Sudah tentu ramai orang yang ingin menjadi kaya. Tetapi, ramai yang tidak mengetahui cara atau kuncinya. Apakah kunci kekayaan?
Sudah pasti terdapat banyak kaedah dan cara yang mungkin berbeza-beza yang dikongsikan oleh orang yang berbeza-beza. Tetapi, apa yang dibincangkan di sini adalah 3 kunci utama yang perlu ada pada diri anda sekiranya anda ingin menjadi seorang yang kaya.
Ada satu ayat yang mungkin anda pernah dengar iaitu “Bukan senang untuk jadi senang dan bukan susah untuk jadi susah.”
Ayat yang amat ringkas dan padat namun ianya memberikan maksud yang mendalam. Tiada jalan pintas ataupun jalan yang mudah untuk berjaya.

Namun, jangan jadikan kepayahan itu sebagai alasan atau penghalang untuk anda menjadi seorang yang berjaya dan kaya.
Genggamlah 3 kunci kekayaan ini dan jadikan ia sebagai pegangan untuk anda terus maju kehadapan menghadapi segala cabaran dan rintangan untuk menjadi seorang yang bebas kewangan!
1. Keinginan
Kunci kekayaan yang pertama ialah keinginan untuk kaya. Anda perlu mempunyai keinginan atau kehendak untuk kaya dan bebas dari segi kewangan.
Keinginan yang membakar akan sentiasa memotivasikan anda untuk mencapai matlamat kewangan anda.
Seperti sebuah kereta yang memerlukan enjin untuk bergerak, keinginan juga adalah enjin yang menggerakkan anda untuk mencapai matlamat menjadi seorang yang kaya.
Pencapaian anda juga turut bergantung kepada kehebatan keinginan anda. Jika anda hanya mempunyai satu atau dua sebab untuk mencapai keinginan tersebut, maka keinginan tersebut tidak begitu besar.
Tetapi jika anda ada lebih daripada 100 sebab untuk mencapai keinginan tersebut maka keinginan itu akan bertindak sebagai api yang membakar semangat anda untuk terus mencapai matlamat kewangan anda!
2. Usaha
Keinginan sahaja tidak akan berhasil tanpa adanya usaha.
Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah buat keputusan hari ini!
Ramai antara kita yang tidak membuat keputusan untuk menjadi kaya. Sudah tentu ramai yang mengharapkan kekayaan.
Tetapi ramai yang tidak mengambil langkah untuk membuat keputusan untuk menjadi kaya. Tanpa membuat keputusan, anda umpama berdiri di tengah-tengah pagar. “Jadi kaya pun tak mengapa..tak jadi kaya pun tak mengapa.”
Tanamkan niat di hati bahawa anda akan berkorban dan berusaha untuk mencapai matlamat kewangan tersebut.
Apa jua pencapaian yang hebat akan disambut dengan pelbagai masalah dan rintangan yang hebat. Apa yang penting adalah anda memberikan 100% komitmen anda dan jangan mudah mengalah. Jangan sesekali berputus asa!
Untuk menjadi seorang yang mempunyai kebebasan kewangan juga memerlukan disiplin. Anda perlu mengubah diri anda.
Anda perlu mendisiplinkan diri anda untuk bengun lebih awal, usaha lebih kuat dan bekerja lebih lama untuk menjadi kaya.
Kebanyakan mereka yang mencapai status jutawan memberi tumpuan bekerja secara produktif yang lebih lama melebihi 80 jam seminggu!
Mengiringi keinginan dengan usaha adalah langkah yang tepat bagi mencapai matlamat anda menjadi seorang yang kaya.
3. Tawakkal
Kunci kekayaan yang ketiga adalah tawakkal.
Walaupun anda telah berusaha sedaya upaya anda, jangan lupa untuk berdoa dan meminta daripada Sang Pencipta.
Kita merancang dan Allah juga merancang, tetapi Allah SWT adalah sebaik-baik perancang dan yang menetapkan ketentuan.
Sebagai seorang hamba, kita mesti menerima sebarang ujian dan ketentuan yang Tuhan telah tetapkan kepada kita.
Allah tidak akan memberi ujian kepada kita jika Dia tidak sayang kepada kita dan Allah tidak akan menguji seseorang itu lebih daripada kemampuannya.
Walaupun adakalanya ia tidak seperti yang kita mahukan, tetapi percayalah ada hikmah disebalik apa yang berlaku.
Apa yang penting adalah kita tidak mudah untuk mengalah dan terus berusaha!