Pada 6 Oktober 2022, Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengeluarkan kenyataan media berkenaan penarikan semula produk Mi Sedaap iaitu Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles dan Mi Sedaap Korean Spicy Chicken Instant Noodles akibat mengandungi residu ethylene oxide iaitu racun perosak.
Tindakan ini diambil berikutan pengesan bahan racun yang sama pada produk aiskrim Haagen-Dazs pada Ogos yang lalu.
Produk terlibat:
- Mi Sedaap Korean Spicy Chicken Instant Noodles dengan tarikh luput 21 Mei 2023.
- Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles dengan tarikh luput 17 Mac 2023.

Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa berdasarkan semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles ada diimport ke negara ini.
Walau bagaimanapun, tiada kemasukan produk terlibat dengan dengan tarikh luput seperti yang direkodkan oleh pihak Agensi Makanan Singapura.
KKM juga akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) di semua pintu masuk negara.
Ethylene Oxide
Ethylene oxide adalah racun perosak yang tidak dibenarkan penggunaannya dalam makanan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Ia merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik (boleh menyebabkan kanser) dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membasmi makhluk perosak seperti serangga.