Buah rock melon (cantaloupe) atau tembikai wangi kian mendapat tempat di Malaysia dek kerana rasa, khasiat dan kebaikannya. Khasiat buah rock melon dipercayai baik untuk kesihatan kulit dan mata.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat buah rock melon atau tembikai wangi ini.
Selain nama rock melon dan cantaloupe, buah ini turut dikenali sebagai tembikai wangi, musk melon, mush melon dan Persian melon. Buah ini adalah dari keluarga Cucurbitaceae sama seperti buah tembikai.
Di Jepun, buah ini sangatlah istimewa dan mewah. Pada tahun 2016, spesies buah rock melon yang dikenali sebagai ‘Yubari King’ dijual pada harga RM 115,000.00.
Kini, buah ini banyak diusahakan secara tanaman fertigasi di Malaysia dan membawa pulangan yang lumayan kepada pengusahanya.
Kandungan air, antioksidan, vitamin dan mineral yang terkandung didalam buah rock melon ini mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan.
Berikut adalah 6 khasiat buah rock melon berdasarkan kandungan nutriennya:
1. Kaya dengan Nutrisi
Dalam 100g buah rock melon terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 34 kcal
- Protein: 0.84 gram
- Karbohidrat: 8.16 gram
- Serat: 0.9 gram
- Kalsium: 9 miligram
- Zat besi: 0.21 miligram
- Magnesium: 12 miligram
- Kalium: 267 miligram
- Vitamin C: 36.7 miligram
- Folat: 21 mikrogram
- Vitamin A: 169 mikrogram
Buah ini juga turut mengandungi mineral seperti fosforus, zink, tembaga, selenium dan kumpulan vitamin B.
2. Berpotensi Mencegah Kanser
Buah rock melon kaya dengan beta-karotena, alfa-karotena, selenium, vitamin A dan vitamin C yang bertindak sebagai antioksidan.
Antioksidan boleh mencegah kerosakan atau kematian sel-sel akibat radikal bebas dengan meneutralkan mereka.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung dan berlebihan dalam badan, ia boleh merosakkan sel-sel terutamanya kerosakan kepada DNA yang boleh menyebabkan kanser.
Satu analisis mendapati vitamin C boleh mengurangkan risiko kanser pankreas. [1]
3. Boleh Membantu Merendahkan Tekanan Darah
Buah rock melon ini juga tinggi dengan kandungan kalium (potassium). Kalium ialah mineral yang penting diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.
Bagi 100gram buah ini, terdapat 267 miligram kalium iaitu 5.7% daripada RNI (recommended nutrient intake) bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia.
Diet yang tinggi dengan kalium dapat merendahkan tekanan darah kerana kalium boleh mengurangkan kesan natrium (sodium).
Selain itu, kalium turut membantu mengendurkan ketegangan di dinding saluran darah yang seterusnya membantu menurunkan tekanan darah. [2]
4. Boleh Menghidratkan badan
Buah rock melon tinggi dengan kandungan air. Dalam 100g buah ini, terdapat 90.2 mililiter air.
Pengambilan buah ini dapat mengekalkan badan kita untuk terus terhidrat seterusnya mengelakkan kita daripada dehidrasi dan menyihatkan jantung.
Apabila badan kita mempunyai air yang cukup, jantung kita tidak perlu bekerja dengan teruk untuk mengepam darah. Badan yang terhidrat juga menyokong penghadaman, kesihatan buah pinggang dan tekanan darah.
Kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi boleh menyebabkan pening kepala, sakit kepala, kulit kering, mulut kering dan sembelit.
5. Baik untuk Kesihatan Kulit dan Rambut
Buah rock melon juga tinggi dengan vitamin A dan C, iaitu dua vitamin yang penting untuk kesihatan kulit dan rambut.
Selain itu,kandungan vitamin A yang tinggi dalam buah ini juga turut menyokong sel-sel kulit yang sihat.
Vitamin A membantu kelenjar kulit menghasilkan minyak yang dikenali sebagai sebum. Sebum melembapkan kulit kepala dan membantu mengekalkan rambut yang sihat. [3]
Vitamin C juga membantu badan menghasilkan kolagen iaitu protein yang menyediakan struktur kepada sel, kulit dan rambut.
6. Baik untuk Kesihatan Mata
Khasiat buah rock melon tidak terhenti setakat kesihatan kulit dan rambut. Ia juga baik untuk kesihatan mata.
Buah rock melon juga mengandungi antioksidan seperti lutein dan zeaxantin. Lutein dan zeaxantin mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan mata kita.
Gabungan antioksidan ini boleh melindungi mata dari bahaya sinar biru. Satu kajian semula pada tahun 2022 menunjukkan lutein dan zeaxantin dapat melindungi mata daripada penyakit degenerasi makular berkaitan usia. [4]
Di samping itu, lutein dan zeaxantin juga boleh melambatkan atau mencegah pembentukan katarak. [5]
Rumusan
Disebalik rasanya yang manis dan ranggup, buah rock melon juga mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan kita.
Kandungan nutrien dalam buah ini menunjukkan bahawa buah rock melon berkhasiat dalam mencegah kanser, membantu merendahkan tekanan darah, menghidratkan badan dan lain-lain lagi.
Meskipun begitu, kajian-kajian berterusan masih diperlukan untuk mencari lebih banyak khasiat buah rock melon terhadap kesihatan badan.
Enak dimakan segar serta dijadikan pencuci mulut. Pastikan buah ini berada dalam senarai belian runcit anda!
Rujukan
- Hua, Y. F. et al. (2016). Vitamin C Intake and Pancreatic Cancer Risk: A Meta-Analysis of Published Case-Control and Cohort Studies. PloS one.
- American Heart Association. How Potassium Can Help Control High Blood Pressure
- Everts H. B. (2012). Endogenous retinoids in the hair follicle and sebaceous gland. Biochimica et biophysica acta.
- Mrowicka, M. et al. (2022). Lutein and Zeaxanthin and Their Roles in Age-Related Macular Degeneration-Neurodegenerative Disease. Nutrients.
- Vu, H. T. et al. (2006). Lutein and zeaxanthin and the risk of cataract: the Melbourne visual impairment project. Investigative ophthalmology & visual science.