Hemoroid atau buasir lazimnya tidak berbahaya. Penyakit ini banyak menjejaskan individu lelaki dan wanita terutamanya mereka yang sudah berumur.
Namun, bagi wanita, mereka juga boleh mengalami hemoroid semasa kehamilan atau bersalin.
Apa itu Hemoroid?
Hemoroid adalah istilah perubatan kepada buasir. Hemoroid ialah sejenis penyakit yang disebabkan pengembangan vena (urat) di bahagian anus (dubur) apabila terdapat tekanan tambahan pada urat tersebut.
Akibatnya, berlaku keradangan atau bengkak pada bahagian rektum dan dubur pesakit. Selain itu, penyakit ini turut mengakibatkan perdarahan semasa membuang air besar.
Walaupun hemoroid kadang-kadang boleh menyakitkan, ia boleh pulih dengan sendirinya.
Perubahan gaya hidup seperti makan lebih banyak serat dan bersenam, boleh membantu melegakan gejala-gejala dan mengurangkan risiko berlakunya hemoroid pada masa hadapan.
Jenis-jenis Hemoroid
Terdapat beberapa jenis hemoroid yang boleh berlaku seperti:
- Hemoroid dalam: Ia berada jauh di dalam rektum anda yang biasanya anda tidak dapat melihat atau merasakannya. Hemoroid jenis ini biasanya tidak sakit. Perdarahan semasa membuang air besar adalah salah satu daripada gejalanya.
- Hemoroid luar: Hemoroid luar berlaku pada kulit sekitar dubur dan oleh itu boleh dilihat. Terdapat saraf yang lebih sensitif di bahagian ini, jadi hemoroid luar boleh menjadi sangat menyakitkan.
- Hemoroid prolaps: Hemoroid jenis ini berlaku apabila hemoroid dalam meregang ke bawah sehingga ia membonjol di luar lubang dubur anda. Ia biasanya kembali ke dalam badan anda dengan sendirinya. Jika tidak, ia selalunya boleh ditolak semula ke tempatnya.
- Hemoroid trombosis: Pembekuan darah boleh menjadikan hemoroid luar menjadi ungu atau biru. Ini dipanggil trombosis atau hemoroid trombosis.
Apakah Punca yang Menyebabkan Hemoroid?
Anda boleh mengalami hemoroid sekiranya anda:
- Meneran semasa membuang air besar
- Berumur (tua)
- Hamil
- Mempunyai ahli keluarga yang turut mengalamu hemoroid
- Mengalami sembelit yang berpanjangan
- Mengalami cirit-birit yang berpanjangan
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti
- Mengangkat objek berat
- Mencangkung atau duduk terlalu lama terutamanya di dalam tandas
Apakah Gejala-gejala atau Simptom Hemoroid?
Setiap orang mungkin mengalami gejala-gejala yang berbeza-beza. Antara gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Perdarahan yang berwarna merah cerah
- Gatal atau iritasi di kawasan dubur
- Ketidakselesaan atau sakit di sekitar dubur
- Bengkak atau ketulan di bahagian dubur
Gejala-gejala boleh menjadi tidak selesa atau membimbangkan, tetapi ia selalunya bertambah baik dengan sendirinya selepas beberapa hari.
Siapakah Golongan Berisiko?
Kebanyakan orang boleh mengalami hemoroid pada suatu masa dalam hidup mereka.
Walau bagaimanapun, golongan-golongan ini lebih berisiko untuk mendapat hemoroid:
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes
- Hamil
- Duduk atau mencangkung di dalam tandas terlalu lama
- Berusia antara 45 hingga 65 tahun
- Mengalami cirit-birit atau sembelit yang lama
- Mengangkat objek berat
- Mempunyai ahli keluarga yang mengalami hemoroid
Bagaimana Hemoroid di Diagnosis?
Untuk mengetahui sama ada anda menghidap hemoroid atau tidak, ahli profesional kesihatan boleh melakukan beberapa ujian termasuk:
- Pemeriksaan fizikal: Doktor akan memeriksa dubur dan rektum untuk melihat sama ada terdapat saluran darah (urat) yang bengkak atau tidak.
- Pemeriksaan rektum digital: Doktor akan memasukkan jari ke dalam rektum untuk memeriksa sebarang masalah.
- Anoskopi: Tiub berongga dan bercahaya dimasukkan ke dalam dubur anda. Ini digunakan untuk melihat hemoroid dalaman.
- Proktoskopi: Tiub berlampu dimasukkan ke dalam dubur anda. Ini memberikan gambaran keseluruhan rektum anda.
Bagaimana Hemoroid Dirawat?
Dalam kebanyakan kes, langkah mudah akan mengurangkan gejala dan hemoroid sembuh dengan sendirinya.
Walau bagaimanapun, ubat atau pembedahan mungkin diperlukan dalam kes tertentu.
Rawatan Dirumah
Beberapa rawatan dirumah berikut boleh membantu melegakan gejala-gejala hemoroid:
- Minyak atau krim sapuan: Minyak atau krim sapuan boleh membantu mengurangkan gatal-gatal, bengkak atau ketidakselesaan.
- Suplemen serat: Mengambil suplemen seperti psilium boleh mengurangkan sembelit.
- Pek ais: Penggunaan pek ais boleh membantu mengurangkan kesakitan.
- Mandi sitz: Mandi sitz melibatkan duduk di dalam tab air yang cetek dan suam. Melakukannya beberapa kali setiap hari boleh membantu mengurangkan sakit hemoroid.
- Analgesik: Ubat penghilang kesakitan seperti paracetamol, ibuprofen atau aspirin boleh mengurangkan kesakitan.
Ubat-ubatan
Terdapat juga beberapa jenis ubat hemoroid yang boleh diperolehi melalui belian kaunter seperti:
- Zink oksida: Krim yang mengandungi zink oksida boleh membantu dengan kerengsaan.
- Krim steroid: Kortikosteroid seperti hidrokortison biasanya digunakan untuk merawat hemoroid. Ia boleh membantu mengurangkan keradangan, tetapi boleh merosakkan kulit jika digunakan terlalu lama.
- Lidocaine: Lidocaine bertindak sebagai anestetik setempat. Krim atau suppositori yang menggabungkan tribenoside (antiradang) dengan lidocaine boleh membantu mengurangkan gejala sakit dan gatal-gatal.
Sekiranya gejala-gejala tidak bertambah baik selepas menggunakan ubat-ubatan ini selama seminggu, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor.
Rawatan Bukan Pembedahan
Sekiranya rawatan di rumah tidak berkesan, beberapa rawatan bukan pembedahan mungkin boleh membantu. Antaranya adalah:
- Pengikatan gelang getah: Prosedur pesakit luar untuk hemoroid dalaman ini melibatkan meletakkan gelang getah pada pangkal hemoroid untuk menyekat bekalan darahnya. Hemoroid tersebut sama ada akan mengecut atau gugur.
- Skleroterapi: Prosedur ini melibatkan suntikan cecair ke dalam hemoroid dalaman. Ini menghasilkan parut yang memotong bekalan darah ke hemoroid tersebut, menyebabkan ia mengecut.
- Fotokoagulasi inframerah: Cahaya inframerah memancar ke arah hemoroid dalaman memanaskan kawasan tersebut, menyebabkan tisu parut terbentuk. Ini menyekat bekalan darah dan mengurangkan saiznya.
- Penggumpalan elektrik: Arus elektrik yang rendah dihantar ke dalam hemoroid untuk mencipta parut. Tisu parut ini memotong bekalan darah, menyebabkan ia mengecut.
Pembedahan
Pembedahan mungkin melibatkan pembuangan lengkap hemoroid luar atau hemoroid prolaps. Prosedur ini dikenali sebagai hemorrhoidectomy.
Semasa prosedur ini, pesakit akan menerima anestesia am. Kebanyakan orang boleh pulang ke rumah pada hari yang sama dengan pembedahan.
Rujukan
- Felman, A. (2023). What to know about hemorrhoids. MedicalNewsToday.
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. Hemorrhoids.
- Lohsiriwat V. (2012). Hemorrhoids: from basic pathophysiology to clinical management. World journal of gastroenterology.
- Lawrence A, McLaren ER. External Hemorrhoid. [Updated 2023 Aug 8]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI