Agorafobia ialah keresahan yang berlaku apabila seseorang berada di tempat awam atau tempat yang sesak dengan orang ramai yang menyebabkan potensi untuk melepaskan diri atau mendapatkan bantuan adalah sukar.
Agorafobia dicirikan oleh ketakutakan yang boleh disertai dengan simptom-simptom seperti serangan panik (panic attack). Individu yang menghidap agorafobia biasanya akan cuba mengelak untuk berada di lokasi atau situasi demikian.
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition (DSM-5), agorafobia boleh berlaku tanpa perkaitan dengan kecelaruan panik atau kecelaruan keresahan menyeluruh.
Untuk seseorang itu didiagnosis dengan agorafobia, seseorang itu mestilah mempunyai rasa takut terdedah kepada tempat awam dan mesti cuba melakukan sesuatu untuk mengelak daripada situasi tersebut sama ada melalui tingkah laku atau pemikiran.
Di samping itu, untuk seseorang itu disahkan menghidap agorafobia, mereka mestilah menunjukkan simptom-simptom agorafobia melebihi 6 bulan.
Tanda-tanda Agorafobia
Tanda-tanda atau simptom agorafobia adalah rasa takut yang amat sangat jika:
- Berada di luar rumah bersendirian
- Berada di tempat awam seperti tempat parking atau pasar raya
- Menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api atau kapal terbang
- Berada di tempat tertutup seperti panggung wayang, lif atau stor kecil
- Beratur atau berada di tempat orang ramai
Sekiranya pesakit yang mengalami agorafobia ini turut mengalami serangan panik sebagai tambahan. Mereka mungkin akan mengalami atau menunjukkan simptom-simptom seperti:
- Jantung berdenyut kencang
- Sakit dada
- Sukar bernafas atau rasa seperti tercekik
- Rasa pening
- Menggigil
- Peluh yang berlebihan
- Sakit perut atau cirit-birit
- Rasa seperti hilang kawalan
Punca Agorafobia
Punca sebenar yang menyebabkan agorafobia tidak diketahui dengan tepat. Tetapi terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami agorafobia.
Antaranya adalah:
- Menghidap kecelaruan keresahan yang lain seperti kecelaruan keresahan menyeluruh atau kecelaruan keresahan sosial.
- Mempunyai fobia yang lain.
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidap agorafobia
- Pernah didera atau mengalami trauma
- Kemurungan
- Mempunyai masalah penyalahgunaan dadah.
Agorafobia lebih lazim dihidapi golongan wanita berbanding lelaki dan biasanya berlaku seawal umur 20 tahun.
Rawatan Agorafobia
Walaupun kecelaruan panik dan agorafobia telah dibezakan dari segi diagnosis, tetapi rawatan bagi kedua-duanya masih serupa. Rawatan akan diberikan berdasarkan tahap keterukan penyakit yang dialami oleh pesakit.
Rawatan agorafobia ini biasanya melibatkan psikoterapi dan ubat-ubatan.
Psikoterapi
Terapi tingkah laku kognitif adalah psikoterapi yang berkesan dalam merawat kecelaruan keresahan termasuklah agorafobia.
Melalui kaedah terapi ini, pesakit diajar untuk memahami perasaan dan pandangan yang menyimpang yang berkaitan dengan agorafobia.
Terapi ini juga akan mengajar pesakit untuk mengubah pemikiran yang menyimpang tersebut kepada pemikiran yang lebih sihat dan membolehkan pesakit mengawal diri mereka.
Terapi pendedahan juga boleh digunakan dalam merawat pesakit agorafobia. Terapi ini melibatkan pendedahan pesakit kepada situasi atau tempat yang ditakutinya secara perlahan-lahan. Kaedah ini akan membuatkan rasa takut dalam diri pesakit beransur-ansur hilang.
Ubat-ubatan
Sesetengah ubat-ubatan juga boleh membantu melegakan simptom-simptom agorafobia atau serangan panik yang dialami oleh pesakit.
Selective serotonin receptor inhibitors (SSRIs) seperti paroxetine atau fluoxetine boleh dianggap sebagai terapi ubat-ubatan awal yang diberikan untuk merawat agorafobia ini.
Selain itu, terdapat beberapa ubat-ubatan lain yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini seperti:
- Serotonin-norepinephrine reuptake inhibitors (SNRIs) seperti venlafaxine atau duloxetine.
- Tricyclic antidepressants (TCAs) seperti amitriptyline dan nortriptyline.
- Ubat antikeresahan seperti alprazolam, clonazepam dan benzodiazepine.
Komplikasi
Penyakit ini dikaitkan dengan kesusahan dan kemerosotan yang ketara terhadap kehidupan penghidapnya.
Bagi kes-kes yang teruk, penyakit ini boleh menyebabkan penghidapnya terikat dengan rumah sepenuhnya atau bergantung kepada orang lain dalam apa jua urusan yang melibatkan meninggalkan rumahnya.
Selain itu, agorafobia juga boleh meningkatkan risiko penghidapnya untuk mengalami kecelaruan-kecelaruan seperti kecelaruan episod kemurungan major, kecelaruan kemurungan berulang-ulang (distimia) dan kecelaruan penyalahgunaan bahan secara serentak
Rujukan
- Balaram K, Marwaha R. Agoraphobia. [Updated 2021 Mar 1]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK554387/