau suntikan ke dalam saluran darah. Bahan tersebut akan bergerak ke seluruh tubuh untuk mengenal pasti dan memusnahkan sel kanser.
Antara jenis kanser peringkat awal yang boleh disembuhkan dengan radioterapi termasuklah kanser kulit, prostat, hati, serviks serta kanser kepala dan leher.
Jenis rawatan radioterapi yang sesuai bergantung pada jenis kanser yang dihidapi dan lokasi tumor tersebut.
Dalam beberapa kes, lebih daripada satu jenis radiasi akan diberikan bagi mengoptimumkan kesan rawatan.
Radioterapi turut digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser sama ada secara tunggal atau digabungkan dengan kemoterapi atau pembedahan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan jenis radioterapi bersifat setempat menyebabkan terapi ini tidak begitu membantu untuk merawat kanser yang telah merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Kesan sampingan radioterapi biasanya hanya terhad kepada tempat radiasi diberikan. Sebagai contoh, radiasi pada kawasan abdomen boleh menyebabkan masalah saluran pencernaan seperti loya, muntah, atau cirit-birit.
Selain itu, radioterapi boleh mengakibatkan rasa letih dan lesu, reaksi kulit seperti masalah kekeringan, kerengsaan dan luka ringan serta keguguran rambut.
Nasihat untuk Pesakit
Keputusan untuk memulakan kemoterapi atau radioterapi untuk rawatan kanser akan dinilai secara menyeluruh oleh doktor berdasarkan beberapa pertimbangan seperti jenis kanser, tahap kanser dan keadaan semasa pesakit.
Pesakit kanser sangat digalakkan untuk memahami perbezaan antara rawatan radioterapi dan kemoterapi, serta tujuan dan kepentingan rawatan yang diberikan.
Penjelasan daripada ahli profesional kesihatan dapat membantu pesakit kekal bermotivasi serta berdisiplin mengikuti pelan rawatan yang telah ditetapkan.
Sekiranya pesakit mengalami kesan sampingan sepanjang rawatan, mereka tidak seharusnya menghentikan atau menangguhkan sesi rawatan tanpa berbincang dengan doktor.
Tindakan sedemikian boleh menjejaskan keberkesanan terapi dan peluang untuk sembuh. Sebaliknya, pesakit hendaklah berbincang dengan ahli profesional kesihatan supaya langkah pengurusan yang bersesuaian dapat diambil termasuk pemberian ubat untuk mengurangkan gejala yang dialami.
Secara keseluruhannya, kemoterapi dan radioterapi memainkan peranan penting dalam rawatan kanser, sama ada sebagai rawatan utama atau tambahan kepada terapi lain. Pesakit disaran agar sentiasa mendapatkan maklumat daripada ahli profesional kesihatan dan sumber yang sahih.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Amjad MT, Chidharla A, Kasi A. Cancer Chemotherapy. [Updated 2023 Feb 27]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: NCBI





