Pulasan adalah buah-buahan tempatan yang kurang mendapat perhatian. Walaupun kajian terhadap khasiat pulasan masih terhad, beberapa kajian yang tersedia melaporkan potensi pulasan dalam perawatan dan perubatan.
Pulasan atau nama saintifiknya Nephelium mutabile atau Nephelium ramboutan-ake adalah buah-buahan tropika dalam keluarga Sapindaceae iaitu keluarga yang sama dengan buah rambutan, laici atau longan.
Pulasan sangat mirip dengan buah rambutan, buah ini boleh dijumpai di Malaysia, Thailand, Indonesia dan juga Filipina.
Selain buahnya yang dimakan, perubatan tradisional menggunakan air rebusan akar pokok pulasan untuk merawat demam. Selain itu, daun dan akarnya juga turut digunakan sebagai poultis untuk melegakan sakit kepala.

1. Mengandungi Pelbagai Nutrien
Buah pulasan turut mengandungi nutrien-nutrien tertentu yang bermanfaat kepada fungsi badan.
Bagi 100 gram pulasan terdapat nutrien-nutrien berikut:[1]
- Tenaga/Kalori: 71 kcal
- Protein: 0.9 gram
- Lemak: 0.1 gram
- Karbohidrat: 16.6 gram
- Serat: 0.5 gram
- Kalsium: 54 miligram
- Zat besi: 0.1 miligram
- Fosforus: 9 miligram
- Kalium: 94 miligram
- Vitamin C: 10.8 miligram
- Vitamin B1: 0.02 miligram
- Vitamin B2: 0.05 miligram
- Vitamin B3: 0.2 miligram
Profil nutrisi ini menunjukkan buah pulasan tinggi dengan kandungan kalsium, fosforus, kalium dan vitamin C.
Mineral kalsium diperlukan oleh badan untuk membina dan mengekalkan tulang yang kuat, mengerakkan otot dan diperlukan oleh saraf untuk menghantar isyarat ke otak. Mineral fosforus pula diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga dan proses-proses kimia yang lain.
Mineral kalium (potassium) pula adalah antara mineral terpenting yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik. Contohnya seperti fungsi jantung, buah pinggang, pengecutan otot dan saraf.
Vitamin C pula adalah vitamin yang bertindak sebagai antioksidan yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada radikal bebas. Selain itu, vitamin C diperlukan untuk menghasilkan kolagen, membantu penyerapan mineral zat besi dan menguatkan sistem imun badan.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Radikal bebas yang berlebihan dalam badan akan menyebabkan keadaan yang dipanggil tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain.
Kulit pulasan mengandungi sebatian antioksidan seperti geraniin, asid klorogenik, katekin, asid elagik, naringenin, corilagin dan syringic acid. [2]
Isi buah pulasan juga turut menunjukkan aktiviti-aktiviti antioksidan tetapi lebih rendah jika dibandingkan dengan kulitnya. [2]
Kandungan antioksidan dalam buah ini mempunyai pelbagai fungsi terhadap khasiat pulasan.
3. Berpotensi Mencegah Kanser Kolorektal
Kanser kolorektal atau turut dikenali sebagai kanser usus besar adalah kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia.
Kajian mendapati kulit pulasan turut menunjukkan potensi dalam membantu mencegah kanser kolorektal. Ekstrak kulit pulasan boleh membunuh sel-sel kanser kolorektal. Ini menunjukkan bahawa kulit pulasan berpotensi digunakan sebagai rawatan sokongan terhadap kanser ini. [3]
4. Berpotensi Mengawal Tekanan Darah Tinggi
Tekanan darah tinggi adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung dan strok.
Kajian makmal turut mendapati ekstrak kulit pulasan turut menunjukkan ciri-ciri yang boleh merendahkan tekanan darah. Ekstrak etanol kulit pulasan menunjukkan aktiviti perencatan enzim penukaran angiotensin (ACE) paling tinggi iaitu sebanyak 98%. [2]
Perencat enzim penukaran angiotensin (ACE) digunakan untuk mengendurkan salur darah atau arteri untuk merendahkan tekanan darah.
5. Berpotensi Mengawal Paras Gula Darah
Pulasan juga didapati berpotensi membantu mengawal paras gula darah. Khasiat pulasan ini amat sesuai bagi mereka yang menghidap diabetes atau berisiko untuk menghidap diabetes.
Biji pulasan mempunyai potensi untuk mencegah diabetes. Kajian menunjukkan bahawa peptida yang dihasilkan oleh protein daripada biji pulasan boleh mengikat dengan enzim α-amylase iaitu enzim yang terlibat dalam menguraikan kanji kepada gula (glukosa). [4]
Keadaan ini boleh mengurangkan penyerapan gula ke dalam usus dan menurunkan paras gula dalam darah.
6. Bersifat Antibakteria
Kulit dan biji pulasan juga didapati boleh mencegah jangkitan bakteria.
Ekstrak kulit dan biji pulasan berkesan untuk merencatkan pertumbuhan bakteria jenis E.coli dan S.aureus. Ekstrak kulit pulasan menunjukkan kesan perencatan yang lebih baik berbanding ekstrak biji pulasan. [5]
Bakteria E.coli dan S.aureus adalah bakteria yang selalu menyebabkan keracunan makanan, jangkitan salur darah dan pneumonia.
Rumusan
Walaupun kajian terhadap khasiat pulasan masih terhad, laporan-laporan kajian yang tersedia menunjukkan bahawa pulasan terutamanya bahagian kulitnya berpotensi untuk mencegah kanser kolorektal, mengawal tekanan darah tinggi, mengawal paras gula dan mencegah jangkitan bakteria.
Kebanyakan kajian ini masih diperingkat awal dan memerlukan lebih banyak kajian lanjutan. Isi pulasan turut tinggi dengan kandungan nutrien-nutrien tertentu seperti kalsium, fosforus, kalium dan vitamin C. Nutrien-nutrien mempunyai pelbagai fungsi kepada kesihatan badan manusia.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database. Pulasan (Nephelium Mutabile).
- Tan, S.S. et al. (2022). The Anti-Hypertensive and Hypoglycemic Potential of Bioactive Compounds Derived from Pulasan Rind. Processes.
- Chan, C. K. et al. (2012). Aqueous fraction of Nephelium ramboutan-ake rind induces mitochondrial-mediated apoptosis in HT-29 human colorectal adenocarcinoma cells. Molecules.
- Evaristus, N. A. et al. (2018). Extraction and identification of α-amylase inhibitor peptides from Nephelium lappacheum and Nephelium mutabile seed protein using gastro-digestive enzymes. Peptides.
- Yuni Fatisa. (2013). DAYA ANTIBAKTERI ESTRAK KULIT DAN BIJI BUAH PULASAN (Nephelium mutabile) TERHADAP Staphylococcus aureus dan Escherichia coli SECARA IN VITRO. Jurnal Peternakan.