Sifilis ialah jangkitan hubungan jenis (STI) yang disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Walaupun ia mudah dirawat hari ini, sifilis masih menjadi isu kesihatan awam yang serius di seluruh dunia.
Penyakit ini mempunyai sejarah hitam, boleh membawa komplikasi teruk jika tidak dirawat dan sering muncul semula dalam gelombang jangkitan walaupun di negara maju.
Sejarah Ringkas Sifilis
Sifilis pertama kali muncul di Eropah pada akhir abad ke-15. Ada teori mengatakan ia dibawa dari benua Amerika oleh anak kapal Christopher Columbus, namun perkara ini masih diperdebatkan.

Sumber: CDC
Wabak awal sifilis sangat dahsyat menyebabkan kecacatan, kesakitan dan sering kali kematian. Rawatan pada masa itu termasuk sapuan merkuri dan ubat arsenik beracun sehingga penemuan penisilin pada abad ke-20 yang mengubah cara rawatannya.
Walaupun perubatan moden mampu mengawal sifilis, penyakit ini tidak pernah lenyap. Selepas penurunan mendadak pada pertengahan abad ke-20, kes sifilis mula meningkat semula pada abad ke-21 akibat pengurangan dana kesihatan awam, perubahan tingkah laku seksual, dan stigma masyarakat.
Cara Penularan Sifilis
Sifilis merebak terutamanya melalui hubungan seks melalui vagina, anal (dubur) atau oral (mulut).
Ia juga boleh dijangkiti dari ibu kepada anak semasa kehamilan menyebabkan sifilis kongenital yang boleh membawa kepada keguguran, kematian bayi, atau kecacatan teruk.
Bakteria ini memasuki tubuh melalui luka kecil atau membran mukus. Ia sangat mudah berjangkit pada peringkat awal, walaupun gejalanya ringan atau tidak disedari.
Beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko jangkitan adalah seperti berikut:
- Hubungan seks tanpa perlindungan
- Ramai pasangan seksual
- Lelaki yang melakukan seks dengan lelaki (homoseksual)
- Jangkitan HIV serentak
- Akses terhad kepada penjagaan kesihatan dan saringan
Empat Peringkat Sifilis
Jika tidak dirawat, sifilis berkembang melalui empat peringkat, setiap satunya dengan ciri-ciri berbeza.
1. Sifilis Primer
- Tempoh inkubasi: 3 minggu selepas pendedahan (julat: 10-90 hari)
- Gejala: Satu ulser tanpa rasa sakit (chancre) muncul di tempat jangkitan seperti alat kelamin, dubur atau mulut.
- Ulser ini sangat berjangkit tetapi sering tidak disedari.
- Ia sembuh sendiri dalam masa 3-6 minggu tanpa rawatan.
2. Sifilis Sekunder
- Berlaku beberapa minggu atau bulan selepas ulser sembuh.
- Gejala:
- Ruam kulit (terutamanya di tapak tangan dan tapak kaki)
- Luka pada membran mukus
- Demam, sakit tekak, bengkak kelenjar limfa
- Keguguran rambut, sakit otot atau keletihan
- Gejala sangat pelbagai dan boleh disalah anggap sebagai penyakit lain.
- Masih berjangkit pada peringkat ini.
3. Sifilis Terpendam
- Tiada gejala ketara.
- Boleh bertahan selama bertahun-tahun.
- Terpendam awal (<1 tahun) masih berjangkit.
- Terpendam lewat (>1 tahun) kurang berjangkit tetapi bakteria masih hidup dalam badan.
4. Sifilis Tertier
- Berlaku dalam 15-30% kes yang tidak dirawat selepas bertahun-tahun atau dekad.
- Boleh merosakkan pelbagai organ:
- Otak (neurosifilis)
- Jantung dan salur darah (sifilis kardiovaskular)
- Tulang, kulit, mata
- Gejala termasuk lumpuh, buta, demensia, dan kematian.
Neurosifilis dan Sifilis Okular
Treponema pallidum boleh menyerang sistem saraf pada bila-bila masa, menyebabkan neurosifilis.
Gejala-gejalanya adalah:
- Sakit kepala
- Perubahan tingkah laku
- Masalah koordinasi pergerakan
- Gangguan deria
Sifilis okular menyerang mata dan boleh menyebabkan hilang penglihatan. Kedua-dua keadaan ini memerlukan rawatan segera.
Sifilis Kongenital: Tragedi yang Boleh Dicegah
Apabila wanita hamil dijangkiti sifilis dan tidak dirawat, jangkitan boleh berpindah kepada janin melalui plasenta.
Sifilis kongenital adalah tragedi kerana ia 100% boleh dicegah dengan saringan dan rawatan sewajarnya.
Akibatnya adalah:
- Keguguran atau kelahiran mati
- Kelahiran pramatang
- Kecacatan
- Kelewatan perkembangan
- Jangkitan teruk pada bayi baru lahir
Kebangkitan semula kes sifilis kongenital di sesetengah kawasan mencerminkan kelemahan dalam akses penjagaan ibu hamil.
Diagnosis
Pengesanan awal sangat penting. Diagnosis melibatkan:
- Ujian darah: Ujian nontreponemal (RPR, VDRL) untuk saringan; ujian treponemal (FTA-ABS, TPPA) untuk pengesahan.
- Pengesanan langsung: Mikroskop gelap atau PCR dari sampel luka.
Saringan rutin disarankan untuk:
- Wanita hamil
- Golongan homseksual yang aktif secara seksual
- Individu dengan ramai pasangan
- Penghidap HIV
Rawatan: Penisilin Masih Terbaik
Penisilin G masih menjadi rawatan utama sifilis. Satu suntikan mencukupi untuk sifilis peringkat awal. Sifilis lewat atau tertier memerlukan beberapa dos.
Bagi pesakit alahan penisilin, alternatif seperti doxycycline atau ceftriaxone digunakan, tetapi penisilin tetap pilihan utama, terutamanya untuk wanita hamil.
Selepas rawatan:
- Gejala akan pulih, tetapi kerosakan akibat sifilis lewat mungkin kekal.
- Ujian susulan darah penting untuk memastikan jangkitan sembuh sepenuhnya.
Reaksi Jarisch-Herxheimer
Dalam masa 24 jam selepas memulakan rawatan, sesetengah pesakit mengalami reaksi seperti selesema, demam, menggigil dan sakit kepala.
Ini bukan alahan, tetapi tindak balas kepada kematian bakteria. Biasanya pulih dalam masa 24-48 jam.
Mengapa Sifilis Kembali Menular?
Beberapa faktor menyumbang kepada kebangkitan semula sifilis:
- Pengurangan dana kesihatan awam untuk pencegahan STI
- Peningkatan seks tanpa perlindungan, khususnya dengan aplikasi temu janji
- Stigma masyarakat yang menghalang orang daripada mendapatkan ujian dan rawatan
- Akses kesihatan seksual yang terhad dalam komuniti terpinggir
Jangkitan sifilis sering berlaku serentak dengan HIV kerana luka sifilis memudahkan penularan HIV. Penjagaan dan pendidikan bersepadu amat penting.
Strategi Kesihatan Awam
Membanteras sifilis memerlukan pendekatan menyeluruh:
- Pendidikan dan Kesedaran: Mengurangkan stigma, mempromosi amalan seks selamat dan pernikahan.
- Saringan Berkala: Terutama bagi kumpulan berisiko tinggi.
- Pengesanan dan Rawatan Pasangan: Untuk mencegah jangkitan semula dan penyebaran.
- Akses Penjagaan Kesihatan: Memperluas klinik dan sumber untuk komuniti yang memerlukan.
- Penjagaan Pranatal: Saringan dan rawatan universal semasa kehamilan bagi menghapuskan sifilis kongenital.
Kesimpulan
Sifilis adalah penyakit lama dengan cabaran moden. Ia boleh dicegah, dikesan dan dirawat. Namun, ia masih menjadi ancaman kesihatan awam.
Kesedaran, saringan dan akses kepada rawatan adalah kunci utama. Jika diabaikan, kita akan mengulangi kesilapan lalu.
Rujukan
- Tudor ME, Al Aboud AM, Leslie SW, et al. Syphilis. [Updated 2024 Aug 17]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: NCBI
- Centers for Disease Control and Prevention (CDC). (2025). Syphilis: About syphilis. CDC.





