Apa itu Alahan Terhadap Kulapuk atau Kulat?
Alahan terhadap kulapuk atau kulat adalah tindak balas sistem imun badan terhadap alergen yang terdiri daripada kulapok atau kulat.
Kulapuk adalah sejenis kulat yang ada dimana-mana di seluruh dunia. Kulapuk ini boleh tumbuh di dalam rumah, di luar rumah bahkan di atas makanan seperti roti dan buah-buahan.
Terdapat beratus-ratus jenis kulapok, tetapi tidak semuanya boleh menyebabkan tindak balas alahan atau gejala-gejala alahan. Antara kulapok yang sering menyebabkan alahan adalah Alternaria, Aspergillus, Cladosporium, Penicillium dan Stachybotrys.

Sekiranya anda mempunyai alahan terhadap kulapuk, sistem imun badan anda akan bertindak balas secara berlebihan jika anda tersedut spora kulapuk tersebut.
Bagi sesetengah orang, alahan terhadap kulapuk mempunyai perkaitan dengan asma, yang menyebabkan gejala-gejala yang lebih serius.
Tanda-tanda dan Gejala Alahan Kulapuk
Alahan terhadap kulapuk boleh menyebabkan tanda-tanda dan gejala yang sama dengan alahan yang melibatkan sistem pernafasan yang lain.
Antaranya adalah:
- Bersin
- Hidung berair atau hidung tersumbat
- Batuk
- Gatal mata, hidung dan kerongkong
- Mata berair
- Kulit bersisik dan gatal
Bagi anda yang menghidap asma dan turut menghidap alahan terhadap kulapuk, gejala-gejala asma boleh dicetuskan melalui pendedahan terhadap spora kulapok atau kulat tersebut. Malah, bagi sesetengah penghidap asma, kulapok boleh menyebabkan serangan asma yang teruk.
Antara tanda-tanda dan gejala asma adalah:
- Batuk
- Berdehit
- Sesak nafas
- Sesak dada
Sesetengah jenis kulapuk boleh menyebabkan gejala yang lebih teruk, seperti jangkitan paru-paru atau anafilaksis (gejala alahan yang mengancam nyawa).
Terdapat juga beberapa jenis kulapok yang boleh menghasilkan mikotoksin, iaitu toksin yang berbahaya dan boleh membawa maut. Badan anda boleh menyerap mikotoksin melalui saluran pernafasan, kulit atau usus anda.
Gejala-gejala mikotoksin yang teruk termasuklah:
- Kanser
- Komplikasi kehamilan
- Fibrosis paru-paru
- Masalah berkaitan dengan hati, buah pinggang dan darah
- Penyakit berkaitan sistem pencernaan, sistem imun dan sistem saraf
Punca atau Penyebab
Seperti alahan yang lain, punca atau penyebab alahan terhadap kulapuk adalah disebabkan tindak balas sistem imun yang berlebihan.
Apabila anda menyedut spora kulapuk, sistem imun badan anda menganggapnya sebagai penceroboh asing dan membina antibodi terhadap spora tersebut. Tindak balas terhadap spora ini mungkin berlaku secara terus atau tertangguh.
Rawatan
Langkah yang paling penting dalam merawat atau menguruskan alahan kulapuk adalah menjauhi kulapuk atau kulat tersebut. Jauhi tempat-tempat yang lembap dan tertutup.
Antara rawatan menggunakan ubat-ubatan untuk merawat alahan terhadap kulapuk adalah:
- Ubat antihistamin: Ubat ini boleh membantu melegakan gejala-gejala yang dialami.
- Ubat preskripsi seperti kortikosteroid hidung: Ubat ini boleh membantu mencegah dan merawat keradangan akibat alahan ini.
- Penstabil sel mast atau inhaled steroid: Ubat jenis ini mungkin disarankan sekiranya anda menghidap asma.
Rawatan lain untuk alahan jenis ini adalah:
- Imunoterapi: Rawatan ini boleh mengurangkan kepekaan anda terhadap kulapuk.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Mold Allergy. MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Mold Allergy. Cleveland Clinic
- Dyląg, M. et al. (2022). Update on Stachybotrys chartarum-Black Mold Perceived as Toxigenic and Potentially Pathogenic to Humans. Biology.