Apa itu tabah? Bagaimana untuk membina ketabahan?
Tabah bermaksud tidak gentar dan tetap hati. Tabah juga turut bermaksud terus mencuba dengan penuh semangat, azam, berani, cekal dan sebagainya demi mencapai kejayaan.
Hidup di dunia ini penuh dengan ujian dan cabaran yang memerlukan ketabahan seseorang itu untuk menghadapinya. Tetapi bagaimana untuk membina dan memiliki ketabahan tersebut?

Setiap Manusia Akan Diuji
Setiap manusia yang diciptakan di dunia ini tidak akan terlepas daripada ujian hidup. Kesusahan, musibah, penderitaan adalah cabaran dan ujian daripada Allah SWT.
Sebagai seorang Islam yang beriman, kita haruslah beriman dengan qada dan qadar iaitu menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT dengan hati yang redha.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.
Surah Al-Baqarah (ayat 155)
Seorang yang Tabah Perlu Menjadi Seorang yang Sabar
Untuk membina ketabahan, seseorang itu juga perlulah mempunyai sifat sabar. Gabungan dua sifat ini boleh membantu anda menjadi seorang yang kuat dalam menghadapi apa jua ujian dan musibah.
Sifat tabah dan sabar akan menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa redha dengan ketentuan Allah SWT. Sifat-sifat ini juga boleh mengelakkan diri kita daripada bersikap marah, kecewa, resah, gelisah dan berputus asa setiap kali diuji.
Ketahuilah seseungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama mereka yang sabar. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 146 yang bermaksud:
“Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”.
Surah Ali-Imran (ayat 146)
Allah SWT telah mengutuskan para nabi dan rasul sebagai contoh tauladan kepada kita. Jika hendak dibandingkan dengan ujian dan musibah yang melanda kita kini, ujian-ujian yang dihadapi oleh para rasul dahulu adalah lebih berat.
Sebagai contoh:
- Nabi Muhammad SAW pernah dilukai hingga berlumuran darah oleh penduduk Thaif ketika berdakwah di sana.
- Nabi Ibrahim A.S pula diuji dengan arahan untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail sebagai korban dan kemudiaanya digantikan dengan kibas.
- Nabi Ayub A.S diuji dengan sakit yang berat, kematian semua anak-anaknya dan semua hartanya habis hangus terbakar.
Tetapi apa yang ditunjukkan oleh para rasul ini adalah sifat ketaatan, ketabahan dan sabar yang seharusnya menjadi contoh buat kita semua.
Memohon Bantuan Kepada Allah
Sebagai seorang hamba, kita disuruh bergantung kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT. Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam Al-Quran dalam surah Al-Mu’min ayat 60 yang bermaksud:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”.
Surah Al-Mu’min (ayat 60)
Oleh itu, setiap kali kita diuji dan menerima sebarang dugaan atau musibah, maka bersabar dan bertabahlah. Angkatlah tangan berdoa dan bermohon kepada Allah SWT kerana Allah SWT sahajalah sebaik-baik zat untuk memohon pertolongan.
Di samping berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah SWT juga, umat Islam diajar untuk terus berikhtiar dan berusaha mengatasi ujian yang dihadapi. Sekiranya anda diuji dengan sakit, maka berikhtiarlah untuk berubat seperti berjumpa doktor.
Jangan Mudah Berputus Asa
Sifat tidak berputus asa adalah salah satu sifat yang perlu ada dalam diri anda dalam membina ketabahan.
Jangan cepat berputus asa sehingga mahu membunuh diri bagi melepaskan daripada menanggung kesakitan atau masalah yang dihadapi kerana ia bukanlah jalan penyelesaian.
Rasulullah SAW telah menyatakan dalam hadith Baginda yang bermaksud:
“Dari Anas bin Malik R.A, sabda Rasulullah SAW, sekali-kali kamu tidak boleh mengharapkan kedatangan mati kerana sesuatu kesukaran yang menimpa. Dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah ia berkata: Ya Tuhanku, berikanlah aku kehidupan jika ia lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika ia lebih baik bagiku”.
Riwayat Imam Al-Bukhari
Setiap Ujian Ada Hikmahnya
Hendaklah diketahui oleh setiap daripada kita bahawa ujian yang ditimpakan ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita tetapi sebaliknya mempunyai hikmah yang tersirat.
Rasulullah SAW ada menjelaskan kepada kita dalam hadith yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah R.A, dari Nabi SAW bersabda : Tidak satu musibah pun yang menimpa diri seorang Muslim, sama ada yang berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya (anggotanya), melainkan dihapuskan oleh Allah dengan itu sebahagian dari kesalahannya”.
Riwayat Imam Al-Bukhari
Meletakkan kepercayaan bahawa setiap ujian itu mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat akan memberi ketenangan kepada hati.
Kadangkala kita boleh melihat hikmah disebalik setiap ujian itu dengan serta-merta. Ada masanya juga hikmah itu hanya disedari selepas beberapa ketika ujian itu berlalu.
Rumusan
Sebagai seorang makhluk dan hamba, kita tidak akan sunyi daripada ujian dan masalah, sama ada ujian itu dalam bentuk kesusahan atau kesenangan.
Apa yang penting adalah kita bersabar dan tabah menghadapinya dengan pemikiran yang waras dan tenang.
Membina ketabahan atau menjadi seorang yang tabah memerlukan keazaman dan latihan. Latihan untuk menjadi seorang yang sabar, tidak berputus asa dan meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT.