Sebelum mengetahui cara merawat insomnia, adalah penting untuk kita ketahui punca dan simptom kepada penyakit ini. Insomnia dalam bahasa mudahnya adalah sukar untuk tidur atau tidak cukup tidur.
Gangguan ini boleh terjadi pada satu jangka masa pendek (akut) atau dalam satu jangka masa yang panjang (kronik).
Insomnia akut berlaku dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu dan ia biasanya tidak melibatkan masalah kesihatan yang lain.
Manakala, insomnia kronik pula berlaku sekurang-kurangnya selama sebulan atau lebih dan berkait rapat dengan masalah kesihatan yang lain seperti kemurungan, asma, kanser, artritis, ubat-ubatan atau arak.
Punca atau Penyebab Berlakunya Insomnia
Insomnia akut boleh berpunca daripada tekanan (stres) yang berkaitan dengan peristiwa besar yang berlaku pada diri seseorang. Contohnya seperti kehilangan pekerjaan, perceraian dan kematian ahli keluarga atau orang yang disayangi.
Insomnia akut boleh juga disebabkan oleh perubahan syif kerja atau tabiat tidur.
Insomnia kronik pula boleh berpunca daripada banyak perkara termasuklah:
- Tekanan. Masalah kewangan, tempat kerja, sekolah, keluarga dan kesihatan boleh menjadi penyumbang.
- Jadual kerja dan perjalanan rentas negara yang berbeza zon waktu.
- Tabiat tidur. Tabiat tidur yang tidak mengikut waktu, menonton tv, bermain permainan video atau bermain telefon pintar sebelum tidur juga boleh menganggu kitaran tidur.
- Makan terlalu banyak sebelum tidur.
- Kesihatan mental. Gangguan kkeresahan atau kemurungan juga boleh mengganggu tidur seseorang.
- Penggunaan ubat tertentu. Ubat yang dipreskripsi seperti ubat kemurungan, asma atau tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur.
- Masalah kesihatan. Penyakit seperti kanser, asma, penyakit jantung, kencing manis, tiriod, GERD, Parkinson dan Alzheimer adalah antara penyakit yang dikaitkan dengan insomnia.
- Apnea tidur. Apnea tidur menyebabkan pernafasan anda terhenti untuk sementara waktu semasa tidur, ia turut boleh mengganggu tidur anda.
- Arak, rokok dan kopi. Ketiga-tiga bahan ini boleh menganggu tidur kerana mengandungi bahan perangsang seperti nikotin dan kafein.
Simptom atau Gejala Insomnia
Beberapa simptom yang akan dialami atau dilihat oleh individu yang menghidapi gangguan ini adalah seperti berikut:
- Kesukaran untuk melelapkan mata.
- Terjaga ditengah-tengah malam.
- Terjaga terlalu awal.
- Rasa letih sewaktu bangun tidur.
- Mengantuk dan letih di siang hari.
- Kemurungan, keresahan dan rasa tidak selesa.
- Sukar untuk memberi tumpuan atau sering lupa.
- Sentiasa rasa bimbang mengenai tidur.
Rawatan Insomnia
Terdapat beberapa cara untuk merawat insomnia sama ada melalui terapi atau ubat yang dipreskripsi.
Bagi rawatan insomnia akut, pil tidur yang dipriskripsi oleh doktor mungkin diperlukan sekiranya anda mengalami keletihan atau kelesuan di siang hari untuk melakukan aktviti harian.
Jika tidak, insomnia jenis ini mungkin tidak memerlukan rawatan. Cukup sekadar mengubah tabiat tidur, mengurus tekanan atau masalah yang dihadapi dengan baik dan meninggalkan minuman serta makanan yang boleh mengganggu tidur.
Rawatan Terapi
Bagi insomnia kronik pula, terapi tingkah laku kognitif adalah cara merawat insomnia yang pertama dicadangkan.
Terapi ini melibatkan pendidikan dan latihan yang membantu anda mengubah cara hidup yang boleh mengganggu tidur anda. Terapi ini boleh membantu menyingkirkan pemikiran negatif dan kebimbangan yang membuatkan anda berjaga.
Rawatan Ubat-ubatan
Kadang-kadang ubat-ubatan mungkin diperlukan untuk merawat insomnia. Pil tidur yang dipreskripsi boleh membantu anda untuk tidur. Namun begitu, pesakit tidak disarankan untuk bergantung kepada ubat ini pada jangka masa yang lama.
Antara ubat-ubatan yang boleh digunakan adalah:
- Eszopiclone (Lunesta)
- Ramelteon (Rozerem)
- Zaleplon (Sonata)
- Zolpidem (Ambien, Edluar, Intermezzo, Zolpimist)
Harus diingat juga bahawa ubat-ubatan yang dipreskripsi ini mempunyai kesan sampingan. Berbincanglah dengan doktor sebelum menggunakannnya.
Rawatan Dirumah Untuk Insomnia
Insomnia adalah gangguan yang boleh diubati. Resepi asasnya adalah disiplin dan konsisten.
Beberapa petua atau cara yang boleh diamalkan untuk merawat insomnia adalah seperti berikut:
- Tidur dan bangun pada waktu yang sama. Amalan tidur dan bangun pada waktu yang sama pada setiap hari boleh mengelakkan gangguan pada kitaran tidur.
- Kenalpasti ubat anda. Rujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan pengesahan sekiranya anda mengesyaki ubat anda menyebabkan anda sukar tidur.
- Hindari minuman berkafein, arak dan rokok. Hindari atau kurangkan 3 perkara ini pada waktu malam untuk memudahkan anda tidur malam.
- Jangan makan berat sebelum tidur. Sila makan malam sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur.
- Kurangkan tidur disiang hari.
- Jadikan bilik tidur selesa untuk tidur.
- Menggunakan kaedah aromaterapi. Aromaterapi menggunakan minyak pati lavender boleh membantu tidur yang lebih lama.
Susah Tidur Ketika Mengandung
Insomnia ketika mengandung adalah perkara biasa. Lebih-lebih lagi ketika kandungan berada pada fasa trimester pertama dan ketiga.
Perubahan hormon, loya, sakit belakang, kejang otot dan kerap membuang air kecil juga merupakan beberapa faktor yang sering dialami oleh wanita hamil.
Adalah normal bagi seseorang wanita hamil mengalami insomnia kerana dalam tempoh ini badan mengalami banyak perubahan. Beberapa amalan yang boleh membantu menangani masalah sukar tidur ini adalah seperti berikut:
- Kekal aktif seperti melakukan senaman ringan.
- Mengamalkan diet yang sihat.
- Minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
- Tidur pada waktu yang sama setiap hari.
Golongan Yang Berisiko
Pada asasnya, semua orang berisiko untuk mengalami masalah sukar tidur atau insomnia.
Namun, 5 golongan ini lebih berisiko menghidapi insomnia:
- Berusia lebih 60 tahun. Golongan ini berisiko kerana mengalami banyak perubahan pada corak tidur dan kesihatan.
- Wanita atau perempuan. Perubahan hormon semasa haid dan putus haid (menopaus) boleh menyebabkan gangguan tidur.
- Mempunyai masalah kesihatan mental dan fizikal. Masalah kesihatan mental dan fizikal turut menjadi penyumbang kepada insomnia.
- Jadual kerja yang tidak teratur. Pekerja yang mempunyai syif tidak teratur dan sering melakukan perjalanan rentas negara akan mengalami gangguan tidur kerana kitaran tidur – bangun yang tidak teratur.
- Mengalami tekanan (stres). Tekanan biasa akan menyebabkan insomnia akut yang bersifat sementara. Walau bagaimanapun, jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada insomnia kronik.
Rumusan
Merawat insomnia pada asasnya tidak susah. Peringkat awal adalah melakukan perubahan dalam gaya hidup harian kita.
Wujudkan suasana positif dan berdisiplin dalam melakukan perubahan dalam diri kita. Sekiranya pelbagai cara telah dilakukan namun tiada perubahan yang dialami, sila dapatkan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. 2016 . Insomnia. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/insomnia/symptoms-causes/syc-20355167 [24 Jun 2020].
- Melinda Ratini. 2020. Insomnia. https://www.webmd.com/sleep-disorders/insomnia-symptoms-and-causes [24 Jun 2020].
- Koulivand, P.H. et al. (2013). Lavender and the Nervous System. Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine.
- Editorial Team & Karen Lamareux. 2020. Everything You Need to Know About Insomnia. https://www.healthline.com/health/insomnia [25 Jun 2020].
- Roth T. (2007). Insomnia: definition, prevalence, etiology, and consequences. Journal of clinical sleep medicine.