Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan akhbar hari ini memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO).
Pihak KKM telah menerima laporan dan notifikasi berkaitan isu ini pada bulan Julai 2022 dan tindakan sewajarnya telah diambil oleh pihak syarikat yang mengimport produk aiskrim tersebut. Produk-produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs yang terlibat telah ditarik balik secara sukarela dari pasaran Malaysia.
Pihak KKM turut menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini.
Sebelum ini, laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF) menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari negara Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap yang dibenarkan.
Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Ethylene Oxide (ETO) merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik (boleh menyebabkan kanser) dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.
ETO juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.
Sekiranya pengguna masih merasa ragu-ragu akan produk berjenama terlibat yang dijual, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.