Buat mereka yang ingin mengenali Jack Ma, beliau adalah pengasas kepada syarikat e-dagangan gergasi iaitu Alibaba. Terdapat banyak pengajaran hidup atau nasihat yang boleh dipelajari daripada seorang yang bergelar Jack Ma ini.
Nama penuh Jack Ma ialah Ma Yun. Beliau dilahirkan pada 10 September 1964 di Hangzhou, Zhejiang, China.
Pada awal permulaan kariernya, Jack Ma bukanlah seorang usahawan atau ahli perniagaan. Beliau adalah seorang guru. Setelah tamat pengajian di Hangzhou Normal University, beliau telah ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar di Hangzhou Dianzi University.
Jika diselusuri perjalanan hidupnya, Jack Ma pernah gagal dalam peperiksaan kemasukan bagi universitinya sebanyak 2 kali. Itu tidak menghalang beliau daripada menjadi pelajar yang cemerlang di universitinya dan dipilih sebagai pengerusi pelajar.
Cita-cita atau hasrat Jack Ma untuk menubuhkan syarikat sendiri adalah dicetuskan oleh mentornya iaitu pasangan Australia. Daripada pasangan ini, beliau menyedari bahawa China masih ketinggalan daripada banyak negara maju yang lain.
Berikut adalah beberapa pengajaran hidup yang boleh dipelajari daripada tokoh perniagaan bernama Jack Ma.
1. Ketabahan
Jack Ma menceburi bidang keusahawanan dengan memulakan agensi penterjemahan profesional pertama di Hangzhou – Hope Translation Agency. Usaha niaga sebanyak 3,000 yuan bersama-sama 5 orang rakan dan bekas rakan sekerjanya ini tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Pendapatan bulan pertama tidak pun sampai 600 yuan dan pekerja-pekerja beliau mula hilang keyakinan. Sebagai langkah mencari sumber pendapatan untuk menampung operasi agensinya itu, Jack Ma telah berniaga menjual bunga, hadiah dan cendermata. Malah beliau turut menjual dari pintu ke pintu.
Setelah 3 tahun kerugian, pada tahun 1995 agensi penterjemahan beliau ini mula menjana keuntungan dan kini Hope Translation Agency ini adalah agensi penterjemahan terbesar di Hangzhou.
Sikap berani dan tabah yang ditunjukkan oleh Jack Ma ini boleh dijadikan pengajaran buat kita yang ingin berjaya. Selagi, matlamat dan impian kita itu benar. Kita harus terus cekal dan tabah mengharungi apa jual rintangan yang mendatang sebelum kita mengecapi sesuatu kejayaan.
2. Mempercayai Diri Sendiri
Jack Ma juga turut berkongsi bahawa salah satu ramuan untuk berjaya ialah percaya akan diri sendiri. Beliau turut menyatakan bahawa generasi muda hari ini lebih berkebolehan daripada mereka dahulu. Apa yang penting ialah yakin akan diri sendiri dan rakan kongsi ketika orang lain menentang.
Jika dilihat daripada pengalaman Jack Ma sendiri, semasa beliau berkongsi hasratnya untuk menjalankan perniagaan internet, hanya seorang daripada 24 orang rakannya yang menyokong idea tersebut.
Oleh kerana keazaman dan keyakinan diri, Jack Ma tetap juga meneruskan hasratnya untuk menjalankan perniagaan internet. Hasilnya, kini beliau adalah jutawan daripada perniagaan tersebut.
3. Mempunyai Impian
Menurut Jack Ma, “Perkara pertama seorang usahawan perlu lakukan ialah memiliki impian”. Beliau mengambarkan bahawa beliau membuat keputusan untuk berhenti kerja dan mengejar impiannya itu menjalankan perniagaan internet.
Tidak kira apa matlamat kita sekali pun, impian atau cita-cita akan meletakkan seseorang itu pada landasan yang betul. Impian juga akan mendorong seseorang itu untuk terus maju ke hadapan walaupun menghadapi pelbagai rintangan.
Oleh itu, seseorang yang ingin berjaya harus mempunyai impian dan cita-cita.
4. Kekal Positif dan Optimistik
Jack Ma juga sering menasihati orang muda untuk kekal positif dan optimistik tentang masa depan serta berhenti merungut. Beliau juga turut mengulas lanjut, apakah yang akan kita perolehi jika kita hanya merungut tanpa berbuat sesuatu?
Beliau turut berkongsi bahawa dunia ini mempunyai terlalu ramai orang yang bagus dalam mengkritik dan kurang orang yang betul-betul berusaha untuk sedar dan mendapatkan sesuatu. Beliau mengumpamakan banyak syarikat yang mempunyai ribuan strategi, idea dan kritikan. Cuma apa yang syarikat-syarikat ini kurang adalah orang yang akan melaksanakan strategi, idea dan mengambil kritikan yang membina.
Menjadi seorang yang positif dan optimistik akan mendorong kita agar sentiasa maju kehadapan, melakukan sesuatu untuk mengubah nasib diri kita dan bukan hanya merungut.
Dunia ini adalah suatu tempat yang tidak adil. Tetapi, satu perkara yang adil dan pasti ialah setiap daripada kita memiliki 24 jam sehari, tidak kira siapa pun mereka.
Jack Ma
5. Kepercayaan
Salah satu nilai yang dipamerkan oleh Jack Ma yang turut boleh dijadikan pengajaran hidup buat kita ialah memiliki kepercayaan. Kepercayaan kepada mereka yang mempunyai kemahiran dan bakat yang tidak kita perolehi.
Seperti Jack Ma, beliau sebenarnya adalah seorang yang “buta komputer”. Tetapi beliau masih berjaya meminpin Alibaba sehingga berjaya. Kuncinya adalah beliau percaya kepada mereka yang boleh melakukan sesuatu kerja.
Apabila anda percaya, semuanya menjadi mudah. Tetapi jika anda tidak percaya, semuanya akan menjadi rumit.
Jack Ma
6. Menjadi Seorang yang Dermawan
Seperti Warren Buffett atau Bill Gates, Jack Ma juga merupakan seorang tokoh yang dermawan. Bagi Jack Ma, dermawan tidak semestinya mendermakan wang tetapi mencipta pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik untuk generasi masa depan.
Beliau percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk menyelesaikan masalah sosial terutamanya di kawasan pedalaman.
Oleh itu, beliau telah melancarkan satu initiatif yang menawarkan 10 juta yuan kepada 100 cikgu Cina di kawasan pedalaman untuk menyokong pendidikan di kawasan pedalaman. Jack Ma juga turut mendermakan 100 juta yuan kepada bekas universitinya (Hangzhou Normal University) bagi menyediakan dana untuk menyokong program latihan guru dan kajian akademik.
7. Jangan Takut Melakukan Kesalahan
Antara salah satu nasihat popular Jack Ma ialah:
“At age 25 years, make enough mistakes. Don’t worry! You fall, you stand up, you fall.. enjoy it! You’re 25 years old, enjoy the show!”
Sememangnya setiap orang pasti akan tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Kesilapan atau kesalahan adalah guru terbaik untuk seseorang itu berjaya dan menjadi lebih baik.