Akhir tahun lepas (2023) kita dapat melihat peningkatan kembali jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. Mungkin ramai yang telah lupa mengenai COVID-19, untuk makluman anda, varian COVID-19 terkini yang aktif di Malaysia adalah jenis Omicron.
Varian Omicron dan subvariannya dilaporkan menjadi varian utama yang menyebabkan jangkitan pada masa ini.
Varian Omicron dan subvariannya juga diketahui mempunyai kadar jangkitan yang tinggi tetapi tidak menyebabkan kes-kes yang teruk. Varian ini biasanya menyebabkan gejala-gejala ringan.
Gejala-gejala atau Simptom Jangkitan COVID-19 Jenis Omicron
Varian Omicron dan subvariannya boleh menyebabkan gejala-gejala atau simptom seperti:
- Hidung berair atau selesema
- Batuk
- Sakit kepala
- Sakit tekak
- Bersin
- Kelesuan ringan atau teruk
Tetapi, gejala-gejala COVID-19 yang lain masih boleh berlaku seperti:
- Demam
- Batuk
- Hilang deria rasa dan bau
Berapa Lama Anda Boleh Menjangkiti Orang Lain?
Varian Omicron mempunyai masa inkubasi yang lebih pendek berbanding varian lain iaitu 3 hari.
Jika anda dijangkiti, anda boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain dari 1-2 hari sebelum gejala bermula sehingga 2-3 hari selepas ia hilang.
Walaupun anda tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom, anda masih boleh menjangkiti orang lain.
Sepuluh hari selepas gejala anda bermula atau anda diuji positif untuk COVID-19, anda seharusnya tidak lagi menjangkiti orang lain, selagi anda berasa lebih baik dan demam sudah berhenti.
Subvarian Omicron
Terdapat kira-kira 5 subvarian Omicron yang dilaporkan iaitu:
- Subvarian BA.2: Subvarian ini mudah berjangkit sepertimana varian Omicron yang asal. Vaksin COVID-19 dilaporkan berkesan untuk subvarian ini.
- Subvarian BA. 4: Mula-mula dikenalpasti di Afrika Selatan pada tahun 2022. Menyebabkan peningkatan jangkitan.
- Subvarian BA.5: Subvarian ini lebih mudah tersebar berbanding subvarian BA.4.
- Subvarian XBB: Subvarian ini adalah gabungan dua strain BA.2. Ia mempunyai mutasi yang membantu ia mengelakkan imuniti lebih baik daripada varian lain. Ia juga melekat lebih rapat pada sel, menjadikannya lebih mudah untuk merebak.
- Subvarian EG.5 “Eris”: Keturunan subvarian XBB ini pertama kali muncul pada Februari 2023. Ia juga sangat mudah untuk merebak.
- Subvarian JN.1: Subvarian ini lebih mudah tersebar berbanding subvarian yang lain. Juga merupakan sebahagian daripada kumpulan XBB.
Apa yang Anda Perlu Lakukan Jika Dijangkiti Varian Covid-19 Terkini Ini?
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan amalan TRISS sekiranya dijangkiti virus COVID-19.
Amalan TRISS ini melibatkan tindakan seperti:
- Test (Uji): Segera melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya mengalami gejala-gejala seperti hidung berair, demam atau batuk.
- Report (Lapor): Laporkan keputusan ujian pengesanan kendiri di aplikasi MySejahtera.
- Isolate (Asing): Lakukan pengasingan kendiri dengan segera dan berdisiplin.
- Inform (Maklum): Maklumkan kepada semua kontak rapat agar mereka memantau status kesihatan sendiri atau melakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala.
- Seek (Mendapatkan Rawatan): Dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya gejala bertambah teruk. Bagi golongan berisiko, segera ke fasiliti kesihatan walaupun bergejala ringan.
Bagaimana Jangkitan COVID-19 Dirawat?
Bagi mereka yang telah menerima vaksin, gejala-gejala mungkin pulih dengan sendirinya selepas beberapa hari.
Bagi sesetengah orang yang berisiko tinggi, rawatan menggunakan ubat antivirus seperti Paxlovid mungkin diberikan.
Langkah-langkah Pencegahan
Walaupun jangkitan varian COVID-19 yang terkini ini secara umumnya tidak menyebabkan gejala-gejala yang teruk, langkah-langkah pencegahan boleh membantu.
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah:
- Membasuh tangan dengan sabun.
- Amalkan pemakaian pelitup muka terutamanya di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
- Patuhi TRIIS.
Rujukan
- Benisek, A. (2023). The COVID-19 Omicron Variant. WebMD
- KKM. (2023). KENYATAAN MEDIA KKM 23/12/2023 – SITUASI TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2023). Update on SARS-CoV-2 Variant JN.1 Being Tracked by CDC.