Baru-baru ini media di Jepun melaporkan bahawa sebanyak 1,019 kes STSS telah dicatatkan sehingga 9 Jun lalu. Jumlah itu adalah paling banyak direkodkan dalam satu tahun, mengatasi rekod tahun lepas. 77 individu telah meninggal dunia akibat STSS di Jepun antara Januari hingga Mac.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga turut dilaporkan mengambil langkah berjaga-jaga dan akan mendapatkan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Melihat kepada situasi ini, berikut kami sediakan maklumat-maklumat yang anda perlu tahu mengenai STSS:

Apa itu STSS?
Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal atau Streptococcal toxic shock syndrome (STSS) ialah sejenis jangkitan bakteria yang disebabkan oleh bakteria Strep Kumpulan A (Group A Strep) khususnya varian Streptococcus pyogenes, iaitu bakteria yang sama bertanggungjawab menyebabkan sakit tekak.
STSS juga turut dikenali sebagai jangkitan bakteria pemakan daging.
Keadaan ini jarang berlaku, tetapi serius. Ia berlaku apabila bakteria merebak ke saluran darah dan tisu-tisu badan serta menyebabkan tindak balas keradangan sistemik dan kejutan toksik.
STSS boleh berkembang dengan cepat menjadi kecemasan yang boleh mengancam nyawa.
Oleh itu, individu yang mempunyai gejala-gejala STSS memerlukan rawatan segera di hospital dan antibiotik.
Gejala-gejala STSS
Gejala-gejala STSS lazimnya melibatkan:
- Demam dan menggigil
- Sakit-sakit otot
- Loya dan muntah
Selepas gejala-gejala ini bermula, kira-kira selepas 24 hingga 48 jam, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah.
Selepas keadaan ini berlaku, STSS akan menjadi lebih serius dengan cepat. Pesakit seterusnya boleh mengalami:
- Kegagalan organ
- Takikardia (kadar denyutan jantung lebih laju dari biasa)
- Takipnea (pernafasan laju)
Seseorang yang mengalami kegagalan buah pinggang mungkin tidak mengeluarkan air kencing. Seseorang yang mengalami kegagalan hati mungkin banyak berdarah atau lebam atau kulit dan mata mereka mungkin menjadi kuning.
Punca atau Penyebab
STSS berpunca daripada bakteria Streptococcus Kumpulan A (GAS) atau turut dikenali sebagai bakteria Strep kumpulan A.
Bakteria GAS ini boleh disebarkan oleh satu individu ke individu yang lain melalui kontak rapat.
Jangkitan bakteria Strep kumpulan A yang kurang teruk boleh bertukar menjadi STSS dan bakteria ini mudah berjangkit.
Faktor Risiko
Semua orang boleh mendapat STSS tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu mendapatkannya.
Antaranya adalah:
- Umur: STSS lebih lazim berlaku kepada golongan berumur (65 tahun atau lebih)
- Jangkitan atau luka yang memecahkan kulit: Individu yang mempunyai luka terbuka berisiko tinggi untuk STSS. Ini boleh termasuk mereka yang baru menjalani pembedahan atau jangkitan virus yang menyebabkan kudis terbuka.
- Penghidap diabetes dan alkoholisme: Penghidap diabetes dan alkoholisme turut berisiko tinggi untuk mengalami STSS.
Walau bagaimanapun, pakar tidak tahu bagaimana bakteria tersebut masuk ke dalam badan untuk hampir separuh daripada orang yang mendapat STSS.
Rawatan
STSS boleh dirawat dengan antibiotik.
Mereka yang mengalami STSS mesti dirawat di hospital. Mereka memerlukan cecair yang diberikan melalui urat dan rawatan lain untuk membantu merawat kejutan dan kegagalan organ.
Ramai penghidap STSS juga memerlukan pembedahan untuk membuang tisu yang dijangkiti.
Komplikasi
STSS sering menyebabkan komplikasi seperti kegagalan organ dan badan mengalami kejutan.
Komplikasi serius lain yang boleh berlaku adalah fasciitis menekrosis yang turut dipanggil penyakit “pemakan daging.”
Komplikasi boleh menyebabkan pesakit memerlukan pembedahan untuk membuang tisu atau anggota badan yang dijangkiti untuk mengawal jangkitan.
Walaupun dengan rawatan, STSS boleh membawa maut. Daripada 10 orang yang mengalami STSS, seramai 3 orang akan mati akibat jangkitan.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. About Streptococcal Toxic Shock Syndrome.