Tomato adalah buah bagi tumbuhan herba daripada keluarga Solanaceae iaitu sama seperti terung. Walaupun tomato adalah buah, namun kebiasaannya ia dihidangkan dalam bentuk ulam atau bersama-sama sayur-sayuran lain. Khasiat tomato popular digunakan untuk kecantikan kulit. Oleh itu, artikel kali ini akan merungkai khasiat tomato untuk kulit serta khasiatnya yang lain.
Tomato dalam istilah saintifiknya dikenali sebagai Solanum lycopersicum. Buah ini berasal dari Amerika Selatan. Kebiasaannya, buah tomato akan berwarna merah apabila sudah matang. Tomato juga boleh didapati dalam pelbagai warna seperti jingga, ungu, kuning dan hijau.
Selain itu, terdapat juga subspesies tomato yang datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Contohnya seperti tomato ceri.
Berikut adalah khasiat tomato untuk kesihatan berdasarkan kajian yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua.
1. Mempunyai Profil Nutrisi yang Menarik
Bagi sebiji tomato bersaiz sederhana (123 gram), terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Tenaga: 22.1 kcal
- Protein: 1.08 gram
- Lemak (lipid): 0.25 gram
- Karbohidrat: 4.78 gram
- Serat: 1.48 gram
- Kalsium: 12.3 miligram
- Magnesium: 13.5 miligram
- Fosforus: 29.5 miligram
- Kalium: 292 miligram
- Vitamin C: 16.9 miligram
- Folat: 18.4 mikrogram
- Vitamin A: 51.7 mikrogram
- Vitamin K: 9.72 mikrogram
Tomato juga mengandungi sejumlah kecil mineral zat besi, natrium, zink dan tembaga. Selain vitamin C,A,dan K, terdapat juga vitamin B1, B2, B3 dan vitamin B6 dalam buah ini.
Tomato juga kaya dengan kandungan antioksidan seperti beta-karotena, likopena, lutein dan zeaxantin.
2. Baik untuk Kesihatan dan Kecantikan Kulit
Seperti mana yang dipopularkan, tomato baik untuk kesihatan kulit dan boleh membantu mengekalkan kecantikan kulit.
Bagaimana?
Tomato mengandungi dua antioksidan utama yang bermanfaat untuk kulit iaitu likopena dan vitamin C.
Buah tomato masak (warna merah) tinggi dengan kandungan likopena. Kajian yang dijalankan di Jerman mendapati likopena boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV atau selar matahari (sunburn). [2]
Dalam satu kajian klinikal, mereka yang makan pes tomato sebanyak 40 gram dengan 10 gram minyak zaitun selama 10 minggu didapati selaran matahari yang berlaku adalah 40% lebih kurang berbanding kumpulan yang tidak mengambil pes tomato ini. Kesan ini adalah akibat kandungan likopena yang tinggi dalam buah tomato. [3]
Tomato juga tinggi dengan kandungan vitamin C. Vitamin C sememangnya terkenal sebagai agen yang mengalakkan pembentukan kolagen. Kolagen ini diperlukan untuk mengekalkan keanjalan kulit dan melambatkan penuaan kulit.
Selain itu, vitamin C juga turut menyumbang dalam kebaikan tomato untuk kulit dari segi mempercepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan terjadinya lebam. [4]
3. Boleh Mencegah Kanser
Kanser adalah penyebab kematian kedua tertinggi di Malaysia pada tahun 2018. Ia telah menyebabkan 16 ribu kematian di negara ini.
Laporan Institut Kanser Negara menunjukkan kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal diikuti oleh kanser paru-paru dan prostat.
Manakala bagi wanita, kanser payudara adalah tertinggi diikuti oleh kanser kolorektal dan pangkal rahim. [5]
Khasiat buah tomato juga turut dikaitkan dengan kemampuannya untuk mengurangkan risiko kanser.
Beberapa kajian klinikal telah dijalankan terhadap pesakit kanser prostat menunjukkan mereka yang makan tomato atau produk mengandungi tomato menunjukkan penurunan kepada kadar antigen prostat spesifik (PSA). [6]
Mereka yang mempunyai kadar PSA yang tinggi dalam darah mempunyai risiko tinggi menghidap kanser prostat.
Selain itu, terdapat juga kajian yang dijalankan menunjukkan pengambilan makanan tambahan (suplemen) likopena yang diekstrak daripada tomato dapat mengurangkan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita yang pra-menopaus. [6]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Penyakit jantung kekal sebagai pembunuh nombor 1 di Malaysia pada tahun 2019. Penyakit jantung turut merangkumi serangan jantung, penyakit jantung koronari (penyakit jantung iskemik), kegagalan jantung dan juga strok.
Kajian menunjukkan pengambilan likopena atau produk tomato boleh mengurangkan kadar kolesterol-LDL (kolesterol jahat). Kolesterol-LDL yang tinggi dalam darah meningkatkan risiko terkena serangan jantung. [7]
Di samping itu juga, satu kajian yang dijalankan terhadap lelaki dewasa membuat kesimpulan bahawa mereka yang memiliki kadar kepekatan beta-karotena dan likopena yang rendah berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung. [8]
5. Berkhasiat untuk Ibu Hamil
Tomato juga amat sesuai dimakan oleh ibu hamil. Sebiji tomato saiz sederhana (123 gram) boleh membekalkan 3% folat harian berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) kepada ibu hamil.
Folat atau Vitamin B9 ini amat diperlukan semasa mengandung bagi mengelakkan berlakunya kecacatan tiub saraf terhadap bayi yang dikandung.
6. Baik untuk Kesihatan Mata
Tomato juga baik untuk kesihatan mata kerana kandungan antioksidannya yang dikenali sebagai lutein dan zeaxantin.
Lutein dan zeaxantin berperanan besar untuk melindungi mata daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia (AMD) yang boleh menyebabkan buta.
Beberapa kajian klinikal menunjukkan pengambilan lutein dan zeaxantin yang mencukupi dalam diet harian dapat membantu mengurangkan risiko terjadinya AMD ini. [9]
7. Boleh Membantu Merendah Tekanan Darah
Khasiat tomato ditambah lagi dengan keupayaannya untuk membantu merendahkan tekanan darah.
Kandungan kalium (potassium) yang tinggi dalam buah tomato boleh mengurangkan kesan garam (sodium) yang seterusnya dapat mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.
Selain kandungan kalium, kandungan karotenoid seperti likopena, fitoena, dan phytofluene turut boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Kajian klinikal yang dijalankan mendapati terdapat penurunan yang ketara terhadap tekanan darah sistolik selepas pengambilan ekstrak tomato ini pada dos yang sepadan dengan 15 miligram dan 30 miligram likopena dalam kalangan mereka yang menghiudap hipertensi. [10]
Tomato Segar vs Tomato Diproses?
Pada asasnya, tomato berkhasiat dalam kedua-dua bentuk. Produk tomato seperti sos tomato, pes tomato dan jus tomato mempunyai kandungan likopena yang lebih tinggi berbanding tomato segar. [11]
Walau bagaimanapun harus diingat, produk-produk tomato kebiasaannya mengandungi bahan tambahan lain seperti gula yang tidak sihat untuk kesihatan.
Rumusan
Selain dimakan segar, tomato juga boleh dijadikan jus atau pes yang mudah untuk disertakan bersama menu-menu lain.
Tomato mempunyai antioksidan yang kuat yang berkhasiat untuk melawan beberapa jenis penyakit dan memastikan kita kekal sihat.
Khasiat tomato sememangnya dapat membantu menjaga kesihatan dan kecantikan kulit kita berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan. Oleh itu, anda boleh terus memanfaatkan kebaikan tomato ini untuk kesihatan kulit dan tubuh badan anda.
Rujukan
- USDA. 2020. Tomatoes, raw. [diakses pada 6 Ogos 2020].
- Stahl, W., et al. (2006). Lycopene-rich products and dietary photoprotection. Photochemical & photobiological sciences : Official journal of the European Photochemistry Association and the European Society for Photobiology.
- Stahl, W., et al. (2001). Dietary tomato paste protects against ultraviolet light-induced erythema in humans. The Journal of nutrition.
- Pullar, J. M., et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.
- DG of Health. 2020. Kenyataan Akhbar KPK 3 Januari 2020 – Penerbitan Malaysia National Cancer Registry Report 2012 – 2016 (MNCRR). [diakses pada 7 Ogos 2020].
- Story, E. N., et al. (2010). An update on the health effects of tomato lycopene. Annual review of food science and technology.
- Palozza, P., et al. (2012). Effect of lycopene and tomato products on cholesterol metabolism. Annals of nutrition & metabolism.
- Karppi, J., et al. (2012). Low serum lycopene and β-carotene increase risk of acute myocardial infarction in men. European journal of public health.
- Eisenhauer, B., et al. (2017). Lutein and Zeaxanthin-Food Sources, Bioavailability and Dietary Variety in Age-Related Macular Degeneration Protection. Nutrients.
- Wolak, T., et al. (2019). Effect of Tomato Nutrient Complex on Blood Pressure: A Double Blind, Randomized Dose⁻Response Study. Nutrients.
- Nguyen, M. L., & Schwartz, S. J. (1998). Lycopene stability during food processing. Proceedings of the Society for Experimental Biology and Medicine.