Ubat Paxlovid adalah ubat antivirus untuk merawat penyakit COVID-19 pada tahap ringan hingga sederhana. Ubat ini adalah kombinasi antara ubat nirmatrelvir dan ubat ritonavir.
Paxlovid hanya digunakan oleh pesakit yang memenuhi semua kriteria berikut:
- Berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik
- Dijangkiti COVID-19 tahap ringan hingga sederhana dan
- Jangkitan COVID-19 yang dialaminya berisiko tinggi untuk menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian
- Dimulakan dalam jangkamasa 5 hari gejala bermula
Bagaimana Ubat Paxlovid Berfungsi?
Ubat Paxlovid terdiri daripada dua jenis ubat iaitu nirmatrelvir dan ritonavir.
Nirmatrelvir ialah perencat protease virus COVID-19 utama yang menghalang replikasi virus pada peringkat awal jangkitan bagi mencegah perkembangan COVID-19 menjadi lebih teruk.
Ritonavir pula diberikan bersama-sama nirmatrelvir untuk membantu memperlahankan metabolisme ubat tersebut bertujuan agar ia kekal aktif dalam badan untuk jangka masa yang lebih lama pada kepekatan yang lebih tinggi untuk membantu memerangi virus.
Bagaimana Paxlovid Digunakan?
Ubat Paxlovid adalah ubat preskripsi bermakna ia hanya boleh didapati melalui preskripsi doktor sahaja. Doktor anda akan menetapkan dos yang sesuai untuk anda.
Secara umumnya, dos yang disarankan adalah 2 tablet setiap satunya mengandungi 150 mg nirmatrelvir dan 1 tablet yang mengandungi 100 mg ritonavir yang perlu dimakan bersama-sama.
Paxlovid ini perlu dimakan sebanyak 2 kali sehari selama 5 hari.
Paxlovid harus diberikan secepat mungkin selepas diagnosis COVID-19 dibuat dan dalam masa 5 hari dari permulaan simptom.
Kesan Sampingan atau Risiko yang Wujud
Kesan sampingan yang paling biasa dengan Paxlovid (yang mungkin menjejaskan kurang daripada 1 dalam 10 orang) ialah:
- Gangguan rasa
- Cirit-birit
- Sakit kepala
- Muntah.
Interaksi dengan Ubat-ubatan Lain
Paxlovid tidak boleh digunakan bersama-sama dengan ubat-ubatan yang berbahaya pada tahap tinggi dalam darah dan pecahan dalam badan dikurangkan oleh ritonavir.
Antaranya adalah ubat-ubat berikut:
- Amiodarone, dronedarone, flecainide, propafenone, quinidine – (ubat antiaritmia)
- Apalutamide – (ubat untuk merawat kanser prostat)
- Alfuzosin – (ubat untuk merawat hiperplasia prostat benigna)
- Carbamazepine, phenobarbital, phenytoin – (ubat sawan)
- Colchicine – (ubat gout)
- Dihydroergotamine, ergotamine, methylergonovine – (ubat migrain)
- Lovastatin, simvastatin – (ubat kolesterol tinggi)
- Lurasidone, pimozide, clozapine – (ubat antipsikotik)
- Pethidine, piroxicam, propoxyphene – (ubat tahan sakit)
- Ranolazine – (ubat untuk merawat sakit dada)
- Rifampin – (ubat untuk merawat penyakit tibi)
- Sildenafil (Revatio®) – (Ubat untuk hipertensi arteri pulmonari)
- St. John’s Wort (hypericum perforatum)
- Triazolam, oral midazolam – (ubat tidur / merawat insomnia)
Sebelum anda mengambil Paxlovid, maklumkan doktor anda jika anda:
- Mempunyai alahan
- Sedang mengandung atau merancang untuk mengandung
- Sedang menyusukan anak
- Menghidap penyakit hati atau buah pinggang
- Menghidap penyakit yang serius
Adakah Paxlovid Berkesan?
Pada November 2022, Centers for Disease Control and Prevention (CDC) melaporkan bahawa kajian menunjukkan orang dewasa yang mengambil Paxlovid dalam tempoh lima hari selepas didiagnosis COVID-19 mempunyai kadar kemasukan ke hospital 51% lebih rendah dalam tempoh 30 hari berikutnya berbanding mereka yang tidak diberi ubat tersebut.
Kajian tersebut termasuk orang yang telah divaksinasi atau mempunyai jangkitan sebelumnya.
Satu analisis terkini juga turut melaporkan bahawa ubat antivirus ini berkesan dalam membantu mengurangkan kematian dan kemasukkan ke hospital dalam kalangan pesakit COVID-19.
Rujukan
- Shah MM, Joyce B, Plumb ID, et al. Paxlovid Associated with Decreased Hospitalization Rate Among Adults with COVID-19 — United States, April–September 2022. MMWR Morb Mortal Wkly Rep 2022;71:1531–1537.
- Wen, W. et al. (2022). Efficacy and safety of three new oral antiviral treatment (molnupiravir, fluvoxamine and Paxlovid) for COVID-19:a meta-analysis. Annals of medicine.
- Stewart,J. (2022). Paxlovid. Drugs.com