Biasanya apabila seseorang itu demam, mereka akan kehilangan selera makan. Meskipun begitu, makanan tetap penting kerana badan memerlukan nutrien-nutrien daripada makanan tersebut untuk pulih. Teruskan membaca untuk mengetahui pilihan makanan untuk orang demam yang boleh anda berikan kepada pasangan, ahli keluarga atau anak anda.
Demam boleh disebabkan oleh banyak punca, namun jangkitan virus atau bakteria seperti selesema dan radang perut dan usus adalah antara punca yang paling kerap berlaku. Seseorang itu dianggap demam apabila suhu mulut adalah 37.8°C atau lebih tinggi.
Selain suhu badan yang panas, pasangan atau anak anda juga mungkin akan mengalami gejala-gejala seperti:
- Berpeluh
- Sakit kepala
- Menggigil
- Sakit-sakit badan
Selain itu, sekiranya demam tersebut disebabkan oleh selesema, pasangan, ahli keluarga atau anak anda juga mungkin turut mengalami gejala-gejala seperti:
- Sakit tekak
- Hidung berair
- Batuk
- Bersin
Makanan untuk Orang Demam (Dewasa)
Sudah semestinya, matlamat kita semua adalah demam yang dialami dapat sembuh dengan segera. Terdapat makanan tertentu untuk orang demam yang sebenarnya boleh membantu melawan jangkitan dan mengekalkan fungsi-fungsi badan.
1. Air
Semasa demam, seseorang itu mudah untuk mengalami dehidrasi (kekurangan cecair dalam badan). Dehidrasi boleh terjadi semasa demam apabila seseorang itu kurang makan dan minum air serta banyak berpeluh.
Meminum air yang mencukupi dapat membantu fungsi badan secara keseluruhan. Selain itu, meminum air yang mencukupi juga boleh mencegah daripada berlakunya sembelit.
2. Buah-buahan dan Sayur-sayuran Kaya Vitamin C
Vitamin C adalah vitamin yang penting untuk membantu menguatkan sistem imun badan (sistem pertahanan badan) terutamanya jika anda mengalami demam selesema. [1]
Antara buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi dengan vitamin C adalah:
- Buah jambu batu
- Buah longan
- Buah betik
- Buah oren
- Pucuk ubi kayu
- Cekur manis
- Kailan
- Sawi
3. Sup Ayam
Sup ayam adalah makanan yang sinonim dengan orang sakit. Biasanya, sup ayam menjadi hidangan bagi mereka yang hilang selera makan akibat demam dan sebagainya.
Sup ayam adalah sumber yang baik untuk menghidratkan badan serta turut membekalkan elektrolit yang diperlukan oleh badan.
Tambahan itu juga, kandungan sayur seperti lobak merah, bawang dan saderi turut boleh membekalkan vitamin C dan A kepada pesakit.
4. Bawang Putih
Bawang putih juga adalah makanan penyembuh yang boleh dimakan ketika demam. Khasiat bawang putih ini ada dilaporkan dalam kajian yang mendapati suplemen bawang putih boleh meningkatkan keimunan dan mengurangkan gejala demam selesema. [2]
Anda boleh memanfaatkan khasiat bawang putih ini dengan menggunakannya dalam masakan atau penyediaan makanan.
5. Yogurt
Makanan untuk orang demam yang seterusnya adalah yogurt terutamanya yogurt yang tidak ditambah gula tambahan (yogurt asli).
Yogurt mengandungi probiotik iaitu bakteria baik yang boleh membantu menguatkan sistem imun badan anda.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendedahkan bahawa yogurt yang mengandungi probiotik (Lactobacillus) boleh memendekkan tempoh demam selesema yang berlaku. [3]
6. Bubur Rebusan Tulang
Bubur rebusan tulang atau bone broth adalah makanan yang turut sesuai dihidangkan kepada mereka yang demam.
Bubur rebusan tulang kaya dengan nutrien dan antioksidan. Ia juga boleh membantu mencegah dehidrasi. Bubur ini juga boleh membantu melegakan sakit tekak dan membersihkan hidung yang tersumbat.
7. Aiskrim Batang
Aiskrim batang yang dihasilkan daripada 100% jus buah juga boleh membantu melegakan sakit tekak atau menghidratkan kerongkong yang mungkin kering akibat sakit tekak yang dialami.
8. Teh Panas
Teh panas seperti teh halia, teh hijau atau teh oolong adalah antara teh yang kaya dengan antioksidan. Anda boleh menambah madu ke dalam teh ini untuk meningkatkan rasa dan khasiat teh tersebut.
Teh panas boleh membantu melegakan sakit tekak dan hidung tersumbat yang mungkin berlaku semasa demam selesema.
9. Sayur-sayuran Berdaun Hijau
Sayur-sayuran berdaun hijau juga sesuai dijadikan makanan kepada mereka yang demam. Sayur-sayuran ini kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang boleh menguatkan sistem imun badan.
Antaranya adalah:
- Kailan
- Brokoli
- Bayam
- Sawi
- Bok choy
- Kangkung
- Ulam raja
10. Buah Pisang
Buah pisang adalah makanan yang menyamankan untuk perut. Selain membekalkan elektrolit seperti kalium (potassium), pisang juga sesuai untuk dimakan sekiranya anda mengalami demam yang disertai loya atau muntah-muntah.
Makanan untuk Anak Demam
Kanak-kanak merupakan golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan virus seperti demam atau demam selesema.
Sekiranya anak anda demam, pastikan mereka diberikan ubat yang sesuai dan berehat dengan secukupnya.
Di samping itu, anda boleh membantu mereka untuk sembuh dengan lebih cepat dengan menyediakan makanan-makanan yang baik untuk orang demam.
1. Air
Mendapatkan air yang mencukupi adalah penting kepada mereka yang demam atau demam selesema bagi mencegah daripada berlakunya dehidrasi.
Anda harus menggalakkan anak anda untuk meminum air yang banyak. Selain air kosong, anda boleh membekalkan mereka dengan jus buah yang dicairkan atau sup.
2. Sup Ayam
Anda juga boleh menyajikan sup ayam sebagai salah satu cara menghidratkan badan anak anda.
Selain itu, sup ayam juga turut membekalkan protein dan boleh melegakan sakit tekak yang dialami.
Malah, satu kajian mendapati bahan-bahan dalam sup ayam boleh membantu mengurangkan keradangan dan meningkatkan tindak balas sistem imun terhadap penyakit. [4]
3. Buah-buahan Kaya Vitamin C yang Lembut
Buah-buahan yang tinggi dengan vitamin C dan bersifat lembut juga sesuai untuk diberikan kepada anak anda yang demam.
Buah-buahan ini boleh membantu menguatkan sistem imun untuk melawan jangkitan, nyaman untuk perut dan boleh mengelakkan daripada risiko tercekik.
Antara contoh buah-buahan tersebut adalah:
- Buah betik
- Buah mangga
- Buah pisang
- Buah anggur
- Buah tembikai
4. Bubur Nasi
Anak anda mungkin kehilangan selera makan akibat sakit tekak atau keradangan pada kerongkong. Walau bagaimanapun, mereka masih memerlukan makanan untuk mendapatkan tenaga.
Anda boleh mencuba memberikan mereka bubur nasi atau kentang lecek sebagai sumber karbohidrat bagi membolehkan mereka mendapatkan sumber tenaga.
5. Madu
Madu juga adalah makanan yang kaya dengan pelbagai khasiat termasuklah kaya dengan antioksidan, bersifat antibakteria dan antivirus.
Malah, kajian turut mendapati madu adalah berkesan untuk mengurangkan batuk yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. [5]
Makanan yang Perlu Dielakkan
Terdapat juga beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan oleh mereka yang demam atau demam selesema.
Antaranya adalah:
- Alkohol: Alkohol atau arak boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan dehidrasi.
- Makanan diproses: Makanan diproses termasuklah makanan segera kurang dengan nutrien. Semasa demam atau sakit, badan memerlukan pelbagai nutrien untuk pulih kembali.
- Minuman berkafein: Minuman berkafein atau tinggi dengan kafein seperti kopi boleh menyebabkan dehidrasi.
Rujukan
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Nantz, M. P. et al. (2012). Supplementation with aged garlic extract improves both NK and γδ-T cell function and reduces the severity of cold and flu symptoms: a randomized, double-blind, placebo-controlled nutrition intervention. Clinical nutrition.
- Nagai, T. et al. (2011). Effects of oral administration of yogurt fermented with Lactobacillus delbrueckii ssp. bulgaricus OLL1073R-1 and its exopolysaccharides against influenza virus infection in mice. International immunopharmacology.
- Rennard, B. O. et al. (2000). Chicken soup inhibits neutrophil chemotaxis in vitro. Chest.
- Oduwole, O. et al. (2018). Honey for acute cough in children. The Cochrane database of systematic reviews.