Antihistamin biasanya boleh didapati dalam bentuk ubat-ubatan (drug). Tetapi sebenarnya, antihistamin juga boleh didapati daripada sumber semula jadi.
Terdapat makanan atau ekstrak tumbuhan yang tertentu yang boleh bertindak sebagai antihistamin dengan menghalang kesan histamin.
Antihistamin lazimnya digunakan oleh mereka yang mengalami tindak balas alahan terhadap debunga atau alergen yang lain.
Selain itu, ia juga turut digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan yang lain seperti masalah berkaitan perut, keresahan, demam selesema dan lain-lain.
Apa itu Histamin?
Histamin ialah bahan kimia penting yang mempunyai peranan dalam beberapa proses badan yang berbeza.
Ia merangsang rembesan asid gastrik, memainkan peranan dalam keradangan, mengembangkan saluran darah, mempengaruhi pengecutan otot dalam usus dan paru-paru serta mempengaruhi kadar denyutan jantung anda.
Ia juga membantu menghantar mesej antara sel saraf dan membantu cecair bergerak melalui dinding saluran darah.
Histamin juga dikeluarkan jika badan anda menghadapi ancaman daripada alergen. Histamin menyebabkan pembuluh darah membengkak dan mengembang, membawa kepada simptom-simptom alahan.
Bagaimana Antihistamin Berfungsi?
Alahan adalah tindak balas imun terhadap bahan yang tidak berbahaya. Bahan ini dikenali sebagai alergen. Contohnya seperti debunga, bulu haiwan atau habuk.
Tindak balas alahan berlaku apabila alergen ini bersentuhan dengan sel dalam membran mukus hidung, mulut, tekak, paru-paru, perut dan usus anda.
Bagi seseorang yang mempunyai alahan, keadaan ini akhirnya mencetuskan pembebasan histamin.
Antihistamin bertindak dengan menghalang sesetengah daripada apa yang histamin lakukan. Maka, ia boleh melegakan simptom-simptom yang disebabkan oleh histamin tersebut.
Antihistamin Semula Jadi
Beberapa makanan atau ekstrak tumbuhan semula jadi mengandungi antihistamin. Penyelidikan tentang keselamatan dan keberkesanannya masih di peringkat awal, tetapi sebahagian daripadanya menunjukkan kesan yang mengangumkan.
1. Bromelain
Bromelain ialah kumpulan enzim yang boleh dijumpai dalam buah nanas yang banyak ditanamn di negara-negara tropika dan subtropika.
Selain itu, bromelain ini juga boleh didapati dalam bentuk suplemen (makanan tambahan).
Bromelain ini dikatakan berkesan untuk merawat masalah pernafasan dan keradangan yang berkaitan dengan alahan.
Satu kajian semula yang melibatkan 10 kajian melaporkan bahawa bromelain berkesan mengurangkan simptom-simptom bagi rinosinusitis akut iaitu keradangan pada rongga hidung. [1]
Kajian terhadap haiwan mendapati bromelain boleh mengurangkan pembentukan penyakit pernafasan alahan. Ini menunjukkan bromelain mungkin mempunyai kesan yang sama dalam rawatan asma manusia dan gangguan hipersensitiviti. [2]
Suplemen bromelain biasanya diperlukan untuk mendapatkan jumlah yang cukup untuk membuat perubahan. Dalam buah nanas, paras bromelain paling tinggi dalam batang dan terasnya, yang selalunya tidak dimakan.
2. Kuersetin
Kuersetin ialah sebatian antioksidan yang boleh dijumpai dalam buah epal, buah ceri, buah beri biru, buah anggur merah dan lain-lain.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kuersetin mempunyai kesan antihistamin. [3]
Kajian terhadap haiwan pada tahun 2007 turut mendapati kuersetin boleh mengurangkan kesan sampingan pernafasan akibat alahan dengan mengurangkan tindak balas keradangan di saluran udara. [4]
Anda boleh mendapatkan kuersetin ini dalam bentuk suplemen atau makanan yang kaya dengan kuersetin (pilihan lebih baik).
3. Stinging Nettle
Stinging nettle (Urtica dioica) berasal dari pokok renek yang tumbuh di seluruh dunia. Ia adalah ubat herba berabad-abad lamanya.
Sesetengah pengamal perubatan herba dan semula jadi menyatakan kesannya sebagai antihistamin dan penyelidikan awal menunjukkan kesan yang positif. [5]
Anda boleh membeli stinging nettle dalam beberapa bentuk seperti teh, tinktur atau suplemen.
4. Butterbur
Butterbur (Petasites hybridus) ialah pokok renek yang berasal dari Eropah, sebahagian Asia dan beberapa kawasan di Amerika Utara. Ia telah digunakan secara perubatan sejak berkurun lamanya.
Kajian semula mengenai butterbur untuk alahan menyimpulkan bahawa ia lebih baik daripada plasebo dan setanding dengan beberapa ubat antihistamin. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tambahan masih diperlukan. [6]
Sesetengah butterbur yang dijual secara komersial mengandungi bahan kimia yang dipanggil pyrrolizidine alkaloid (PA). PA boleh merosakkan hati, paru-paru, dan peredaran darah anda. [7]
Butterbur bebas PA dianggap lebih selamat. Ia mungkin menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti sendawa, sakit kepala, mata gatal, cirit-birit, dan masalah pernafasan. [7]
Sesetengah orang juga mungkin mempunyai alahan terhadap butterbur terutamanya jika mereka mempunyai alahan terhadap bunga daisi, marigold, kekwa dan ragweed.
Butterbur dijual dalam bentuk pil, ekstrak atau kering.
Rumusan
Apabila anda mengalami alahan, kelegaan mungkin kelihatan tidak dapat dicapai.
Dengan menggabungkan ubat-ubatan semula jadi seperti bromelain, kuersetin, stinging nettle atau butterbur dengan penjagaan diri yang betul serta mengelakkan alergen (jika boleh), anda boleh melegakan simptom-simptom alahan.
Diet dan senaman yang betul boleh membantu sistem imun anda beroperasi pada tahap tertinggi.
Rujukan
- Guo, R. et al. (2006). Herbal medicines for the treatment of rhinosinusitis: a systematic review. Otolaryngology–head and neck surgery.
- Secor, E. R. et al. (2005). Bromelain exerts anti-inflammatory effects in an ovalbumin-induced murine model of allergic airway disease. Cellular immunology.
- Hattori, M. et al. (2013). Quercetin inhibits transcriptional up-regulation of histamine H1 receptor via suppressing protein kinase C-δ/extracellular signal-regulated kinase/poly(ADP-ribose) polymerase-1 signaling pathway in HeLa cells. International immunopharmacology.
- Rogerio, A. P. et al.(2007). Anti-inflammatory activity of quercetin and isoquercitrin in experimental murine allergic asthma. Inflammation research.
- Bakhshaee, M. et al. (2017). Efficacy of Supportive Therapy of Allergic Rhinitis by Stinging Nettle (Urtica dioica) root extract: a Randomized, Double-Blind, Placebo- Controlled, Clinical Trial. Iranian journal of pharmaceutical research.
- Man L. X. (2009). Complementary and alternative medicine for allergic rhinitis. Current opinion in otolaryngology & head and neck surgery.
- National Institutes of Health, National Center for Complementary and Integrative Health. Butterbur.