Kejutan membawa banyak maksud dalam dunia perubatan atau penggunaan bahasa dalam kehidupan seharian. Kejutan (shock) yang ingin dibincangkan dalam artikel ini merujuk kepada keadaan di mana badan tidak mendapatkan oksigen dan nutrien yang cukup kepada sistem dan organ yang penting. Ketahui dengan lebih lanjut mengenai tanda dan simptom-simptom kejutan dalam artikel ini.
Kejutan ialah keadaan kritikal yang disebabkan oleh penurunan pengaliran darah di seluruh badan yang berlaku secara tiba-tiba. Kejutan pengaliran darah ini membawa kepada kekurangan bekalan oksigen ke sel-sel dan tisu menyebabkan kematian sel dan kegagalan organ-organ penting.
Kesan kejutan boleh diterbalikkan pada peringkat awal dan kelewatan dalam diagnosis atau permulaan rawatan yang tepat pada masanya boleh membawa kepada perubahan yang tidak dapat dipulihkan, termasuk kegagalan multiorgan (MOF) dan kematian.
Tanda dan Simptom-simptom Kejutan
Umumnya, terdapat empat (4) kategori utama kejutan iaitu hipovolemia, kardiogenik, obstruktif dan distributif. Setiap kategori ini mempunyai pelbagai punca dan setiap daripadanya juga mempunyai tanda dan simptom-simptom berbeza.
Simptom yang paling lazim berlaku akibat kejutan adalah tekanan darah yang rendah (hipotensi). Sekiranya kejutan ini tidak dirawat, tekanan darah akan terus menurun sehinggakan terlalu rendah untuk mengekalkan kehidupan dan ia membawa maut.
Kejutan Hipovolemia
Kejutan hipovolemia ialah kejutan yang disebabkan oleh pengurangan jumlah darah yang beredar. Pada peringkat akhir kejutan akibat pengurangan jumlah darah yang progresif, keluaran jantung juga turut berkurangan dan ditunjukkan sebagai hipotensi.
Kejutan jenis ini boleh terjadi akibat daripada perdarahan dan kehilangan bendalir atau dehidrasi.
Tanda dan simptom-simptom yang boleh berlaku akibat kejutan hipovolemia adalah:
- Pernafasan yang laju
- Kadar denyutan jantung yang laju
- Kulit menjadi pucat dan sejuk
- Anak mata mengembang
- Berpeluh
Pesakit juga mungkin akan mengadu rasa dahaga, kekejangan otot dan penurunan tekanan darah semasa berada dalam postur menegak.
Kejutan hipovolemia yang teruk boleh menyebabkan kekurangan aliran darah ke jantung dan mesenteri yang membuatkan rasa sakit dada dan abdomen. Pesakit juga mungkin juga mengalami kekeliruan, kelesuan dan agitasi.
Kejutan Kardiogenik
Kejutan kardiogenik bermaksud jantung mempunyai kesukaran untuk mengepam darah secukupnya. Ia boleh berlaku selepas serangan jantung, kegagalan injap jantung, aritmia jantung, jangkitan jantung atau trauma pada jantung.
Tanda dan simptom-simptom kejutan kardiogenik adalah:
- Kesukaran bernafas
- Nadi yang lemah dan tidak teratur
- Nadi yang sangat perlahan
- Bengkak pada kaki dan buku lali
- Batuk yang menghasilkan kahak yang berbuih (berwarna putih atau kadang-kadang berwarna merah jambu)
- Mengalami kekeliruan
- Tidak sedarkan diri
Kejutan Obstruktif
Kejutan obstruktif ialah kejutan yang berlaku akibat daripada sesuatu yang menekan saluran darah di dalam badan. Penyebab kejutan obstruktif yang paling biasa adalah daripada tekanan pneumotoraks (runtuhan paru-paru).
Tanda dan simptom-simptom kejutan obstruktif adalah:
- Tekanan darah rendah yang berlaku secara pantas
- Nadi yang laju
- Kesukaran bernafas
- Bunyi pernafasan yang tidak sama
Kejutan Distributif
Kejutan distributif adalah keadaan pengaliran darah kepada tisu-tisu tidak mencukupi. Kejutan distributif juga menyebabkan kebocoran bendalir daripada kapilari ke dalam tisu-tisu di sekeliling.
Penyebab yang paling lazim menyebabkan kejutan distributif adalah sepsis dan anafilaksis. Sepsis adalah jangkitan dalam darah atau tisu yang disebabkan oleh bakteria atau toksinnya. Manakala, anafilaksis pula adalah tindak balas alahan yang teruk.
Tanda dan simptom-simptom bagi sepsis adalah:
- Demam
- Mulut kering
- Kulit menjadi merah
- Kulit menjadi kurang elastik
Tanda dan simptom-simptom bagi anafilaksis pula adalah:
- Gatal-gatal
- Ruam
- Bengkak pada muka, mulut atau lidah
- Sukar bernafas
- Denyutan jantung menjadi laju
- Pengsan atau tidak sedarkan diri
- Tekanan darah menjadi rendah
- Loya dan muntah-muntah
Rujukan
- Haseer Koya H, Paul M.[Updated 2021 Jul 26]. Shock. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Taghavi S, Askari R. [Updated 2021 Jul 20]. Hypovolemic Shock. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Smith N, Lopez RA, Silberman M.[Updated 2021 Oct 7]. Distributive Shock. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Brouhard, R. (2020). Signs and Symptoms of Shock. verywellhealth.