Ramai yang sedia maklum bahawa merokok boleh mendatangkan banyak masalah kesihatan dan boleh menyebabkan kanser. Begitu juga merokok semasa hamil atau mempunyai suami yang perokok, kesan asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak adalah serius.
Dari sudut pandangan agama Islam, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah HARAM dari pandangan Islam kerana kemudharatannya.
Dari sudut perubatan, terdapat banyak penyelidikan yang mendapati merokok mendatangkan banyak kesan buruk kepada bayi, kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Tambahan itu juga, rokok elektronik atau produk tembakau lain yang mengandungi nikotina (nicotine) adalah tidak selamat semasa kehamilan. Nikotina boleh mendatangkan bahaya kepada ibu hamil dan bayi yang sedang membesar. [1]
Selain ibu hamil yang merokok, bapa atau suami yang merokok juga boleh memberikan kesan terhadap bayi dalam kandungan. [2]
Bagaimana Merokok Menjejaskan Kesuburan?
Merokok juga boleh menjejaskan kesuburan dalam kalangan lelaki dan wanita.
Bagi wanita yang merokok, golongan ini akan mengalami kesukaran untuk hamil berbanding wanita yang tidak merokok.
Manakala, bagi lelaki yang merokok pula, merokok boleh menyebabkan kerosakan pada sperma dan menyumbang kepada disfungsi erektil (mati pucuk).
Akibatnya, golongan ini akan sukar mendapatkan anak.
Kesan Asap Rokok Terhadap Bayi dan Kanak-kanak Kecil
Kesan asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak banyak dikaji oleh para saintis. Antara kesan asap rokok yang dapat diperhatikan adalah:
1. Bayi yang Dilahirkan Kecil
Bayi anda yang dilahirkan kemungkinan besar akan terlalu kecil walaupun sudah cukup bulan. Hal ini demikian kerana merokok memperlahankan perkembangan bayi sebelum lahir.
2. Kelahiran Pramatang
Merokok juga boleh menyebabkan anda bersalin lebih awal daripada yang sepatutnya. Ia dikenali sebagai kelahiran pramatang.
Bayi yang dilahirkan pramatang sering kali menghadapi banyak masalah kesihatan.
3. Merosakkan Perkembangan Otak dan Paru-paru
Merokok semasa kehamilan juga boleh merosakkan perkembangan otak dan paru-paru bayi.
Gas karbon monoksida di dalam asap rokok boleh menghalang janin daripada mendapatkan oksigen yang secukupnya. [3]
Akibatnya, ia menyebabkan kerosakan tisu pada janin yang membawa kepada kerosakan otak dan paru-paru.
Kerosakan ini boleh berkekalan sehingga zaman kanak-kanak dan usia remaja.
4. Meningkatkan Risiko Kecacatan Lahir
Merokok juga boleh meningkatkan risiko kecacatan lahir bagi bayi anda. Bayi anda berisiko untuk mengalami bibir rekah (sumbing) atau lelangit rekah. [1]
Akibatnya, bayi anda akan mengalami kesukaran untuk makan dan kemungkinan besar perlu menjalani pembedahan.
5. Meningkatkan Risiko Kematian Bayi
Ibu yang merokok semasa hamil atau bayi yang terdedah kepada asap rokok selepas lahir berisiko tinggi untuk mengalami sindrom kematian bayi mengejut (sudden infant death syndrome, SIDS).
6. Mengalami Tekanan Darah Tinggi
Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang merokok didapati mempunyai tekanan darah diastolik (bacaan bawah) yang tinggi berbanding bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidak merokok. [4]
7. Meningkatkan Risiko Kecacatan Jantung Kongenital
Kecacatan jantung kongenital adalah sejenis kecacatan lahir yang banyak berlaku. Kecacatan ini menjejaskan struktur jantung bayi dan bagaimana ia berfungsi.
Ibu merokok, ibu menjadi perokok pasif atau ibu bapa merokok dilaporkan meningkatkan risiko kecacatan jantung kongenital kepada bayi. [5]
Bagaimana Kelahiran Pramatang Boleh Mendatangkan Bahaya Kepada Bayi Anda?
Sekiranya bayi anda lahir 3 minggu atau lebih, lebih awal daripada tarikh matang (due date) ia dianggap pramatang.
Bayi yang dilahirkan terlalu awal terlepas pertumbuhan penting yang berlaku di dalam rahim semasa minggu dan bulan terakhir kehamilan.
Lebih awal bayi dilahirkan, lebih besar peluang untuk mengalami masalah kesihatan yang serius atau kematian.
Bayi pramatang boleh mempunyai:
- Berat lahir rendah
- Kesukaran untuk makan
- Masalah pernafasan
- Masalah pernafasan yang berlarutan sehingga kanak-kanak
- Palsi serebral
- Terbantut atau perkembangan tergendala
- Masalah pendengaran atau penglihatan
Rumusan
Kesedaran dalam kalangan ibu bapa adalah amat penting untuk mengelakkan sebarang kesan buruk asap rokok kepada bayi atau kanak-kanak.
Bagi ibu bapa yang merokok, berhenti merokok adalah jalan terbaik bagi mencegah masalah kesihatan yang boleh berlaku kepada bayi dalam kandungan atau bayi yang telah dilahirkan.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Substance Use During Pregnancy.
- Martinez, F. D. et al. (1994). The effect of paternal smoking on the birthweight of newborns whose mothers did not smoke. Group Health Medical Associates. American journal of public health.
- U.S. Department of Health and Human Services. The Health Consequences of Smoking: 50 Years of Progress. the 50th Anniversary Surgeon General’s Report on Smoking and Health.
- Flanders-Stepans, M. B., & Fuller, S. G. (1999). Physiological effects of infant exposure to environmental tobacco smoke: a passive observation study. The Journal of perinatal education.
- Zhao, L. et al. (2020). Parental smoking and the risk of congenital heart defects in offspring: An updated meta-analysis of observational studies. European journal of preventive cardiology.