Apa itu Alahan Debunga?
Alahan debunga adalah salah satu bentuk tindak balas alahan yang disebabkan oleh debunga (alergen). Debunga adalah serbuk halus yang dihasilkan oleh pokok, rumput atau rumpai.
Tumbuhan ini menghasilkan butiran debunga yang kecil, ringan dan kering yang bergerak melalui angin. Debunga ini boleh memasuki hidung, paru-paru dan mata anda, menyebabkan gejala alahan jika anda mempunyai alahan debunga.
Walau bagaimanapun, tumbuhan berbunga yang menyebarkan debunganya melalui serangga biasanya tidak menyebabkan alahan debunga.
Alahan jenis ini turut dikenali sebagai demam alergi atau rinitis alergi. Terdapat 3 jenis alahan debunga iaitu alahan debunga pokok, rumput dan rumpai.
Tumbuhan yang Boleh Menyebabkan Tindakbalas Alahan
Antara pokok, rumput atau rumpai yang menghasilkan debunga yang boleh menyebabkan tindak balas alahan adalah:
- Pokok Oak
- Pokok Pain (Pine)
- Pokok zaitun
- Pokok kacang Walnut
- Rumput Bermuda
- Rumput Bahia
- Rumput Fescue
- Rumpai ragweed
- Rumpai mugwort
- Rumpai pigweed
Tanda-tanda dan Gejala
Gejala dan tanda-tanda alahan debungan yang biasa berlaku adalah:
- Hidung tersumbat
- Hidung berair
- Gatal hidung, mata atau mulut
- Mata berair dan merah
- Rasa tekanan pada bahagian muka
- Batuk
- Sakit tekak
- Bengkak di sekeliling mata
- Deria rasa dan bau berkurangan
- Bersin
Punca atau Penyebab
Alahan debunga berlaku apabila sistem imun tersilap menganggap debunga sebagai bahan yang berbahaya atau alergen.
Sistem imun menghasilkan antibodi yang mengesan alergen dan menyebabkan tindak balas keradangan dan pembebasan bahan kimia yang dipanggil histamin. Histamin menyebabkan gejala alahan seperti gatal hidung, hidung berair, mata berair dan lain-lain.
Rawatan
Mengambil langkah-langkah pencegahan adalah kaedah terbaik untuk menghindari debunga bagi mengelakkan tindak balas alahan.
Meskipun begitu, ada masanya sukar untuk anda mengelak daripada debunga ini sepenuhnya. Beberapa kaedah rawatan berikut boleh membantu.
Ubat-ubatan
Ubat alahan belian kaunter atau farmasi berikut boleh membantu mengurangkan gejala-gejala yang berlaku:
- Ubat antihistamin seperti cetirizine atau diphenhydramine.
- Dekongestan seperti pseudoephedrine atau oxymetazoline.
- Ubat yang mengabungkan antihistamin dan dekongestan seperti loratadine atau fexofenadine.
Suntikan alahan
Suntikan alahan mungkin diperlukan sekiranya ubat-ubatan tidak berkesan untuk mengurangkan gejala-gejala yang dialami.
Suntikan alahan ini adalah salah satu bentuk imunoterapi yang melibatkan beberapa siri suntikan yang mengandungi alergen. Jumlah alergen bagi setiap suntikan akan dinaikkan secara beransur-ansur.
Kaedah rawatan ini boleh memperbaiki tindak balas sistem imun terhadap alergen, dalam konteks ini adalah debunga. Kaedah ini dapat membantu mengurangkan keterukan tindak balas alahan yang berlaku.
Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak disarankan kepada kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun.
Rujukan
- Asthma and Allergy Foundation of America. Pollen Allergy
- Kerr, M. (2022). Pollen Allergies. Healthline.