Menurut Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) 2023 prevalens penggunaan rokok elektronik dalam kalangan individu berusia 15 hingga 24 tahun (golongan remaja dan belia) meningkat daripada 1.1% pada 2011 kepada 8.6% pada 2023.
Fenomena ini didorong oleh kempen pemasaran yang menarik dan persepsi bahawa rokok elektronik ialah alternatif yang lebih selamat berbanding rokok tradisional walaupun bukti saintifik menunjukkan sebaliknya.
Keadaan ini mendedahkan golongan remaja terhadap bahaya rokok elektronik dan vape tanpa mereka sedari.
Kandungan Rokok Elektronik dan Vape
Secara umumnya, rokok elektronik dan vape merupakan peranti yang menghasilkan wap dengan penggunaan bateri.
Cecair di dalam rokok elektronik dan vape yang dikenali sebagai e-liquid akan dipanaskan hingga menjadi wap yang kemudiannya disedut oleh penggunanya.
Sebilangan besar masyarakat menganggap bahawa rokok elektronik dan vape merupakan peranti yang sama. Malah, istilah vape digunakan dengan lebih meluas untuk merujuk peranti tersebut.
Namun sebenarnya, menurut takrifan Kementerian Kesihatan Malaysia, rokok elektronik ialah peranti yang mengandungi nikotin sementara vape pula tidak mengandungi nikotin.
Nikotin merupakan antara kandungan utama e-liquid yang terdapat dalam rokok elektronik. Selain nikotin, e-liquid bagi rokok elektronik dan vape turut mengandungi perisa, pewarna, gliserin sayuran dan propilena glikol, iaitu sejenis bahan kimia yang membantu menghasilkan wap.
Kandungan Nikotin dalam Rokok Elektronik
Nikotin dalam cecair rokok elektronik mempunyai kepekatan yang lebih tinggi berbanding nikotin dalam rokok biasa.
Nikotin bertindak dengan merangsang otak untuk menghasilkan dopamin iaitu hormon yang berfungsi untuk memberi kepuasan serta membantu untuk fokus, pergerakan, memori dan pembelajaran.
Nikotin merupakan bahan yang sangat mudah memberi kesan ketagihan. Kandungan nikotin yang tinggi mempermudah proses ketagihan, terutamanya dalam kalangan remaja.
Kesan Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape
Rokok elektronik dan vape yang popular dalam kalangan remaja lazimnya dipasarkan dengan pelbagai jenis reka bentuk dan perisa yang menarik.
Namun, amalan ini juga menimbulkan kebimbangan tentang risiko ketagihan nikotin dan impak negatif kepada kesihatan awam.
Apatah lagi terdapat dakwaan bahawa cecair e-liquid yang dijual untuk vape berkemungkinan besar masih mengandungi nikotin.
E-liquid bagi rokok elektronik pula turut dilaporkan telah ditambah dengan bahan-bahan terlarang yang tidak sepatutnya seperti dadah sintetik.
Persepsi bahawa rokok elektronik dan vape merupakan alternatif selamat berbanding rokok adalah salah.
Kajian menunjukkan bahawa trend penggunaan rokok elektronik dan vape bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal tetapi juga dapat menjejaskan kesejahteraan mental dan sosial remaja.
Antara kesan sampingan rokok elektronik dan vape termasuklah selesema, pening, kesukaran tidur dan kemurungan.
Penggunaan rokok elektronik dan vape sering dikaitkan dengan kerosakan paru-paru yang serius. Bahan kimia yang terkandung dalam cecair rokok elektronik dan vape, seperti nikotin dan bahan toksik lain, boleh merosakkan tisu paru-paru, menyebabkan radang dan mengurangkan fungsi pernafasan.
Penyakit e-cigarette atau vaping product use-associated lung injury (EVALI) merupakan salah satu komplikasi yang boleh berlaku akibat penggunaan rokok elektronik dan vape. Selain itu, risiko pneumotoraks (paru-paru bocor) juga turut meningkat.
Kesan rokok elektronik dan vape tidak hanya terhad kepada masalah paru-paru. Penggunaan rokok elektronik dan vape yang berpanjangan juga meningkatkan risiko pelbagai penyakit serius lain termasuk penyakit jantung dan kanser.
Kandungan bahan kimia berbahaya dalam cecair rokok elektronik dan vape seperti formaldehid serta logam berat memberikan ancaman besar kepada kesihatan manusia secara keseluruhan.
Bukan itu sahaja, pendedahan kepada nikotin tanpa kawalan turut menjejaskan perkembangan fisiologi tubuh dan fungsi otak remaja yang belum matang sepenuhnya.
Nikotin dapat mengganggu fungsi kognitif, ingatan dan kemampuan pembelajaran mereka. Nikotin juga memberi kesan kepada bahagian otak yang berfungsi untuk mengawal tingkah laku dan membuat keputusan.
Remaja yang terdedah kepada nikotin sukar untuk fokus dan lebih cenderung menunjukkan perubahan tingkah laku yang impulsif (cepat bertindak secara tiba-tiba dan menurut gerak hati).
Semua ini bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, bahkan mengganggu hubungan sosial mereka dengan ahli keluarga dan orang lain di sekeliling.
Kegagalan untuk berfikir secara rasional akibat ketagihan nikotin secara tidak langsung menyumbang kepada pelbagai masalah sosial, termasuk penyalahgunaan dadah dan kes keganasan.
Contohnya, terdapat remaja yang dilaporkan bertindak ganas hingga mengancam untuk membunuh ibu bapa sendiri kerana melarang atau menyekat mereka daripada menggunakan rokok elektronik dan vape.
Tindakan untuk Menangani Isu Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape dalam Kalangan Remaja
Tabiat menggunakan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja adalah masalah serius yang perlu ditangani segera.
Remaja perlu diberi kesedaran tentang bahaya penggunaan nikotin tanpa kawalan terhadap kesihatan, perkembangan mental dan kehidupan sosial mereka. Remaja tidak seharusnya mendekati rokok elektronik dan vape serta mencubanya.
Ibu bapa, guru dan pihak berkuasa perlu bekerjasama untuk mendidik serta melindungi remaja daripada bahaya penggunaan rokok elektronik dan vape.
Langkah-langkah pencegahan seperti kempen kesedaran, penguatkuasaan undang-undang dan sokongan kaunseling perlu dipergiat. Masa depan generasi muda bergantung kepada tindakan yang diambil hari ini.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Rujukan
- Abd Rashid, N.A.M & Mohamad Aun, N.S. (2023). Meneroka Penggunaan Rokok Elektronik Dalam Kalangan Pelajar Di SMK Muadzam Jaya. Jurnal Wacana Sarjana.
- Cherian, S. V. et al. (2020). E-Cigarette or Vaping Product-Associated Lung Injury: A Review. The American journal of medicine.
- Christiani, D.C. (2020). Vaping-Induced Acute Lung Injury. New England Journal of Medicine.
- Kalininskiy, A. et al. (2019). E-cigarette, or vaping, product use associated lung injury (EVALI): case series and diagnostic approach. The Lancet. Respiratory medicine.





