Alahan berlaku hasil daripada sistem imun yang bereaksi berlebihan. Akibatnya berlakulah gejala-gejala alahan yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan. Bagi mengatasi masalah ini, ubat alahan adalah jawapannya.
Secara umumnya, terdapat kira-kira 5 jenis ubat alahan yang boleh membantu mengurangkan atau melegakan gejala-gejala yang di alami.
Sesetengah ubat alahan ini boleh didapati melalui belian kaunter, bermakna ia boleh dibeli di farmasi atau kedai ubat tanda preskripsi atau ketetapan oleh doktor.

Manakala, sesetengah yang lain terutamanya ubat yang kuat memerlukan preskripsi daripada doktor terlebih dahulu.
Berikut adalah 5 jenis ubat alahan yang lazimnya digunakan untuk merawat gejala-gejala alahan (alergi):
1. Antihistamin
Antihistamin adalah ubat yang selalunya digunakan untuk merawat alahan. Ia menentang kesan histamin, bahan yang dihasilkan oleh badan untuk membantu sistem imun melawan penceroboh seperti virus.
Histamin boleh mencetuskan bengkak dan menyebabkan saluran darah mengembang. Ini membawa kepada gejala-gejala seperti bersin, hidung berair, dan mata gatal.
Antihistamin dijual dalam bentuk tablet,cecair, semburan hidung , krim atau titis mata. Ubat antihistamin ini boleh didapati secara belian kaunter atau preskrepsi.
Bagi ubat antihistamin yang lebih lama seperti diphenhydramine dan chlorphenamine. Ubat-ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
- Mengantuk
- Mulut kering
- Penglihatan kabur
- Sekatan kencing
Manakala, bagi ubat antihistamin yang lebih baru ia kurang menyebabkan kesan sampingan kecuali cetirizine.
Antara kesan sampingan yang lazimnya disebabkan ubat antihistamin baru ini adalah:
- Sakit kepala
- Mulut kering
- Loya dan lesu
- Mengantuk (kurang daripada antihistamin lama)
Sesiapa yang hamil atau mempunyai masalah kesihatan harus berjumpa dengan doktor sebelum menggunakan antihistamin.
2. Nasal Kortikosteroid
Nasal kortikosteroid ialah ubat preskripsi yang boleh mengurangkan keradangan akibat daripada tindak balas alahan.
Ubat ini biasanya dalam bentuk semburan dan boleh melegakan gejala-gejala seperti hidung tersumbat, bersin atau hidung berair.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku akibat penggunaan ubat ini adalah:
- Gatal-gatal, kemerahan dan bengkak dalam hidung
- Rasa menyengat dan terbakar dalam hidung
- Hidung berdarah
- Rasa yang luar biasa dalam mulut
- Kekeringan dan berkerak dalam hidung
- Kekeringan dan iritasi dalam tekak
3. Dekongestan
Dekongestan boleh membantu membersihkan hidung tersumbat dan kesesakan sinus. Ubat ini mengecutkan saluran darah di dalam hidung dan membuka saluran hidung.
Dekongestan boleh didapati secara belian kaunter dalam bentuk:
- Semburan hidung
- Pil atau kapsul
- Sirup atau cecair
- Titisan
- Serbuk untuk dilarutkan dalam air
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah:
- Mengantuk
- Sakit kepala
- Mulut kering
- Ruam
- Iritasi dalam hidung
- Kegelisahan
4. Epinefrin
Epinefrin yang disuntik secara automatik boleh merawat tindak balas alahan yang boleh mengancam nyawa iaitu anafilaksis.
Sesiapa yang mempunyai gejala-gejala ini harus menerima rawatan perubatan, tidak kira sama ada mereka telah menggunakan epinefrin.
Ubat preskripsi ini boleh membalikkan gejala-gejala anafilaksis yang boleh membawa maut seperti kesukaran bernafas, bengkak di tekak dan nadi yang lemah.
Ubat epinefrin ini perlu disuntik ke dalam otot paha. Kesannya adalah pantas tetapi tidak bertahan lama. Kesan ubat ini akan berkurangan sebanyak 50% selepas 5 minit ia digunakan.
5. Imunoterapi
Matlamat imunoterapi adalah untuk membina imuniti terhadap alergen dengan memasukkan sejumlah kecil alergen ke dalam badan dari semasa ke semasa.
Imunoterapi diberikan melalui suntikan atau meletakkan sejumlah kecil alergen di bawah lidah.
Sesetengah orang mendapati bahawa rawatan ini membantu mengurangkan tindak balas alahan mereka.
Ia juga boleh membantu menamatkan alahan atau menghentikan tindak balas kecil daripada menjadi teruk.
Pada peringkat awal, anda perlu mendapatkan suntikan sekali seminggu selama kira-kira 7 bulan. Kemudian, setiap 2 minggu.
Apabila imuniti anda telah meningkat, anda mungkin memerlukan suntikan hanya sekali setiap 4 minggu. Rawatan mungkin perlu diteruskan selama 3-5 tahun.
Rumusan
Gejala-gejalan alahan boleh berlaku antara ringan hingga teruk, dan terdapat pelbagai cara untuk merawat dan mencegahnya.
Ubat-ubatan seperti antihistamin, nasal kortikosteroid dan dekongestan boleh mengurangkan gejala-gejala ringan. Bagi tindak balas alahan yang teruk, suntikan epinefrin boleh menyelamatkan nyawa.