Madu Gelam adalah sejenis madu hutan hujan tropika. Khasiat madu Gelam ini telah meletakkan ia setanding dengan madu-madu yang terkenal seperti madu kelulut, madu Tualang dan madu Manuka.
Madu Gelam dihasilkan oleh lebah liar daripada spesies Apis dorsata yang membina sarangnya di atas pokok Gelam (Melaleuca cajupati Powell) atau dikenali juga dengan nama pokok kayu putih. Madu ini kebanyakan diperolehi dari negeri Pantai Timur Malaysia seperti Terengganu.
Madu Gelam dikategorikan sebagai madu “monofloral” kerana nektar (madu) dan debunganya berasal daripada bunga pokok Gelam.
Madu ini dipercayai mempunyai banyak khasiat dan mula mendapat tempat dalam kajian-kajian pengkaji tempatan. Semenjak lebih 2 dekad ini, terdapat banyak kajian yang dijalankan dalam merungkai khasiat-khasiat madu Gelam ini.
Justeru itu, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat madu Gelam untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian.
1. Membantu Penyembuhan Luka Kulit
Seperti kebanyakan madu lain, madu Gelam juga didapati boleh membantu penyembuhan luka.
Madu Gelam didapati boleh merangsang pengecutan luka dan mempercepatkan pembaikan lapisan kulit bagi luka dengan mengurangkan tindak balas keradangan. [1]
Rawatan menggunakan madu Gelam juga didapati boleh menghasilkan lapisan kulit luar (epidermis) yang lebih nipis dan menutup kesemua bahagian luka. Keadaan ini boleh melindungi bahagian luka tersebut daripada kecederaan mendatang. [2]
Menariknya lagi, madu Gelam turut boleh membantu penyembuhan luka melecur. Hasil kajian menunjukkan bahawa bahagian kulit melecur yang dirawat dengan madu ini mempunyai penampilan yang lebih baik dan pengecutan luka yang ketara. [3]
2. Boleh Merawat Luka Mata
Selain itu, madu Gelam juga didapati boleh membantu merawat luka pada kornea mata.
Luka pada kornea mata boleh berlaku akibat daripada kecederaan oleh objek tajam atau tumpul, pemakaian kanta lekap yang terlalu lama, objek asing dalam mata, jangkitan atau penyakit mata.
Kajian awal yang dijalankan oleh pengkaji dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa madu Gelam boleh mendorong penyembuhan luka pada kornea mata, mempercepatkan penghasilan kolagen dan mengurangkan risiko pembentukan parut. [4]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
3. Mengandungi Antioksidan
Seperti madu Tualang dan madu Manuka, madu Gelam juga turut didapati tinggi dengan kandungan flavanois dan polifenol seperti kuersetin, kaempferol, apigenin dan krisin.
Antioksidan memainkan peranan penting dalam melawan radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit keradangan usus dan lain-lain lagi.
Kajian-kajian terhadap haiwan mendapati madu Gelam boleh mengurangkan kerosakan terhadap DNA dan mengurangkan tekanan oksidatif. [5, 6]
Tekanan oksidatif adalah fenomena dimana berlaku ketidakseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan dalam badan. Kesannya, radikal bebas yang berlebihan ini akan menyebabkan kerosakan pada tisu-tisu, DNA dan juga protein dalam badan. Kerosakan ini akhirnya membawa kepada penyakit yang lebih serius.
4. Boleh Melawan Keradangan
Keradangan adalah proses semula jadi badan dalam melawan jangkitan, kecederaan, kerosakan sel atau iritasi.
Namun, keradangan yang berpanjangan (kronik) boleh mendatangkan kesan negatif kepada badan. Keradangan kronik mempunyai perkaitan dengan penyakit-penyakit kronik dan degenerasi seperti kanser, artritis reumatoid, asma dan lain-lain.
Khasiat madu Gelam dalam melawan keradangan dapat dibuktikan melalui beberapa kajian yang telah dijalankan.
Kajian terhadap haiwan mendapati madu Gelam menunjukkan kesan antiradang dengan mengurangkan bengkak (edema) dan mencegah penghasilan pengantara kepada keradangan. [7]
Terdapat juga kajian yang mendapati madu Gelam boleh mengurangkan keradangan akibat daripada alergen yang menyebabkan asma. [8]
5. Berpotensi Merawat Kanser
Madu Gelam juga turut berpotensi digunakan dalam merawat kanser.
Potensi madu ini dapat dilihat melalui ciri-ciri antiproliferatif terhadap sel-sel kanser.
Kajian-kajian awal mendapati madu Gelam boleh merencatkan perkembangan dan membunuh sel-sel kanser serta merencatkan keradangan terhadap sel-sel kanser hati dan kanser usus. [9, 10]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa gabungan antara madu Gelam dan halia berpotensi untuk menambah keberkesanan ubat kanser terhadap kanser usus. [11]
6. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Seperti kebanyakan madu lain, madu Gelam juga turut mempunyai sifat antibakteria.
Khasiat madu Gelam ini diuji terhadap beberapa jenis bakteria yang biasa menyerang manusia.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Tunku Abdul Rahman mendapati madu Gelam menunjukkan kesan antibakteria tertinggi berbanding madu Tualang dan madu durian dalam mencegah tumbesaran bakteria jenis Staphyloccus aureus, Staphyloccus epidermidis, Enterococcus faecium, Enterococcus faecalis, Escherichia coli, Salmonella enterica serovar Typhimurium dan Klebsiella pneumoniae. [12]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan, jangkitan saluran kencing, pneumonia dan jangkitan salur darah.
Terdapat juga kajian lain yang turut mendapati madu Gelam boleh melawan bakteria jenis E.coli, S.aureus serta bakteria rintang dan sensitif antibiotik seperti Methicillin-Resistant S. aureus dan Methicillin-sensitive S.aureus. [13]
7. Berpotensi Meningkatkan Kesuburan Lelaki
Madu Gelam juga berpotensi meningkatkan kesuburan lelaki.
Khasiat madu Gelam ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan (tikus) yang mendapati haiwan yang diberikan madu Gelam mempunyai kualiti sperma yang lebih baik.
Pergerakan sperma yang lebih tinggi dan jumlah sperma normal yang lebih banyak adalah ciri-ciri yang dapat diperhatikan dalam kalangan haiwan yang diberikan makan dengan madu Gelam. [14]
Ini menunjukkan madu Gelam mempunyai potensi untuk meningkatkan kesuburan bagi lelaki. Kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan kesan madu ini terhadap manusia.
Rumusan
Madu Gelam adalah madu “monfloral” yang diperolehi daripada pokok Gelam. Madu Gelam boleh dikatakan setanding dengan madu-madu popular yang lain.
Selain mempunyai pelbagai nutrien, madu Gelam turut didapati mempunyai banyak khasiat lain seperti membantu penyembuhan luka kulit, menyembuhkan luka pada mata, mengandungi antioksidan, boleh melawan keradangan dan lain-lain lagi.
Madu Gelam sesuai untuk dikomersilkan sebagai salah satu makanan yang berkualiti tinggi yang boleh memberikan pelbagai manfaat kepada penggunanya.
Rujukan
- Norimah Yusof. et al. (2007). Development of honey hydrogel dressing for enhanced wound healing. Radiation Physics and Chemistry.
- Tan, M. K. et al. (2012). The Efficacy of Gelam Honey Dressing towards Excisional Wound Healing. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Mohd Zohdi, Rozaini. (2012). Honey Hydrogel Dressing to Treat Burn Wound in Rats – A Preliminary Report. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science.
- Md Yusof, A. et al. (2019). Gelam honey promotes ex vivo corneal fibroblasts wound healing. Cytotechnology.
- Yao, L.K. et al (2011). Malaysian gelam honey reduces oxidative damage and modulates antioxidant enzyme activities in young and middle aged rats. Journal of Medical Plants Research.
- Sahhugi, Z. et al. (2014). Protective effects of gelam honey against oxidative damage in young and aged rats. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Hussein, S. Z. et al. (2012). Gelam Honey Inhibits the Production of Proinflammatory, Mediators NO, PGE(2), TNF-α, and IL-6 in Carrageenan-Induced Acute Paw Edema in Rats. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Shamshuddin, N., & Mohd Zohdi, R. (2016). Gelam honey attenuates ovalbumin-induced airway inflammation in a mice model of allergic asthma. Journal of traditional and complementary medicine.
- Jubri, Zakiah. et al. (2012). Antiproliferative activity and apoptosis induction by gelam honey on liver cancer cell line. International Journal of Applied Science and Technology.
- Wen, C. T. et al. (2012). Gelam and Nenas honeys inhibit proliferation of HT 29 colon cancer cells by inducing DNA damage and apoptosis while suppressing inflammation. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Hakim, L. et al. (2014). Gelam honey and ginger potentiate the anti cancer effect of 5-FU against HCT 116 colorectal cancer cells. Asian Pacific journal of cancer prevention.
- Ng, W. J. et al. (2014). In-vitro screening of Malaysian honey from different floral sources for antibacterial activity on human pathogenic bacteria. African journal of traditional, complementary, and alternative medicines.
- Aljadi A.M. & Yusoff K.M. (n.d.) Isolation and identification of phenolic acids in Malaysian honey with antibacterial properties. Turk. J. Med. Sci.
- Asiyah H.A. et al. (2011). Effects of nicotine and Gelam honey on testis parameters and sperm qualities of juvenile rats. Sci. Res. Essays.