Kopi sudah semestinya mempunyai ramai peminatnya di seluruh dunia. Sebagai pencinta kopi, mungkin anda tertanya-tanya sama ada minuman kopi ini berasid atau tidak.
Kalau ya, bagaimana ia memberi kesan terhadap kesihatan anda?
Bagi membantu anda mendapatkan jawapannya, artikel ini akan menilai sama ada kopi berasid atau tidak dan kesannya terhadap kesihatan.

Keasidan
Umumnya, keasidan sesuatu bahan atau cecair diukur menggunakan skala pH. Jika cecair tersebut mempunyai skala antara 0 hingga 6, maka ia dikategorikan sebagai berasid.
Manakala, jika cecair tersebut mempunyai skala antara 8 hingga 14, maka ia dikategorikan sebagai beralkali atau bes.
Kebanyakan varieti kopi adalah berasid dengan purata nilai pH antara 4.85 hingga 5.10. [1]
Proses penyeduhan kopi akan melepaskan 9 jenis asid yang utama iaitu: [2]
- Asid klorogenik
- Asid kuinik
- Asid sitrik
- Asid asetik
- Asid laktik
- Asid malik
- Asid fosforik
- Asid linoleik
- Asid palmitik
Asid-asid ini menyumbang kepada profil rasa dan kebaikan kopi.
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Keasidan Kopi
Beberapa faktor berikut boleh memainkan peranan terhadap keasidan kopi:
1. Saiz Kisaran
Saiz kisaran serbuk kopi boleh mempengaruhi keasidan minuman kopi tersebut.
Semakin halus kisaran, semakin besar permukaan yang terdedah berbanding isipadu. Ini boleh membawa kepada lebih banyak asid yang diekstrak semasa proses penyeduhan. [3]
Jadi, sekiranya anda suka kopi yang lebih berasid, maka pilihlah biji kopi yang dikisar halus.
2. Pemanggangan
Tempoh dan suhu pemanggangan memainkan peranan penting dalam menentukan keasidan kopi.
Biji kopi yang dipanggang pada tempoh yang lama dan suhu yang tinggi mempunyai paras asid klorogenik yang rendah. [4]
Ini bermakna, biji kopi panggangan gelap lebih rendah dengan kandungan asid.
3. Penyeduhan
Kaedah penyeduhan juga turut mempunyai kesan terhadap keasidan kopi.
Terdapat kajian yang mendapati kopi diseduh sejuk mempunyai keasidan yang lebih rendah berbanding kopi panas. [5]
Tempoh penyeduhan juga turut memberi kesan terhadap tahap keasidan dengan tempoh yang lebih pendek menghasilkan minuman yang lebih berasid dan tempoh yang sederhana menyebabkan minuman yang kurang berasid. [3]
Kesan Terhadap Kesihatan
Umumnya, keasidan kopi adalah baik-baik sahaja bagi kebanyakan orang.
Tetapi, mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit mungkin boleh terkesan terhadap keasidan kopi tersebut.
Penghidap sindrom usus rengsa (IBS), refluks asid dan ulser gaster boleh terkesan dengan kandungan asid dan kafein dalam minuman kopi. [6, 7]
Kopi tidak menyebabkan keadaan ini. Walau bagaimanapun, jika anda telah didiagnosis dengan salah satu daripadanya, anda selalunya disyorkan untuk mengelakkan kopi.
Rujukan
- Rao, N. Z., & Fuller, M. (2018). Acidity and Antioxidant Activity of Cold Brew Coffee. Scientific reports.
- Jeon, J. S. et al. (2017). Determination of chlorogenic acids and caffeine in homemade brewed coffee prepared under various conditions. Journal of chromatography. B, Analytical technologies in the biomedical and life sciences.
- Cordoba, N. et al. (2019). Effect of grinding, extraction time and type of coffee on the physicochemical and flavour characteristics of cold brew coffee. Scientific reports.
- Moon, J. K. et al. (2009). Role of roasting conditions in the level of chlorogenic acid content in coffee beans: correlation with coffee acidity. Journal of agricultural and food chemistry.
- Rao, N. Z., & Fuller, M. (2018). Acidity and Antioxidant Activity of Cold Brew Coffee. Scientific reports.
- Koochakpoor, G. et al. (2021). Association of Coffee and Caffeine Intake With Irritable Bowel Syndrome in Adults. Frontiers in nutrition.
- Cleveland Clinic (2021). Why Does Coffee Bother My Stomach?