Batuk berpanjangan mungkin menjejaskan kehidupan harian anda. Batuk ini juga mungkin turut menganggu tidur anda dan menyebabkan anda berasa letih.
Apa itu Batuk Berpanjangan (Kronik)?
Batuk berpanjangan atau turut dikenali sebagai batuk kronik ialah batuk yang berlaku selama lebih daripada 8 minggu dan 4 minggu bagi kanak-kanak.
Batuk kronik bukanlah penyakit tetapi ia lebih kepada simptom yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain.
Kes batuk kronik yang teruk boleh menyebabkan muntah, pening dan juga patah tulang rusuk.
Batuk mungkin menyebabkan ketidakselesaan, tetapi ia sebenarnya mempunyai tujuan yang berguna. Apabila anda batuk, anda membawa lendir dan bahan asing dari saluran pernafasan yang boleh merengsakan paru-paru anda.
Batuk juga boleh menjadi tindak balas kepada keradangan atau penyakit.
Simptom-simptom atau Tanda Batuk Berpanjangan
Batuk yang berpanjangan boleh berlaku bersama-sama simptom atau tanda lain seperti:
- Hidung berair atau tersumbat
- Titis postnasal
- Sakit tekak
- Kerap berdeham
- Suara serak
- Pedih hulu hati
- Berdehit
- Sesak nafas
- Batuk berdarah (kes terpencil)
Punca-punca yang Menyebabkan Batuk Berpanjangan
Batuk sekali-sekala adalah perkara biasa, ia membantu membersihkan perengsa dan rembesan daripada paru-paru anda dan mencegah jangkitan.
Walau bagaimanapun, batuk yang berterusan selama berminggu-minggu biasanya disebabkan oleh masalah perubatan. Dalam banyak kes, lebih daripada satu punca terlibat.
Punca-punca berikut, secara bersendirian atau kombinasi, bertanggungjawab untuk kebanyakan kes batuk berpanjangan:
Keadaan Pernafasan
- Asma: Asma adalah antara punca yang kerap menyebabkan batuk kronik. Selain batuk, anda juga mungkin mengalami sesak nafas atau berdehit.
- Bronkitis: Keadaan ini menyebabkan batuk akibat keradangan pada bronkus iaitu saluran udara yang membawa udara ke paru-paru. Ia turut menyebabkan peningkatan penghasilan mukus (lendir).
- Bronkiektasis: Keadaan ini menyebabkan batuk kerana lendir terkumpul dan tisu paru-paru menjadi lebih tebal.
- Penyakit penghalang pulmonari kronis (COPD): Penyakit paru-paru radang kronik yang menyebabkan aliran udara terhalang dari paru-paru, termasuk bronkitis kronik dan emfisema.
- Titis postnasal: Apabila hidung atau sinus anda mengeluarkan mukus tambahan, ia boleh menitis ke bahagian belakang tekak anda dan mencetuskan refleks batuk.
- Jangkitan: Jangkitan virus boleh menyebabkan demam, selesema dan pneumonia yang hadir dengan simptom seperti batuk.
Alahan
Alahan seperti rinitis alergi boleh mengakibatkan batuk kering yang berpanjangan. Anda lebih berkemungkinan mengalami batuk berpanjangan jika anda alah kepada habuk, kulapok, debunga, bulu haiwan peliharaan atau alergen yang lain.
Jangkitan
Sesetengah jangkitan yang boleh menyebabkan batuk berpanjangan adalah:
- Tuberkulosis (Tibi)
- Batuk kokol
- Jangkitan kulat di paru-paru
- Jangkitan bakteria
Perencat ACE
Batuk berpanjangan juga boleh menjadi kesan sampingan kepada kumpulan ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi yang dikenali sebagai perencat enzim pengubah angiotensin (perencat ACE).
Kumpulan ubat ini juga turut digunakan untuk mencegah kerosakan buah pinggang sekiranya anda menghidap diabetes.
Antara contoh perencat ACE adalah:
- Benazepril
- Captopril
- Enalapril
- Fosinopril
- Lisinopril
- Ramipril
Jika anda mengalami batuk berpanjangan dan mengambil salah satu daripada ubat ini, anda tidak sepatutnya berhenti mengambil ubat itu sendiri.
Sebaliknya, maklumkan kepada doktor anda tentang perkara yang sedang berlaku. Mereka mungkin mengesyorkan ubat yang berbeza.
Kanser
Ramai orang bimbang bahawa batuk berpanjangan bermakna mereka mempunyai kanser. Walaupun batuk berpanjangan kadangkala boleh menunjukkan kanser paru-paru atau kanser saluran pernafasan atas, ia bukanlah penyebab yang utama.
Bagaimana Batuk Ini Didiagnosis?
Untuk mendiagnosis batuk berpanjangan dan menentukan puncanya, ahli profesional kesihatan akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanya tentang simptom-simptom anda.
Mereka juga mungkin mengesyorkan beberapa ujian seperti:
- Ujian makmal
- Ujian fungsi paru-paru
- Ujian pengimejan seperti sinar-X, imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau MRI.
Bagaimana untuk Menghentikan Batuk Berpanjangan?
Menentukan punca batuk berpanjangan adalah penting untuk rawatan yang berkesan. Ahli profesional kesihatan atau doktor anda akan membincangkan pelan rawatan yang disesuaikan berdasarkan keperluan unik anda.
Antara pilihan rawatan yang ada adalah:
- Dekongestan: Untuk melegakan titisan postnasal.
- Semburan hidung: Untuk mengurangkan bersin, hidung berair dan gejala alahan yang lain.
- Steroid atau bronkodilator yang disedut: Untuk mengurangkan keradangan saluran pernafasan yang disebabkan oleh asma.
- Antibiotik: Untuk jangkitan seperti pneumonia akibat bakteria, sinusitis atau bronkitis.
- Menukar ubat atau dos tertentu.
- Penyekat asid: Apabila perubahan gaya hidup tidak berkesan untuk menyekat refluks asid, anda mungkin dirawat dengan ubat-ubatan yang menyekat penghasilan asid.
Kesan Jika Batuk Ini Tidak Dirawat
Batuk berpanjangan boleh menjejaskan kehidupan sehingga mengganggu rutin harian anda.
Antara kesan atau komplikasi akibat batuk ini adalah:
- Gangguan tidur (insomnia)
- Sakit kepala
- Pening
- Muntah
- Peluh berlebihan
- Inkontinens air kencing
- Patah tulang rusuk
- Perdarahan kecil di dalam mata
- Hernia
- Pitam atau pengsan
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2019). Chronic cough. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Chronic cough. Cleveland Clinic