KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pengesanan varian Covid-19 baharu dikenali sebagai XFG di negara ini meskipun jumlah keseluruhan kes harian terus menunjukkan penurunan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 8.2 peratus daripada kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 (EW35) dikenal pasti melibatkan varian XFG.
Beliau menegaskan, walaupun varian baharu itu telah dikesan, situasi semasa terkawal dengan kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan.
“KKM terus memantau perkembangan varian XFG melalui sistem pengawasan genomik dan setakat ini tiada bukti menunjukkan ia menyebabkan peningkatan kadar kematian atau kemasukan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kes baharu Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend menurun dengan purata mingguan kini berada pada tahap lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.
KKM turut menasihati orang ramai supaya kekal berwaspada, mendapatkan vaksinasi penggalak jika layak serta mengamalkan langkah pencegahan asas seperti pemakaian pelitup muka di kawasan sesak dan menjaga kebersihan tangan.





