Apa itu Faraj Berbau?
Faraj atau vagina berbau adalah sebarang bau yang datangnya daripada faraj. Ia mungkin bau yang dikeluarkan oleh rembesan faraj yang sihat atau bau yang tidak menyenangkan akibat daripada jangkitan.
Bau faraj juga boleh berubah sepanjang kitaran haid atau ketika anda hamil atau menopaus.
Seperti anggota badan yang lain, faraj juga mempunyai bau yang tersendiri. Bau ini bergantung kepada tahap hidrasi badan, makanan yang dimakan, ubat-ubatan dan status kesihatan.
Namun, bau yang menjadi satu kekhuatiran adalah bau yang busuk atau tidak menyenangkan.

Punca yang Menyebabkan Faraj Berbau
Rembesan semula jadi dari tisu faraj anda sering menghasilkan bau. Ini adalah perkara biasa dan boleh dijangka. Namun, kadangkala bau itu didapati lebih kuat daripada biasa.
Beberapa punca yang boleh menyebabkan bau faraj yang kuat dan tidak normal adalah:
- Berpeluh
- Jangkitan bakteria (bacterial vaginosis)
- Kebersihan yang kurang
- Tidak menukar pad atau tampon
- Pemakanan (diet)
- Menyembur faraj (douching)
- Perubahan hormon
- Trikomoniasis (jangkitan parasit)
Selain itu, dalam kes-kes yang terpencil, bau faraj juga boleh disebabkan oleh masalah perubatan seperti:
- Kanser faraj
- Kanser serviks
- Fistula rektovagina
Rawatan Faraj Berbau
Rawatan faraj berbau boleh dibahagikan kepada dua iaitu rawatan di rumah atau ubat-ubatan yang bergantung kepada penyebab atau puncanya.
Rawatan Di rumah
Sekiranya faraj anda mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dan tidak diikuti gejala-gejala lain, anda mungkin boleh cuba merawatnya sendiri.
1. Menjaga Kebersihan Diri
Menjaga kebersihan badan seperti kerap mandi boleh membantu mengatasi masalah faraj berbau.
Peluh, kulit mati atau kotoran yang boleh menjejaskan bau ketiak, boleh juga menjejaskan bau faraj anda.
Mengekalkan amalan kebersihan harian boleh membantu mengelakkan pengumpulan bau yang anda tidak suka.
2. Berhenti Membersihkan Dalam Faraj
Faraj anda adalah anggota badan yang boleh membersihkan diri mereka sendiri. Oleh itu, anda tidak perlu membersihkan sehingga ke dalam lubang faraj anda. Cukup sekadar membersihkan bahagian luaran sahaja.
Saluran faraj anda mempunyai bakteria yang berperanan menjaga kebersihan saluran tersebut. Membasuh sehingga ke dalam saluran faraj ini bukan sahaja tidak perlu tetapi boleh membahayakan.
Sekiranya anda membasuh menggunakan sabun, ia boleh mengganggu bakteria semula jadi dan pH pada saluran faraj tersebut.
Akibatnya, anda berisiko untuk dijangkiti oleh bakteria jahat yang menyebabkan jangkitan seperti bacterial vaginosis yang seterusnya menyebabkan bau yang tidak menyenangkan.
3. Semak Produk Penjagaan Diri yang Digunakan
Perubahan terhadap sabun mandi, seluar dalam atau pakaian ketat yang dipakai boleh mempengaruhi bau faraj anda.
Semak kembali perubahan manakah yang dilakukan oleh anda yang menyebabkan faraj anda mula mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
Elakkan produk kebersihan wanita seperti pad, tampon atau tisu tandas yang mempunyai pewangi. Produk yang mempunyai pewangi ini boleh menjejaskan ekosistem di faraj anda.
4. Kekal Terhidrat
Meminum air yang mencukupi adalah baik untuk kulit anda. Ia turut membantu kesihatan faraj anda juga.
5. Pemakanan yang Seimbang dan Sihat
Pemakanan seimbang dan sihat seperti makanan yang tinggi dengan sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, bijian penuh dan protein tanpa lemak boleh menyebabkan bau badan yang lebih lembut berbanding makanan segera.
Tetapi, harus diingat, terdapat sesetengah makanan yang mempunyai bau yang kuat. Makanan-makanan jenis ini boleh memberi impak terhadap bau badan termasuklah bau faraj anda.
Makanan seperti bawang, bawang putih, asparagus, ubi bit, kari dan minuman seperti alkohol harus dikurangkan dan dielakkan sekiranya anda ingin bau faraj anda kembali normal.
2. Ubat-ubatan
Sekiranya bau faraj anda tersebut disebabkan jangkitan bakteria seperti bacterial vaginosis, jangkitan saluran kencing (kencing kotor) atau jangkitan yis, doktor atau ahli profesional kesihatan akan membekalkan antibiotik kepada anda.
Selain itu, faraj berbau boleh juga disebabkan oleh jangkitan penyakit hubungan (akibat hubungan seks) seperti trikomoniasis, Chlamydia dan gonorea.
Jangkitan seperti ini juga boleh disembuhkan melalui ubat antibiotik yang dipreskripsi oleh ahli profesional kesihatan.