Mereka yang selalu membuat kek mesti pernah dengar nama Ovalette. Jika tidak pernah tahu apa itu Ovalette, maka anda berada di tempat yang betul.
Artikel ini akan menerangkan:
- Apa itu Ovalette
- Fungsi dan kegunaan Ovalette
- Produk atau jenama yang mempunyai sijil halal
- Adakah selamat digunakan?
Apa itu Ovalette?
Ovalette ialah produk bagi penstabil dan pengemulsi kek yang biasanya digunakan dalam pembuatan kek seperti kek span. Ovalette turut dikenali dengan nama lain seperti Ovalett, Ovalet, penstabil kek span (sponge cake stabilizer) atau pengemulsi (emulsifier).
Pengemulsi ialah bahan tambahan (aditif) yang digunakan untuk menstabilkan dua bahan yang tak terlarut campur seperti minyak dan air.
Ovalette ini biasanya mudah didapati dan dikenali di negara-negara Asia walaupun pengeluarnya ada yang bukan dari negara-negara Asia seperti Turki, Australia, New Zealand, Switzerland dan Itali.
Produk yang berbentuk seperti pes dan berwarna kuning ini biasanya dijual dalam bentuk pukal. Tetapi boleh juga didapati dalam bentuk pek kecil di kedai-kedai yang menjual bahan membuat kek.
Bergantung kepada pengeluarnya, bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk ini asasnya mengandungi:
- Monogliserida (Monoglyceride) atau Emulsifier E471
- Poligliserol (Polyglycerol) atau Emulsifier E475
- Sorbitol E420 (humektan / pelembap)
- Tartrazine E102 (pewarna)
- Air
Monogliserida ini dihasilkan daripada proses gliserolisis antara trigliserida (lemak) dan gliserol. Trigliserida ini diambil daripada lemak tumbuhan atau haiwan. [1]
Monogliserida ini juga turut dikenali sebagai Glycerol monostearate (GMS).
Kod E471 pula merujuk kepada kelas aditif makanan yang terdiri daripada monogliserida (monoglyceride) dan digliserida (diglyceride). [2]
Poligliserol atau nama panjangnya Polyglycerol esters of fatty acids (E475) ialah campuran poligliserol yang terdiri daripada monogliserol, digliserol, trigliserol dan tetragliserol dengan asid lemak. [3]
Oleh sebab monogliserida ini boleh dihasilkan daripada lemak haiwan. Maka, adalah penting bagi umat Islam untuk mendapatkan produk yang mempunyai pengesahan HALAL oleh pihak JAKIM.
Fungsi dan Kegunaan Ovalette
Fungsi dan kegunaan Ovalette adalah sebagai penstabil atau pengemulsi bagi bater atau adunan supaya kek yang dihasilkan menjadi lebih lembut dan gebu.
Bater ialah adunan cair yang terbentuk daripada campuran tepung, cecair serta ramuan lain seperti telur dan susu yang digunakan untuk membuat kek, mufin dan sebagainya.
Produk penstabil ini akan membantu telur yang dipukul agar senang untuk naik dan kembang. Selain itu, ia turut membantu telur yang dipukul untuk terus stabil, tidak mudah untuk hilang buih dan isipadunya.
Menurut Cauvain, tanpa beberapa bentuk penstabilan, gelembung udara yang tersekat semasa proses pencampuran akan menyatu dengan cepat, naik ke permukaan adunan dan akan hilang.
Penambahan penstabil seperti glycerol monostearate (GMS) membantu mengawal saiz dan kuantiti gelombang udara yang bercampur dalam adunan. [4]
Ciri-ciri penstabil ini menjadikannya pilihan bagi pembuat kek terutamanya kek span yang memerlukan struktur span. Ia juga digunakan dalam pembuatan aiskrim.
Produk atau Jenama yang Mempunyai Sijil Halal
Berdasarkan semakan di laman direktori HALAL Malaysia terdapat beberapa produk Ovalette yang mendapat kelulusan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Jadual berikut adalah senarai produk, jenama dan syarikat serta tarikh luput sijil halal yang dimiliki mereka.
No. | Nama Produk / Jenama | Syarikat | Tarikh Luput Sijil Halal |
---|---|---|---|
1. | Goldfish Ovalette | Poh Hong Trading Co | 31/08/2024 |
2. | Nur Ovalette | Plusmore Sdn Bhd | 15/11/2025 |
3. | Ovalette Special | PKS Bakery Ingredients Sdn Bhd | 15/10/2025 |
4. | Ovalette | My Hero Hypermarket Sdn Bhd | 15/12/2025 |
5. | Sponge Emulsifier (Ovalette) | Sejati Bakery Trading Sdn Bhd | 15/08/2024 |
6. | Cake Stabiliser-Ovalett Special | Bidari Kualiti Sdn Bhd | 30/04/2024 |
7. | Emulsifier / Ovalett (Pengemulsi) | SRRI Easwari Mills Sdn Bhd | 31/07/2024 |
8. | Ovalett | S.E.A Field Food Industries Sdn Bhd | 15/12/2025 |
9. | Ovalett (Improver) | AIC Ingredients Sdn Bhd | 31/07/2024 |
10. | Ovalett | Mui Hiong Foodstuff Sdn Bhd | 15/12/2024 |
11. | Ovalett (Pengemulsi) | 360Horizonz Sdn Bhd | 31/03/2024 |
12. | Ovalett/Ovalet | Spicon Products Sdn Bhd | 31/08/2024 |
13. | Ovalett 320 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2025 |
14. | Ovalett 350 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/08/2025 |
15. | Ovalett 420 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2025 |
16. | Ovalett 430 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2024 |
17. | Ovalett 450 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2024 |
18. | Ovalett 458 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2024 |
19. | Ovalett 460 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/08/2025 |
20. | Ovalett 480 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/11/2024 |
21. | Ovalett 520 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/08/2025 |
22. | Ovalett 800 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/08/2025 |
23. | Ovalett 820 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2024 |
24. | Ovalett 830 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/11/2024 |
25. | Ovalett 850 | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/08/2025 |
26. | Ovalett Cake Stabilizer (Ovalett Kek) | Kasihku Marketing Sdn Bhd | 31/10/2024 |
27. | Ovalett Special | BWY Holdings Sdn Bhd | 15/09/2024 |
28. | Ovalett Special | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 31/08/2025 |
29. | Ovalette | VNUS Marketing PLT | 15/04/2025 |
30. | Ovalett Special/Ovalett Istimewa | Sadji Food Packaging | 30/09/2024 |
31. | Ovalett Special Clear/Ovalett Special (NC) | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 31/08/2025 |
32. | Ovalett Standard | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/02/2026 |
33. | Ovalett Super | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/04/2024 |
34. | Ovalett Supreme | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 15/02/2026 |
35. | Ovalett Supreme (NC) | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 30/06/2024 |
36. | Ovalett Thai | Bakels (Malaysia) Sdn Bhd | 31/08/2025 |
37. | Pastry Pro Ovalett | Pastry Pro Sdn Bhd | 15/06/2025 |
38. | Ovalette | Rakanda Enterprise Sdn Bhd | 15/11/2025 |
39. | Sponge, Ovalette | Bens Kitchen Sdn Bhd | 31/10/2025 |
40. | Ovalette-Cake Emulsifier (Pengemulsi Kek) | Kimwah (Kluang) Marketing Sdn Bhd | 30/04/2025 |
Adakah Selamat Digunakan?
Secara umumnya, produk ini adalah SELAMAT untuk dimakan atau digunakan pada kadar yang telah ditetapkan.
Tiada kajian atau laporan khusus mengenai kesan negatif ovalette terhadap manusia.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap penggunaan pengemulsi yang mengandungi bahan seperti carboxymethylcellulose dan polysorbate-80. Kajian terhadap haiwan ini mendapati pengemulsi ini menyebabkan keradangan gred rendah, peningkatan paras gula darah, peningkatan berat badan dan meningkatkan risiko kanser usus. [5, 6]
Penstabil atau pengemulsi banyak digunakan dalam makanan berproses atau karbohidrat bertapis. Di negara ini, banyak produk yang menggunakan penstabil dan pengemulsi tidak menyatakan dengan jelas bahan-bahan yang digunakan.
Oleh hal yang demikian, bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, penyakit jantung atau kanser harus mengehadkan atau menghindari makanan yang berproses.
Mereka yang mengamalkan diet Paleo atau diet PCOS juga harus mengehadkan makanan berproses.
Rumusan
Ovalette ialah produk penstabil dan pengemulsi yang selalunya digunakan dalam pembuatan kek seperti kek span.
Oleh sebab produk ini boleh dihasilkan daripada lemak haiwan, maka pengguna Islam harus peka akan produk yang digunakan mempunyai sijil halal atau tidak.
Rujukan
- Glycerol monostearate. Wikipedia [diakses pada 2 Disember 2020].
- Mono- and diglycerides of fatty acids. Wikipedia [diakses pada 2 Disember 2020].
- Jakobsan, G. et al. (1995). Process for preparing polyglycerol fatty acid ester mixtures and use in cosmetic, pharmeceutical and chemical preparations. FPO.
- Cauvain, S.P. (2003). CAKES | Methods of Manufacture. Encyclopedia of Food Sciences and Nutrition (Second Edition).
- Chassaing, B., et al. (2015). Dietary emulsifiers impact the mouse gut microbiota promoting colitis and metabolic syndrome. Nature.
- Viennois, E., et al. (2017). Dietary Emulsifier-Induced Low-Grade Inflammation Promotes Colon Carcinogenesis. Cancer research.