Siapa sangka khasiat lengkuas turut merangkumi kesihatan lelaki. Sebelum ini mungkin kita hanya beranggapan lengkuas hanya untuk menambah rasa atau sebagai rempah dalam masakan. Rupa-rupanya lengkuas juga kaya dengan khasiatnya.
Lengkuas atau nama saintifiknya, Alpinia galanga (greater galangal) adalah tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan Melayu, Cina, Indonesia dan Thai. Lengkuas dipercayai berasal dari Asia Tenggara.
Sejenis lengkuas lagi dikenali sebagai Alpinia officinarum (lesser galangal) yang berasal dari China dan banyak digunakan dalam makanan dan perubatan.
Lengkuas dipercayai berkhasiat untuk meningkatkan kesuburan lelaki, melawan keradangan, mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Berikut adalah beberapa khasiat lengkuas untuk kesihatan kita berdasarkan kajian sains:
1. Kaya dengan Antioksidan
Lengkuas kaya dengan antioksidan iaitu sebatian yang boleh melawan radikal bebas yang berlebihan.
Antioksidan ini dikenali sebagai polifenol, kumpulan antioksidan yang dikaitkan dengan banyak manfaat kesihatan seperti merendahkan gula dalam darah, merendahkan kadar kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan menambah baik ingatan.
2. Boleh Membantu Meningkatkan Kesuburan Lelaki
Siapa sangka lengkuas boleh membantu meningkatkan kesuburan kaum lelaki.
Satu kajian terhadap haiwan, ekstrak lengkuas didapati boleh meningkatkan jumlah sperma dan pergerakan sperma. [1]
Selain itu, kajian terhadap 66 orang lelaki yang mempunyai kualiti sperma yang rendah mendapati pengambilan ekstrak lengkuas dan delima meningkatkan pergerakan sperma sebanyak 62% berbanding 20% dalam kumpulan yang mengambil ubat. [2]
Dalam satu kajian klinikal yang lain, 76 peserta lelaki dengan masalah kesuburan mendapati lengkuas dapat meningkatkan bilangan sperma dan morfologi sperma tanpa mendatangkan kesan sampingan. [3]
3. Bersifat Antikanser
Lengkuas juga boleh membantu melindungi kita daripada pelbagai jenis kanser.
Kajian makmal mendapati lengkuas mempunyai sebatian yang dikenali sebagai galangin. Sebatian ini dipercayai boleh membunuh sel-sel kanser dan mencegah sel-sel kanser ini daripada merebak. [4, 5]
4. Boleh Melawan Keradangan dan Kesakitan
Lengkuas juga boleh melawan keradangan yang boleh menyebabkan penyakit. Kandungan HMP dalam tumbuhan ini menunjukkan ciri-ciri antiradang. [6]
Malahan, keluarga lengkuas iaitu Zingiberaceae juga didapati mempunyai ciri-ciri analgesik iaitu boleh melegakan kesakitan. [7]
Satu kajian terhadap 261 pesakit sendi lutut, mereka yang mengambil ekstrak halia dan lengkuas dapat mengurangkan kesakitan pada lutut ketika berdiri lebih tinggi daripada mereka yang mengambil ubat. [8]
5. Boleh Mencegah Jangkitan
Lengkuas juga boleh memanjangkan jangka hayat sesuatu makanan.
Lengkuas segar yang digunakan dalam masakan dapat mengurangkan risiko vibriosis iaitu jangkitan akibat makan makanan laut yang tidak masak. [9]
Kajian makmal juga mendapati lengkuas boleh membunuh bakteria yang berbahaya termasuklah Salmonella Typhi, E.coli dan Staphyloccocus aureus. [10]
Rumusan
Lengkuas ialah tumbuhan rempah yang berkait rapat dengan kunyit dan halia.
Khasiat lengkuas terutamanya untuk kesuburan lelaki dan sifat antioksidannya boleh dimanfaatkan dalam produk-produk kesihatan dan ditambah dalam diet harian kita.
Rujukan
- Mazaheri, M. et al. (2014). Molecullar and biochemical effect of alcohlic extract of Alpinia galanga on rat spermatogenesis process. Iranian journal of reproductive medicine.
- Fedder, M. D. et al. (2014). An extract of pomegranate fruit and galangal rhizome increases the numbers of motile sperm: a prospective, randomised, controlled, double-blinded trial. PloS one.
- Kolangi, F. et al. (2019). Effect of Alpinia officinarum Hance rhizome extract on spermatogram factors in men with idiopathic infertility: A prospective double-blinded randomised clinical trial. Andrologia.
- Ha, T. K. et al. (2013). Galangin induces human colon cancer cell death via the mitochondrial dysfunction and caspase-dependent pathway. Experimental biology and medicine.
- Hadjzadeh, M. A. et al. (2014). The Effects of Aqueous Extract of Alpinia Galangal on Gastric Cancer Cells (AGS) and L929 Cells in Vitro. Iranian journal of cancer prevention.
- Yadav, P. N. et al. (2003). A diarylheptanoid from lesser galangal (Alpinia officinarum) inhibits proinflammatory mediators via inhibition of mitogen-activated protein kinase, p44/42, and transcription factor nuclear factor-kappa B. The Journal of pharmacology and experimental therapeutics.
- Lakhan, S. E. et al. (2015). Zingiberaceae extracts for pain: a systematic review and meta-analysis. Nutrition journal.
- Altman, R. D., & Marcussen, K. C. (2001). Effects of a ginger extract on knee pain in patients with osteoarthritis. Arthritis and rheumatism.
- Vuddhakul, V. et al. (2007). Inhibitory activity of Thai condiments on pandemic strain of Vibrio parahaemolyticus. Food microbiology.
- Srividya, A. R. et al. (2010). Antioxidant and Antimicrobial Activity of Alpinia officinarum. Indian journal of pharmaceutical sciences.