Kecelaruan Obsesif Kompulsif atau lebih dikenali sebagai OCD ialah penyakit mental yang menyebabkan fikiran atau sensasi yang tidak diingini berulang (obsesi) atau dorongan untuk melakukan sesuatu berulang-kali (kompulsi). Sesetengah orang mempunyai kedua-duanya iaitu obsesi dan kumpulsi.
Penghidap OCD biasanya ingin mengabaikan obsesi mereka. Tetapi tindakan itu hanya membawa kepada rasa tertekan dan keresahan. Akhirnya, mereka terdorong untuk melakukan tindakan kompulsif (paksaan) untuk mengurangkan rasa tertekan mereka.
Menjadi kebiasaan apabila seseorang itu memeriksa dua kali suis ditutup atau tidak, pintu dikunci atau tidak. Kelakuan biasa untuk memastikan keadaan selamat. Tetapi tidak bagi penghidap OCD, mereka akan melakukannya berulang-ulang kali walaupun mereka tidak menginginkannya.
OCD biasanya berpaksikan sesuatu tema. Contohnya seperti rasa takut pada kotoran dan kuman secara melampau. Oleh itu, mereka secara terpaksa (kompulsif) membasuh tangan sehingga sakit atau luka.
Simptom-simptom Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)
Pemikiran obsesif atau kelakuan kompulsif yang melibatkan OCD biasanya berlaku lebih dari satu jam sehari dan mengganggu kehidupan harian.
Obsesi
Obsesi adalah pemikiran berulang, berterusan dan tidak diingini, dorongan atau gambaran yang menganggu dan menyebabkan kesusahan atau keresahan.
Obsesi ini akan menceroboh apabila pesakit berfikir atau ingin melakukan perkara lain.
Gejala atau simptom-simptom obsesi berkisar akan tema-tema berikut:
1. Takut akan kotoran dan kuman.
Contohnya, takut tangan akan kotor jika menyentuh objek yang telah dipegang oleh orang lain.
2. Pemikiran agresif terhadap orang lain atau diri sendiri.
Contohnya, bertindak tidak wajar di khalayak ramai.
3. Mengehendaki benda yang simetri atau disusun sempurna.
Contohnya, stres atau tertekan jika melihat objek tidak disusun dengan teratur atau mengadap ke arah tertentu.
4. Keraguan dan sukar bertolak ansur dengan ketidakpastian.
Contohnya, was-was atau ragu-ragu sama ada telah mengunci pintu atau menutup suis lampu atau belum.
Kompulsi
Kumpulsi ini pula adalah kelakuan yang berulang-ulang yang pesakit rasa terdorong untuk melakukannnya.
Kelakuan ini adalah untuk mengurangkan keresahan akibat obsesi atau bagi mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku.
Gejala atau simptom-simptom kompulsi berkisar akan tema-tema berikut:
1. Membasuh dan membersih.
Contohnya, membasuh tangan sehingga luka.
2. Memeriksa
Contohnya, memeriksa pintu berulang kali untuk memastikan pintu itu dikunci.
3. Tertib
Contohnya, menyusun gelas mengadap pada satu arah tertentu sahaja.
Rawatan dan Terapi Kecelaruan Obsesif Kompulsif
Kebiasaannya,rawatan kepada kecelaruan ini melibatkan psikoterapi dan ubat-ubatan. Gabungan kedua-dua kaedah ini selalunya yang paling berkesan.
Kadangkala penghidap OCD turut menghidapi kecelaruan mental yang lain seperti keresahan, kemurungan dan kecelaruan dismorfik tubuh.
Ubat-ubatan
Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs) adalah antara ubat yang boleh membantu mengurangkan simptom-simptom OCD.
Ubat antidepresi juga boleh membantu bagi membantu mengurangkan simptom yang berkaitan dengan kemurungan dan OCD.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa ubat antipsikotik bertindak balas dengan baik dalam membantu mengawal simptom-simptom pesakit OCD.
Namun, kajian keberkesanannya masih bercampur-campur.
Psikoterapi
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah antara terapi yang berkesan kepada kebanyakan pesakit OCD.
Pencegahan pendedahan dan tidak balas adalah salah satu jenis terapi CBT yang mendedahkan pesakit kepada situasi yang boleh menyebabkan kompulsif tetapi dicegah daripada bertindak seperti biasa.
Kaedah ini boleh mengurangkan kelakuan kompulsif dalam kalangan pesakit OCD.
Penyebab Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD)
Penyebab sebenar kepada OCD adalah tidak diketahui. Tetapi pengkaji percaya bahawa OCD ini disebabkan oleh sesetengah bahagian otak tidak bertindak balas secara normal terhadap serotonin.
Genetik juga dipercayai turut menyumbang kepada OCD. Sekirannya, ada ahli keluarga menghidap OCD,terdapat potensi untuk ahli keluarga lain turut menghidapi OCD.
Rujukan
- National Institute of Mental Health. (2019). Obsessive-Compulsive Disorder. NIMH [diakses pada 9 September 2020].
- Mayo Clinic Staff. (2020). Obsessive-compulsive disorder (OCD). MayoClinic [diakses pada 9 September 2020].
- Dana Robinson. (2020). Everything You Want to Know About Obsessive Compulsive Disorder. Healthline [diakses pada 9 September 2020].