Apa itu Kanser Tulang?
Kanser tulang adalah kanser yang berlaku apabila sel luar biasa tumbuh di luar kawalan dalam tulang anda. Ia memusnahkan tisu tulang biasa. Ia mungkin bermula di tulang atau merebak ke sana dari bahagian lain badan anda (dipanggil metastasis).
Kanser tulang boleh bermula pada mana-mana tulang dalam badan, tetapi ia paling kerap menjejaskan tulang pelvis atau tulang panjang di lengan dan kaki.
Kanser tulang jarang berlaku. Kebanyakan tumor tulang adalah benigna, yang bermaksud ia bukan kanser dan tidak merebak ke bahagian badan yang lain. Tetapi mereka mungkin masih melemahkan tulang anda dan membawa kepada patah tulang atau masalah lain.
Kanser yang terbentuk pada tulang dikenali sebagai kanser tulang primer. Manakala, kanser yang bermula daripada organ atau bahagian badan yang lain yang kemudiaanya merebak ke tulang dipanggil kanser tulang sekunder atau metastatik.
Antara kanser-kanser yang selalunya merebak ke tulang adalah kanser payudara, prostat dan paru-paru.
Jenis-jenis Kanser Tulang
Secara umumnya, terdapat 4 jenis kanser tulang primer iaitu:
- Osteosarkoma: Kanser tulang jenis ini adalah paling lazim berlaku. Ia selalunya berlaku kepada mereka yang berumur bawah 20 tahun.
- Sarkoma Ewing: Kanser jenis ini biasanya berlaku kepada mereka yang berumur antara 5 hingga 20 tahun. Bahagian tulang rusuk, pelvis dan kaki adalah bahagian yang paling lazim berlaku. Ia juga boleh berlaku pada tisu lembut di sekeliling tulang.
- Kondrosarkoma: Kondrosarkoma bermula pada rawan. Rawan adalah tisu lembut yang terletak antara tulang sendi. Kanser jenis ini sering berlaku di bahagian tulang lengan, kaki dan pelvis. Ia lebih banyak berlaku kepada golongan dewasa.
- Kordoma: Tumor yang ganjil ini bermula di dalam tulang belakang (spina). Ia biasanya berlaku di dasar tulang belakang atau dasar tengkorak. Kanser jenis ini lebih banyak berlaku kepada golongan berusia.
Tahap-tahap Kanser Tulang
Tahap-tahap ditentukan oleh saiz dan lokasi tumor dan sama ada kanser telah merebak ke kawasan lain atau tidak. Kanser tulang primer dikategorikan kepada empat peringkat iaitu:
- Tahap 1: Tumor adalah gred rendah, dan sel-sel kanser masih setempat.
- Tahap 2: Sel-sel kanser masih setempat, tetapi tumornya adalah gred tinggi.
- Tahap 3: Tumor adalah gred tinggi dan kanser telah merebak ke kawasan lain dalam tulang yang sama.
- Tahap 4: Kanser telah merebak dari tulang ke bahagian lain badan seperti paru-paru atau hati.
Tanda-tanda dan Gejala
Sesetengah orang yang menghidap kanser tulang tidak mempunyai gejala selain daripada berasa seperti gumpalan yang tidak menyakitkan.
Manakala, sesetengah yang lain mungkin mengalami tanda-tanda atau gejala seperti berikut:
- Sakit tulang terutamanya pada waktu malam
- Bengkak tanpa sebab di kawasan tulang
- Sukar untuk bergerak
- Kelesuan
- Demam
- Kehilangan berat badan tanpa dirancang
- Tempang atau terincut-incut
Gejala-gejala ini juga turut berlaku bagi penyakit artritis atau Lyme, ini boleh menyebabkan kelewatan terhadap diagnosis.
Punca
Punca kepada kanser tulang tidak diketahui. Tetapi pakar mendapati terdapat perkaitan antara kanser tulang dengan beberapa faktor. Antaranya adalah:
- Keturunan: Sesetengah genetik yang diwarisi boleh meningkatkan risiko kepada kanser ini walaupun ia jarang-jarang berlaku.
- Terapi sinaran untuk kanser: Terdedah kepada dos sinaran yang tinggi seperti semasa rawatan kanser boleh meningkatkan risiko kepada kanser ini pada masa akan datang.
- Penyakit Paget: Selalunya berlaku pada orang yang lebih tua, penyakit Paget boleh meningkatkan risiko kepada kanser ini.
Rawatan Kanser Tulang
Rawatan untuk kanser tulang bergantung kepada jenis kanser atau tahap kanser yang dialami.
Biasanya ia melibatkan gabungan beberapa pendekatan rawatan. Jenis dan tempoh rawatan ini berbeza-beza bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis kanser tulang, saiz tumor dan sama ada ia telah merebak ke bahagian badan yang lain atau tidak.
Antara rawatan yang lazim digunakan adalah:
- Pembedahan: Pakar bedah akan membuang tumor dan beberapa tisu sihat di sekelilingnya. Mereka juga boleh membaiki atau membina semula tulang yang terjejas dengan cantuman tulang sebenar atau tiruan. Kadangkala, seluruh anggota badan mesti dibuang untuk merawat kanser. Dalam kes ini, anggota tiruan (prostetik) boleh digunakan.
- Terapi sinaran: Rawatan ini akan mengecutkan tumor dengan dos sinaran-X yang tinggi. Ahli profesional kesihatan sering menggunakan sinaran sebelum pembedahan untuk mengecutkan tumor supaya hanya sedikit tisu yang perlu dikeluarkan.
- Kemoterapi: Rawatan jenis ini membunuh sel-sel kanser di seluruh badan dengan ubat. Pesakit biasanya menerima ubat ini dengan menelan pil atau disuntik ke dalam urat.
Rujukan
- Martin, L.J. (2022). Bone Cancer. WebMD
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Bone Cancer. Cleveland Clinic
- Pullan JE, Lotfollahzadeh S. Primary Bone Cancer. [Updated 2022 Jun 3]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI