Apa itu Batuk Berdarah?
Batuk berdarah atau secara perubatannya dikenali sebagai “hemoptysis” mungkin menakutkan dan membimbangkan. Ia juga boleh membuatkan anda keliru kerana anda tidak tahu darah itu datangnya daripada mana.
Adakah ia datang daripada saluran hidung, esofagus (tiub makan), trakea (tenggorok), paru-paru atau perut?
Batuk darah adalah perkara biasa dan boleh disebabkan oleh banyak punca. Kebanyakan punca tidak serius. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu rawatan kecemasan jika anda batuk dengan darah yang banyak.

Potensi Penyebab kepada Batuk Berdarah
Beberapa isu yang berbeza boleh menyebabkan anda batuk darah, daripada kerengsaan tekak hingga kanser paru-paru.
Antara penyebab atau punca yang banyak berlaku adalah seperti berikut:
- Jangkitan respiratori ringan (jangkitan saluran pernafasan ringan)
- Batuk yang teruk
- Asma
- Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)
- Pneumonia (radang paru-paru)
- Bronkitis
- Bronchiectasis
- Kecederaan dada
- Kanser paru-paru
Penyebab utama batuk berdarah di seluruh dunia adalah penyakit tibi (tuberkulosis).
Terdapat beberapa punca yang berpotensi serius untuk batuk berdarah. Ia memerlukan rawatan perubatan segera. Contohnya adalah:
- Kegagalan jantung yang teruk
- Kecederaan arteri dalam paru-paru
- Pengumpulan tisu-tisu yang tidak normal
- Darah tersumbat dalam paru-paru
- Cystic fibrosis
Ujian dan prosedur perubatan tertentu juga boleh mempunyai kesan sampingan yang membawa kepada batuk berdarah. Ujian dan prosedur ini termasuk:
- Pembedahan hidung
- Biopsi saluran udara atas
- Tonsillectomy
- Bronchoscopy
- Spirometry
- Laryngoscopy
Punca atau Penyebab Bagi Kanak-kanak
Batuk berdarah pada kanak-kanak cenderung mempunyai punca yang berbeza daripada orang dewasa. Penyebab yang paling biasa adalah jangkitan pernafasan seperti radang paru-paru, bronkitis, dan penyakit tibi.
Penyakit jantung adalah punca kedua paling biasa pada kanak-kanak.
Bila Perlu Pergi ke Hospital untuk Mendapatkan Rawatan Kecemasan?
Adalah penting untuk mendapatkan rawatan sekiranya anda batuk berdarah kerana ia boleh menjadi tanda kepada penyakit pernafasan yang serius.
Sila dapatkan rawatan segera (rawatan kecemasan) sekiranya:
- Anda batuk berdarah akibat daripada jatuh atau cedera pada bahagian dada
- Anda batuk dengan darah lebih daripada satu sudu teh darah
- Selain batuk berdarah, terdapat juga darah dalam air kencing atau najis
- Anda turut mengalami gejala-gejala berikut selain daripada batuk berdarah:
- Sakit dada
- Demam
- Pening kepala
- Sukar bernafas
Batuk dengan darah sehingga 100 sentimeter padu iaitu kira-kira 1/3 cawan dipanggil “massive hemoptysis.” Ia boleh membawa maut.
Buat panggilan kepada 999 sekiranya anda batuk berdarah yang banyak, jangan memandu sendiri atau minta orang lain untuk membawa anda ke hospital.
Apa yang Anda Perlu Perhatikan Apabila Batuk Berdarah?
Darah yang anda batuk selalunya kelihatan berbuih dan bercampur dengan lendir atau ludah.
Warna darah tersebut boleh kelihatan seperti merah jambu, merah atau berwarna karat dan biasanya dalam jumlah yang kecil.
Perdarahan dari mulut (Contohnya dalam kes luka) tidak sama dengan batuk berdarah. Jika anda mengalami pendarahan dari mulut anda, anda mungkin menyedarinya semasa memberus gigi atau selepas makan.
Perbezaan Antara Batuk Berdarah dengan Muntah Darah
Batuk berdarah (hemoptysis) tidak sama dengan muntah darah (hematemesis).
Darah daripada batuk berdarah biasanya kelihatan seperti ludah berlumuran darah atau darah bercampur lendir. Darah tersebut datang dari kerongkong atau mulut anda.
Muntah darah pula melibatkan memuntahkan darah dalam kuantiti yang banyak. Ia biasanya melibatkan perdarahan dalaman dalam saluran gastrousus (GI) atas anda.
Ujian yang Mungkin Dilakukan untuk Mencari Punca yang Menyebabkan Batuk Berdarah
Untuk mengetahui punca yang menyebabkan anda batuk berdarah, ahli profesional kesihatan (doktor) akan melakukan beberapa ujian seperti:
- Pemeriksaan fizikal termasuklah perbincangan mengenai gejala-gejala dan keupayaan untuk anda bernafas
- Ujian darah
- Ujian sinar-X
- Biopsi paru-paru
- Bronchoscopy
- CT angiography
- Imbasan VQ paru-paru
Bagaimana untuk Merawat Batuk Berdarah?
Bergantung kepada punca, batuk berdarah boleh dirawat dengan beberapa cara.
Jika penyebabnya adalah kerengsaan tekak disebabkan oleh batuk yang berlebihan, ubat pelega tekak dan ubat penahan batuk yang dijual di farmasi atau melalui belian kaunter mungkin mencukupi.
Sekiranya batuk ini disebabkan oleh jangkitan, maka doktor akan mempreskripsi ubat-ubatan yang sesuai kepada anda.
Dalam kes perdarahan teruk, doktor mungkin mengesyorkan prosedur yang dikenali sebagai “endovascular embolization” yang menghentikan perdarahan. Prosedur atau pembedahan lain mungkin diperlukan bergantung pada puncanya.
Rujukan
- Earwood, J. S., & Thompson, T. D. (2015). Hemoptysis: evaluation and management. American family physician.
- Del Ciello, A. et al. (2017). Missed lung cancer: when, where, and why?. Diagnostic and interventional radiology.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Coughing Up Blood. Cleveland Clinic