Khasiat buah aprikot merangkumi kesihatan mata hinggalah kesihatan kulit. Berbentuk bulat dan berwarna kuning kejinggaan, buah aprikot kelihatan seperti buah pic kecil namun rasanya lebih seperti plum ungu.
Prunus armeniaca ialah nama saintifik bagi buah aprikot. Buah aprikot turut dikenali sebagai plum Armenian. Buah ini boleh ditanam di kawasan beriklim sejuk dan panas.
Buah aprikot yang segar mengandungi banyak vitamin, polifenol, flavonoid, karotenoid dan asid lemak. Biji buah ini pula ialah sumber kepada protein bersama-sama dengan jumlah minyak dan serat.
Berikut adalah 7 khasiat buah aprikot berdasarkan bukti sains:
1. Kaya dengan Nutrisi dan Rendah Kalori
Buah aprikot kaya dengan nutrien, vitamin dan mineral.
Dalam sebiji buah aprikot (35g) terdapat: [1]
- Kalori: 16.8 kcal
- Karbohidrat: 3.9 gram
- Protein: 0.5 gram
- Lemak: 0.1 gram
- Serat: 0.7 gram
- Vitamin C: 3.5 miligram
- Vitamin A: 33.6 mikrogram
- Vitamin K: 1.2 miligram
- Vitamin E: 0.3 miligram
- Folat: 3.2 miligram
- Kalium: 90.6 miligram
- Fosforus: 8 miligram
- Kalsium: 4.6 miligram
Selain itu, buah ini juga merupakan sumber kepada antioksidan seperti beta-karotin, lutein dan zeaxantin. Beta-karotena mewakili 50% daripada jumlah karotenoid dalam buah ini.
2. Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan vitamin A dan E dalam buah aprikot ini penting untuk kesihatan mata.
Vitamin A dapat melindungi mata daripada rabun malam, gangguan yang disebabkan kekurangan pigmen cahaya dalam mata.
Manakala vitamin E pula merupakan antioksidan yang melindungi mata daripada radikal bebas.[2, 3]
Lutein dan zeaxantin pula bertindak sebagai pelindung mata daripada cahaya ultraungu (UV). Tambahan lagi, lutein dan zeaxantin dapat melindungi mata daripada degenerasi makular berkaitan usia. [4]
3. Baik untuk Kesihatan Kulit
Kerosakan kulit dan kedutan kebiasaannya disebabkan oleh faktor persekitaran seperti sinaran matahari, pencemaran udara dan asap rokok.
Vitamin C dan E dalam buah aprikot ini boleh membantu kulit. Sebagai contoh, vitamin C bertindak sebagai pelindung kulit daripada sinaran UV dan pencemaran persekitaran dengan meneutralkan radikal bebas. [5]
Selain itu, vitamin C juga membantu mpenghasilan kolagen, protein yang memberi keanjalan dan kekuatan kulit. Diet yang tinggi dengan vitamin C dapat merawat kulit dari kerosakan akibat sinaran UV dan kedutan. [5]
4. Tinggi dengan Mineral Kalium (Potassium)
Buah aprikot juga kaya dengan mineral kalium (potassium). Mineral ini bertindak sebagai elektrolit dalam badan.
Kalium bertanggungjawab untuk menghantar isyarat saraf, mengawal kontraksi otot dan keseimbangan bendalir dalam badan.
Peningkatan pengambilan kadar kalium mengikut kadar yang disarankan boleh merendahkan tekanan darah sistolik dan diastolik. Selain itu, meningkatkan pengambilan kalium boleh mengurangkan risiko mendapat serangan strok. [6]
Sebiji buah aprikot (35 g) membekalkan 90.6 mg mineral ini iaitu 2% daripada RNI (recommended nutrient intake) untuk Malaysia.
5. Boleh Membantu Menguatkan Tulang
Buah aprikot mengandungi mineral-mineral yang diperlukan untuk pembentukan tulang seperti kalsium (4.6 mg),protein (0.5 g), fosforus (8 mg) dan magnesium (3.5 mg).
Selain itu, zink (0.07 mg),tembaga (0.03 mg), vitamin K (90.6 mg) dan vitamin C (3.5 mg) juga penting untuk membina ketumpatan tulang, mencegah keretakan dan pereputan tulang serta meningkatkan pembentukan tulang. [7]
Oleh itu, pengambilan buah aprikot dalam diet harian boleh menguatkan tulang dan mengelakkan penyakit berkaitan tulang seperti osteoporosis.
6. Baik untuk Kesihatan Usus
Buah aprikot juga turut berkhasiat kepada kesihatan usus. Khasiat buah aprikot ini disumbang oleh kandungan serat dietnya yang tinggi.
Dalam secawan buah aprikot yang dipotong (165 g), terdapat 3.3 gram serat diet iaitu 16.5% daripada RNI.
Serat juga melambatkan pergerakan makanan dalam saluran pencernaan dan menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus. Mikrobiotik yang lebih sihat dikaitkan dengan risiko obesiti yang lebih rendah. [8]
7. Membantu Menghidratkan Badan
Buah aprikot segar tinggi dengan kandungan air.
Dalam satu cawan aprikot yang dipotong (165 g), terdapat kira-kira 142 ml air.
Buah segar seperti ini boleh membantu menghidratkan badan anda sekiranya anda tidak minum air secukupnya.
Sekiranya badan ternyahhidrat, isipadu darah akan menurun, memaksa jantung bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah. Kekal terhidrat membolehkan darah untuk mengitar bahan kumuh dan nutrien di seluruh badan anda. [9]
Rumusan
Buah aprikot sarat dengan khasiat dan kebaikannya untuk kesihatan anda.
Antaranya seperti meningkatkan kesihatan mata dan kulit, menguatkan tulang, meningkatkan kesihatan usus dan lain-lain.
Selain tinggi dengan khasiatnya, buah ini juga mudah untuk dimakan. Boleh dimakan secara segar atau kering, dijadikan jem, ditambah dalam kek, pai, pastri dan salad.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Rasmussen, H. M., & Johnson, E. J. (2013). Nutrients for the aging eye. Clinical interventions in aging.
- Clifford, L. J. et al. (2013). Reversible night blindness – A reminder of the increasing importance of vitamin A deficiency in the developed world. Journal of Optometry.
- Eisenhauer, B. et al. (2017). Lutein and Zeaxanthin-Food Sources, Bioavailability and Dietary Variety in Age-Related Macular Degeneration Protection. Nutrients.
- Pullar, J. M. et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin Health. Nutrients.
- Weaver C. M. (2013). Potassium and health. Advances in nutrition.
- Palacios C. (2006). The role of nutrients in bone health, from A to Z. Critical reviews in food science and nutrition.
- Everard, A., & Cani, P. D. (2013). Diabetes, obesity and gut microbiota. Best practice & research. Clinical gastroenterology.
- Popkin, B. M. et al. (2010). Water, hydration, and health. Nutrition reviews.