Pernahkah anda makan laksa pinang, nasi kerabu atau nasi ulam? Kalau pernah, bermakna anda pernah makan bunga kantan. Tetapi, mesti masih ramai yang tidak tahu khasiat bunga kantan bukan?
Oleh itu, mari kita sama-sama menambah ilmu kita mengenai khasiat ulam yang digunakan dalam masakan tradisi rakyat di Malaysia.
Bunga kantan berasal dari pokok kantan yang secara saintifiknya dikenali sebagai Etlingera elatior. Nama inggerisnya pula adalah torch ginger atau red ginger lily.
Pokok kantan ini adalah dari keluarga yang sama dengan pokok lengkuas dan halia. Pokok kantan adalah berasal dari negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Antara amalan nenek moyang kita menggunakan bahagian-bahagian pokok kantan adalah seperti menggunakan air rebusan buah kantan untuk merawat sakit telinga, air rebusan daun kantan pula digunakan untuk membersihkan luka dan air rebusan pucuk muda kantan digunakan untuk mengurangkan bau badan selepas bersalin.
Bunga kantan pula selalunya dijadikan ulam atau bahan dalam masakan seperti laksa, kari, asam pedas atau nasi kerabu.
Bunga kantan dipercayai mempunyai ciri-ciri antioksidan, antikanser (antitumor), antibakteria, dan sitotoksik. Berikut adalah beberapa kajian yang menyokong khasiat bunga kantan ini.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah penting untuk mencegah atau melambatkan kerosakan sel dalam badan yang disebabkan oleh radikal bebas.
Radikal bebas ini terhasil apabila seseorang itu bersenam dan ketika badan menukarkan makanan kepada tenaga.
Radikal bebas ini boleh menyebabkan tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini akan menyebabkan kematian sel.
Tekanan oksidatif ini juga dipercayai memainkan peranan dalam pelbagai penyakit termasuklah kanser, penyakit kardiovaskular , kencing manis dan lain-lain lagi.
Kajian makmal menunjukkan ekstrak bunga kantan mempunyai kesan antioksidan yang kuat terhadap tekanan oksidatif yang disebabkan oleh plumbum. Kesan antioksidan ini dipercayai datang dari kandungan polifenol, flavonoid dan flavon dalam ekstrak ini. Kajian ini juga menunjukkan potensi bunga kantan dalam mengubati ketoksikan plumbum. [1]
2. Bersifat Antikanser (Antitumor)
Selain itu, kajian peringkat awal turut mendapati bunga kantan turut berpotensi dalam merawat kanser.
Satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia mendapati bunga kantan turut menunjukkan kesan kesitotoksikan (cytotoxicity) terhadap sel-sel kanser yang diujikaji. [2]
Sitotoksin (cytotoxic) ialah bahan atau proses yang boleh membunuh sel atau menyebabkan kematian sel. Dalam konteks ini, bunga kantan berpotensi sebagai agen antitumor yang boleh membunuh atau mencegah sel kanser dari terus merebak.
Kajian lain turut mendapati bunga kantan mempunyai potensi sebagai agen kemoterapi dalam merawat kanser kulit. Menurut kajian ini, ekstrak bunga kantan boleh memendekkan jangka hayat sel melanoma (sel kanser kulit). [3]
Bunga kantan juga turut menunjukkan aktiviti antikanser terhadap kanser payudara dan kanser serviks. [4]
Selain bunga kantan, rizom kantan juga turut mempunyai ciri-ciri antitumor. [5]
3. Bersifat Antibakteria
Khasiat bunga kantan juga turut merangkumi sifat antibakterianya.
Dalam satu kajian yang diterbitkan pada 2015, bunga kantan menunjukkan sifat antibakterianya terhadap beberapa jenis bakteria iaitu Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Listeria monocytogenes, Escherichia coli, Salmonella typhimurium, dan Pseudomonas aeruginosa. [4]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, jangkitan dalam usus, keracunan makanan dan jangkitan pada saluran kencing serta pernafasan.
4. Boleh Mengurangkan Keradangan
Bunga kantan juga berpotensi dalam mengurangkan keradangan.
Hal ini demikian kerana kandungan sebatian flavonoid dalam bunga ini yang dikenali sebagai “kuersetin” atau dalam bahasa Inggerisnya “quercetin“.
Dalam satu kajian selama 8 minggu terhadap 50 orang pesakit artritis reumatoid (penyakit autoimun yang melibatkan sendi) mendapati pengambilan kuersetin sebanyak 500mg sehari dapat mengurangkan kesakitan diwaktu pagi dan kesakitan selepas melakukan aktviti. [5]
Rumusan
Bunga kantan mempunyai banyak khasiat yang menarik untuk diterokai. Walaupun banyak kajian yang dilakukan masih diperingkat awal, namun bunga ini menunjukkan potensi yang cukup baik terutamanya dalam mencegah kanser.
Sifat antibakteria bunga kantan ini juga boleh dimanfaatkan oleh kita untuk melindungi diri daripada serangan bakteria-bakteria berbahaya.
Lebih banyak kajian termasuk kajian klinikal harus dilakukan oleh penyelidik untuk mencari dan merungkai khasiat bunga kantan yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua.
Rujukan
- Jackie, T. et al. (2011). Antioxidant effects of Etlingera elatior flower extract against lead acetate – induced perturbations in free radical scavenging enzymes and lipid peroxidation in rats. BMC research notes.
- Mackeen, M.M. et al. (1997). Antimicrobial and Cytotoxic Properties of Some Malaysian Traditional Vegetables (Ulam). International Journal of Pharmacognosy.
- Krajarng, A. et al. (2017). Etlingera elatior Extract promotes cell death in B16 melanoma cells via down-regulation of ERK and Akt signaling pathways. BMC complementary and alternative medicine.
- Ghasemzadeh, A. et al. (2015). Secondary metabolites constituents and antioxidant, anticancer and antibacterial activities of Etlingera elatior (Jack) R.M.Sm grown in different locations of Malaysia. BMC complementary and alternative medicine.
- Habsah, M. et al. (2005). Antitumour-promoting and cytotoxic constituents of etlingera elatior. The Malaysian journal of medical sciences.
- Javadi, F. et al. (2017). The Effect of Quercetin on Inflammatory Factors and Clinical Symptoms in Women with Rheumatoid Arthritis: A Double-Blind, Randomized Controlled Trial. Journal of the American College of Nutrition.