Kesedihan adalah pengalaman yang sangat peribadi, tidak dapat dijangka dan sering kali terasa terlalu berat.
Ramai orang yang berniat baik cuba menghibur, tetapi kata-kata mereka boleh menyakitkan tanpa disedari.
Pakar mengenal pasti beberapa kata-kata atau frasa umum yang wajar dielakkan kerana ia boleh merendahkan, menafikan atau memberi tekanan kepada seseorang yang sedang dalam kesedihan yang mendalam.
Dengan lebih peka, jujur dan ikhlas, kita boleh memberi sokongan yang lebih bermakna.
Kenapa Frasa-frasa Tertentu Boleh Menjadi Menyakitkan?
Ramai yang mengatakan sesuatu semata-mata untuk mengurangkan rasa tidak selesa, tetapi hasilnya mungkin sebaliknya.
Kesedihan memang tidak selesa bukan untuk orang yang mengalaminya, mahupun untuk yang mendengar.
Bila kita cuba memberi alasan atau kata-kata “penghibur”, kita secara tidak langsung memberitahu bahawa kesedihan itu sepatutnya ada hadnya seolah-olah mereka bersedih dengan cara yang salah.
Frasa yang Patut Dielakkan dan Sebab Ia Menyakitkan
Pakar memberi amaran terhadap beberapa frasa yang sering digunakan tetapi boleh menyakitkan secara tidak sengaja.
“Saya tahu perasaan awak.”
Setiap orang merasai kesedihan dengan cara yang unik. Walaupun anda pernah mengalami kehilangan yang sama, anda tidak boleh menyamakan kesedihan anda dengan mereka.
“Dia di tempat yang lebih baik sekarang” atau “Dia sudah hidup lama.”
Frasa ini boleh membuat seseorang merasa seperti kehilangan itu tidak penting. Hakikatnya, mereka mungkin hanya mahu orang tersayang itu masih ada bersama mereka, bukan hanya sekadar kenangan.
“Sekurang-kurangnya awak sempat bersedia.”
Walaupun kehilangan itu dijangka, kesedihan tetap boleh terasa amat perit. Frasa ini boleh menyampaikan mesej bahawa mereka sepatutnya tidak terlalu sedih.
“Kuatkan semangat.” atau “Awak kena teruskan hidup.”
Frasa seperti ini menafikan emosi mereka. Ia memberi tekanan supaya mereka “nampak okay” walaupun hati mereka masih hancur.
“Sekurang-kurangnya awak masih ada…” (contohnya ahli keluarga lain).
Membandingkan atau menyebut pengganti hanya akan membuat kesedihan itu terasa lebih dalam. Tiada siapa yang boleh menggantikan orang yang telah pergi.
“Ingatlah kenangan yang indah.”
Kenangan boleh menjadi sesuatu yang menyakitkan, terutamanya pada awal tempoh kehilangan. Bukan semua orang bersedia untuk mengingati saat-saat lalu.
Apa yang Sepatutnya Kita Katakan dan Cara untuk Benar-benar Membantu
Jadi, apa yang patut dikatakan?
1. Akui Kesakitan Mereka Secara Jujur
Kata-kata seperti “Saya minta maaf atas kehilangan ini” atau “Ini pasti sangat menyakitkan untuk awak” lebih membantu dan menunjukkan empati.
2. Tawarkan Bantuan Secara Spesifik
Daripada berkata “Beritahu kalau perlukan bantuan,” cuba tawarkan sesuatu yang konkrit: “Boleh saya hantar makanan hari Jumaat?” atau “Perlu saya bantu kemaskan rumah?”
3. Hadir dan Jadi Pendengar
Diam juga boleh memberi kelegaan. Tanyakan, “Awak nak bercerita?” dan dengar tanpa mengganggu atau cuba memberi jalan penyelesaian.
4. Kongsi Kenangan (jika sesuai)
Jika anda kenal orang yang telah meninggal dunia itu, berkongsi kenangan manis boleh menghubungkan mereka semula dengan orang yang disayangi.
5. Sokong dengan Kesabaran dan Galakkan Bantuan Profesional
Ingatkan mereka bahawa tiada had masa untuk bersedih. Jika mereka masih bergelut lama selepas itu, cadangkan sokongan seperti kaunseling kesedihan atau kumpulan sokongan.
6. Hormati Cara Mereka Bersedih atau Berkabung
Sesetengah orang menangis secara terbuka. Manakala yang lain bersedih secara senyap atau menyibukkan diri.
Ramai orang bersedih dengan cara yang berbeza. Elakkan menilai bagaimana mereka bersedih.
Tetapi harus diingat, di dalam Islam, umat Islam ditegah daripada bersedih secara berlebihan seperti meronta-ronta atau meraung-raung sehingga mengoyakkan baju dan sebagainya.
Kenapa semua ini penting
Kajian menunjukkan bahawa sokongan sosial memainkan peranan penting dalam pemulihan selepas kehilangan.
Bila seseorang itu merasa didengari, bukan diceramahi, proses kesedihan menjadi lebih sihat. Sebaliknya, kata-kata yang menyakitkan walaupun seketika boleh terus diingati dan menjadi beban tambahan.
Kata-kata yang salah hanya menambah satu lagi beban yang perlu ditanggung oleh mereka yang sedang bersedih.
Kesimpulan
Tiada cara sempurna untuk menghiburkan seseorang yang sedang berduka, tetapi bertimbang rasa tentang apa yang kita katakan adalah tempat yang berkesan untuk bermula.
Bila ragu-ragu, kata-kata paling mudah seperti “Saya ada di sini untuk awak” selalunya paling berkesan.
Rujukan
- Scott, H. R. et al. (2020). A systematic review of studies describing the influence of informal social support on psychological wellbeing in people bereaved by sudden or violent causes of death. BMC psychiatry.
- Cacciatore, J. et al. (2021). What is good grief support? Exploring the actors and actions in social support after traumatic grief. PloS one.