Bau badan sudah pasti akan mengganggu dan boleh menjejaskan penampilan anda. Jadi, bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Sebagai panduan terdapat beberapa petua atau cara menghilangkan bau badan yang boleh dicuba.
Bau badan berlaku apabila peluh bertemu dengan bakteria yang berada pada lapisan kulit. Ia akan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan.
Sebenarnya, peluh anda tidak berbau, tetapi bakteria menggunakannya sebagai tempat untuk membiak. Bau yang terhasil itu adalah hasil daripada penguraian protein keratin pada permukaan kulit oleh bakteria.

Sebab-sebab Badan Berbau
Bau badan bermula apabila seseorang itu mencapai akil baligh. Ini disebabkan oleh peningkatan hormon yang dipanggil androgen. Hormon ini hanya aktif apabila seseorang itu telah mencapai akil baligh.
Apabila hormon androgen ini telah aktif, beberapa faktor berikut boleh menyebabkan bau badan anda bertambah teruk:
- Senaman yang berat
- Mempunyai berat badan berlebihan
- Perubahan hormon
- Cuaca panas
- Menghidap penyakit kencing manis, penyakit hati atau buah pinggang
- Ubat antidepresan
- Memakan bawang putih, kari, bawang merah serta makanan berlemak dan berminyak
Petua atau Cara Menghilangkan Bau Badan
Petua 1
Mandi sekurang-kurangnya 2 kali sehari boleh membasuh peluh dan bakteria yang berada pada kulit. Gunakan sabun antibakteria untuk menghilangkan bakteria yang boleh menyebabkan bau badan.
Adalah penting untuk anda memastikan tubuh anda dikeringkan dengan betul selepas mandi terutamanya bahagian yang banyak berpeluh.
Apabila badan anda benar-benar kering, bakteria yang menyebabkan bau badan akan sukar untuk membiak.
Petua 2
Petua yang seterusnya adalah menggunakan daun dan buah limau purut.
Ambil 10 helai daun limau dan 5 biji buah limau purut. Daun limau purut ini kemudiaanya dihiris halus, manakala buah limau purut pula dipotong 4. Kemudian, masukkan bahan-bahan ini ke dalam satu baldi air suam.
Ramaskan daun limau purut dan perahkan buah limau purut untuk mengeluarkan airnya. Gunakan air tersebut sebagai bilasan terakhir semasa mandi.
Gunakan daun dan buah limau purut yang dicampurkan dalam baldi tadi untuk menggosok seluruh badan bagi meninggalkan kesan bau wanginya.
Petua 3
Sekiranya badan anda berbau terutamanya di bahagian ketiak. Amalkan petua berikut:
- Semasa mandi, gosok bahagian ketiak di atas kepala lutut.
- Kemudian, setiap kali selepas mandi, sapu dengan belakang tapak tangan pada bahagian bawah ketiak.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan uncang teh hijau yang telah digunakan. Caranya adalah merendam uncang teh tersebut di dalam air suam, kemudian letakkan uncang teh yang telah direndamkan tadi di bawah ketiak anda selama beberapa minit. Amalkan setiap hari.
Teh hijau boleh menutup liang roma dan mengurangkan peluh.
Petua 4
Petua berikutnya adalah mengelak daripada memakan makanan yang tinggi sulfur yang boleh menyebabkan bau badan.
Sesetengah makanan boleh menjejaskan bau badan anda. Tambahan daripada itu juga, makanan yang pedas dan berempah juga boleh menyebabkan anda lebih banyak berpeluh.
Antara makanan yang tinggi sulfur adalah:
- Bawang merah atau bawang besar
- Bawang putih
- Kubis
- Kubis bunga
- Brokoli
- Daging merah
Selain itu, terdapat juga makanan lain yang boleh mencetuskan bau badan iaitu:
- Rempah kari atau jintan
- Monosodium glutamate (MSG)
- Kafein
- Makanan pedas
- Alkohol
Petua 5
Mandian menggunakan jus tomato juga boleh membantu menghilangkan bau badan.
Apa yang anda perlukan adalah 2 cawan jus tomato (tomato yang dikisar) dan 1 baldi air suam. Campurkan jus tomato tersebut ke dalam baldi air suam.
Mandi menggunakan air campuran tersebut atau masukkan ke dalam tub mandi dan berendam selama 20-30 minit. Amalkan 3 atau 4 kali seminggu.
Sifat asid tomato boleh membunuh bakteria yang terdapat pada kulit manakala sifat astringennya mengecilkan liang roma dan mengurangkan pengeluaran peluh.
Rumusan
Bau badan berlaku akibat peluh dan bakteria yang terdapat pada kulit. Terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan bau badan bertambah buruk.
Terdapat beberapa petua menghilangkan bau badan yang boleh diamalkan bagi membantu mengurangkan atau menghilangkan bau badan yang mudah dan berkesan seperti amalan mandi sekurang-kurangnya 2 kali sehari, menggunakan limau purut dan lain-lain.