Mempunyai seorang mentor atau idol yang boleh dijadikan teladan adalah salah satu resepi menjadi seorang yang berjaya. Elon Musk adalah salah seorang tokoh perniagaan dan jutawan terkenal. Mungkin menjadi impian ramai daripada kita untuk berjaya sepertinya. Di sini, kami kongsikan rahsia kejayaan Elon Musk yang boleh dijadikan teladan buat anda.
Tak kenal maka tak cinta. Sedikit pengenalan mengenai latar belakang Elon Musk. Elon Musk atau nama penuhnya Elon Reeve Musk adalah anak kelahiran Afrika Selatan yang dilahirkan pada 28 Jun 1971.
Pada awalnya beliau mendapat pendidikan di University of Pretoria sebelum berpindah ke Queen’s University, Kanada. 2 tahun kemudian, beliau berpindah ke University of Pennsylvania dan menerima dua ijazah di sana iaitu dalam jurusan ekonomi dan fizik.
Kerjaya beliau dalam perniagaan bermula dengan menjadi pengasas bersama sebuah syarikat perisian Zip2. Kemudian, syarikat ini dibeli oleh Compaq Computers yang seterusnya menjadikan Elon Musk seorang jutawan.
Seterusnya, pada tahun 1999 beliau mengasaskan bank atas talian X.com yang kini dikenali sebagai PayPal. Pada tahun 2002, Musk menubuhkan syarikat pengeluar aero angkasa iaitu SpaceX dan pada tahun 2014 beliau menyertai syarikat pengeluar kereta elektrik iaitu Tesla.
Tidak terhenti di situ, beliau seterusnya turut menjadi pengasas bersama beberapa syarikat lain seperti SolarCity, OpenAI, Neuralink dan The Boring Company.
Pencapaian-pencapaian beliau telah meletakkan beliau sebagai orang yang terkaya di dunia melepasi Jeff Bezos pada Januari 2021.
Kejayaan Elon Musk ini boleh dijadikan inspirasi buat usahawan atau pemula yang ingin berjaya dalam dunia perniagaan. Oleh itu, mari kita ketahui apakah rahsia kejayaan Elon Musk yang menjadikan beliau salah seorang yang berjaya dan orang yang terkaya di dunia.
1. Mengambil Risiko
Kebanyakan orang takut untuk mengambil risiko kerana bimbang akan kegagalan tetapi tidak buat Elon Musk. Beliau berpendapat mengambil risiko ketika kita masih muda boleh membawa kita kepada kejayaan yang lebih besar.
Dapat dilihat beberapa perkara yang menunjukkan bahawa Elon Musk mengambil risiko yang besar seperti dalam penghasilan kereta elektrik tanpa pemandu, Tesla yang mengalami banyak masalah rekaan dan penghasilan.
Beliau juga turut menjadikan syarikatnya, SpaceX sebagai syarikat swasta pertama yang menyokong NASA. Walaupun pelancaran roketnya menemui kegagalan pada 3 cubaan pertama.
Tindakan-tindakan berani beliau ini meletakkan beliau dikelas yang tersendiri.
2. Tidak Berputus Asa
Seperti Jack Ma, tidak berputus asa juga menjadi salah satu rahsia kejayaan Elon Musk dalam dunia keusahawanannya.
Sebagai contoh, syarikat Tesla mengalami kegagalan teruk sebelum syarikat ini berjaya. Pada tahun 2008, syarikat Tesla ini hampir-hampir musnah akibat kekurangan dana.
Musk mengambil tindakan yang agak luar biasa apabila memilih untuk muflis dan menggunakan kekayaannya untuk memastikan syarikat beliau terus beroperasi.
Semangat tidak berputus asa Elon Musk ini juga dapat dilihat apabila penghasilan roket SpaceX Falcon 1 yang gagal pada mulanya. Beliau tidak berhenti akibat kegagalan tersebut, sebaliknya terus berusaha dan percaya akan kerja keras kumpulannya.
Hasilnya, pada 2008, Falcon 1 ini menjadi roket rekaan swasta pertama yang berjaya sampai ke orbit bumi. Pada Mac 2017, SpaceX berjaya dalam ujian pelancaran dan pendaratan roketnya, Falcon 9.
“Persistence is very important. You should not give up unless you are forced to give up.”
Elon Musk
3. Terima Maklum Balas yang Membina
Menerima maklum balas yang membina boleh membantu seseorang usahawan untuk terus maju kehadapan. Sudah tentu dalam proses untuk berjaya, pasti ada banyak ruang yang memerlukan penambahbaikkan.
Melalui maklum balas membina daripada pengguna, pelanggan atau orang sekeliling, seseorang usahawan atau peniaga boleh membaiki kelemahan mereka.
Selain itu, abaikan maklum balas negatif atau kritikan negatif yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada anda.
Satu kenyataan menarik daripada Elon Musk adalah “Sangat penting untuk mempunyai maklum balas, di mana anda sentiasa memikirkan apa yang telah anda lakukan dan bagaimana anda dapat melakukannya dengan lebih baik. Saya fikir itulah satu-satunya nasihat terbaik: sentiasa memikirkan bagaimana anda boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik dan menyoal diri sendiri.”
4. Kenal pasti Keperluan Pasaran
Percaya atau tidak, syarikat PayPal pada mulanya dinobatkan sebagai “Konsep Perniagaan Terburuk Tahun Ini” pada tahun 1999 setelah ia dilancarkan sebagai perisian keselamatan kepada peranti pegang.
Kemudian, Musk dan pengasas bersama PayPal, Max Levchin beralih tumpuan kepada dompet atas talian yang seterusnya mendapat tarikan.
Mereka mendapati dompet atas talian mereka ini digunakan dalam lelongan di eBay, maka mereka memutuskan untuk membuang idea asal dan meneruskan dengan dompet elektronik ini (e-wallet).
Ramai usahawan yang baru bermula gagal untuk mencari titik tolak pasaran sasaran mereka. Mereka terus mengejar idea dan konsep yang seterusnya mengagalkan mereka.
Apa yang boleh dipelajari daripada Elon Musk adalah sentiasa menyesuaikan diri apabila perlu dan berusaha membuat produk yang memberikan penyelesaian yang jelas kepada pengguna.
5. Melaburkan Keuntungan ke dalam Perniagaan Baru
Salah satu rahsia kejayaan Elon Musk yang lain adalah melaburkan keuntungan perniagaan lama ke dalam perniagaan baru. Tidak ramai usahawan yang mampu berbuat seperti ini.
Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa bahagian yang paling mencabar ini adalah bahagian yang paling mendatangkan kejayaan.
Elon Musk melaburkan keuntungan hasil penjualan syarikatnya iaitu Zip2 dan Paypal kepada syarikat barunya SpaceX dan Tesla.
Kedua-dua syarikat ini kini boleh dikatakan berjaya walaupun menghadapi banyak cabaran dalam proses menghasilkan keuntungannya.
Rumusan
Terdapat banyak rahsia kejayaan yang boleh diperolehi daripada ramai tokoh yang sudah berjaya dan Elon Musk adalah salah seorang daripadanya.
Walaupun tidak semua, mungkin sebahagian daripada resepi kejayaan Elon Musk ini berguna untuk anda dalam memulakan perjalanan sebagai seorang usahawan.
Keazaman dan kegigihan Elon Musk dalam mencapai cita-citanya boleh dijadikan teladan buat kita semua.
Rujukan
- Biography.com Editors. (2021). Elon Musk Biography. Biography [diakses pada 26 Mac 2021].