Mungkin dari dulu anda tertanya-tanya kenapa gigi rosak akibat makan gula? Sejak dari kecil, kita diberitahu bahawa banyak makan gula-gula boleh menyebabkan gigi rongak.
Jadi apakah sebenarnya yang menyebabkan gigi kita rosak? Bagaimana gula menyebabkan gigi kita rosak? Artikel ini akan menjawab persoalan-persoalan tersebut.
Umumnya, semua orang tahu bahawa gula adalah tidak baik untuk gigi anda. Meskipun begitu, gula bukanlah satu-satunya punca atau penyebab kepada kerosakan gigi.
Tetapi sebaliknya rantaian peristiwa yang berlaku selepas anda memakan gula adalah punca sebenar yang menyebabkan gigi rosak.

Mulut adalah Kilang Bakteria
Terdapat pelbagai jenis bakteria di dalam mulut kita. Sesetengahnya adalah bakteria yang bermanfaat kepada kesihatan gigi dan sesetengahnya pula berbahaya kepada gigi.
Kajian turut melaporkan bahawa terdapat kumpulan bakteria berbahaya yang menghasilkan asid di dalam mulut apabila bakteria-bakteria tersebut bertemu dan mencernakan gula. [1]
Asid yang terhasil akan menyingkirkan mineral daripada lapisan luar gigi (enamel gigi). Proses ini dikenali sebagai penyahmineralan.
Mujurlah, enamel gigi boleh membaiki dirinya sendiri melalui proses pemineralan semula dengan bantuan mineral-mineral yang terdapat di dalam air liur seperti kalsium dan fosfat.
Walau bagaimanapun, serangan asid yang berterusan pada satu jangka masa yang lama boleh melemah dan merosakkan enamel gigi seterusnya menyebabkan kaviti.
Dalam bahasa mudahnya, kaviti ialah lubang pada gigi yang disebabkan oleh kerosakan gigi. Ia adalah hasil tindakan bakteria berbahaya yang mencerna gula dalam makanan dan menghasilkan asid.
Sekiranya tidak dirawat kaviti boleh merebak ke lapisan dalam gigi, menyebabkan kesakitan dan kehilangan gigi.
Gula Menarik Bakteria Jahat dan Mengubah Keasidan Mulut
Gula bertindak seperti magnet yang menarik bakteria jahat di dalam mulut.
Bakteria jahat ini akan memakan gula yang anda makan dan membentuk plak gigi. Plak gigi adalah lapisan nipis yang melekat pada lapisan gigi.
Sekiranya plak ini tidak dibersihkan melalui aktiviti memberus gigi atau air liur, persekitaran mulut akan menjadi lebih berasid dan kaviti akan mula terbentuk.
Apabila keasidan mulut melebihi paras normal, keasidan tersebut akan mula melarutkan mineral dan merosakkan enamel gigi. [2]
Sekiranya persekitaran ini berlaku secara berulang-ulang atau pada jangka masa yang lama, hakisan pada gigi akan berterusan sehinggalah terbentuk kaviti yang besar.
Proses-proses ini menjurus ke arah kerosakan gigi anda akibat daripada memakan gula atau makanan manis.
Tabiat yang Menyebabkan Gigi Rosak
Tabiat pemakanan memainkan peranan yang besar terhadap kesihatan gigi. Diet yang tinggi dengan gula dan berasid boleh mendorong kepada kerosakan gigi.
Bagi mencegah atau mengurangkan kerosakan gigi, beberapa makanan dan minuman berikut haruslah dikurangkan atau dielakkan secara total:
1. Makanan Ringan yang Tinggi Gula
Memakan makanan ringan yang tinggi gula seperti biskut, biskut berkrim, kentang goreng, puding atau bar bijirin secara kerap boleh menyebabkan kaviti gigi.
Pengambilan makanan jenis ini secara kerap mendedahkan gigi anda terhadap pelbagai asid yang boleh menyebabkan pereputan gigi.
2. Minuman Bergula dan Berasid
Minuman seperti minuman tenaga, jus, minuman sukan atau minuman berkarbonat tinggi dengan gula dan asid yang boleh menyebabkan pereputan gigi.
Terdapat kajian yang mendedahkan bahawa meminum 1-2 minuman bergula sehari didapati boleh meningkatkan 31% risiko kepada kaviti gigi. [3]
Terdapat juga kajian yang mendapati kekerapan pengambilan minuman bergula mempunyai hubungan dengan kehilangan gigi dalam kalangan belia walaupun purata pengambilan minuman bergula tersebut adalah kurang daripada satu kali sehari. [4]
3. Menghirup Minuman Manis
Jika anda suka menghirup minuman bergula, anda mungkin perlu mengubah tabiat tersebut.
Kajian telah menunjukkan bahawa cara anda minum minuman anda mempengaruhi risiko anda membentuk kaviti.
Satu kajian menunjukkan bahawa menyimpan minuman manis di dalam mulut anda untuk masa yang lama atau sentiasa menghirupnya meningkatkan risiko gigi berlubang. [2]
4. Makan Makanan yang Mudah Melekat
Makanan yang melekat pada gigi akan membekalkan sumber gula pada satu jangka masa yang panjang kepada bakteria untuk mencernakan gula dan menghasilkan asid yang seterusnya boleh menyebabkan pereputan gigi.
Makanan-makanan seperti gula-gula, gula-gula getah, lolipop atau gula-gula karamel adalah antara makanan yang mudah untuk melekat pada gigi.
Selain itu, makanan berkanji seperti biskut berperisa, kerepek atau kerepek ubi kentang mungkin melekat di dalam mulut anda dan menyebabkan kaviti.
Rumusan
Secara ringkasnya, gula atau makanan tinggi dengan gula boleh merosakkan gigi kerana gula menarik bakteria jahat di dalam mulut. Bakteria jahat ini akan menghasilkan asid yang boleh menghakis lapisan gigi yang seterusnya menyebabkan kaviti.
Penjagaan pemakanan dan amalan kebersihan gigi boleh membantu mengatasi masalah ini.
Rujukan
- Sheiham, A., & James, W. P. (2015). Diet and Dental Caries: The Pivotal Role of Free Sugars Reemphasized. Journal of dental research.
- Touger-Decker, R., & van Loveren, C. (2003). Sugars and dental caries. The American journal of clinical nutrition.
- Bernabé, E. et al. (2014). Sugar-sweetened beverages and dental caries in adults: a 4-year prospective study. Journal of dentistry.
- Kim, S. et al. (2017). Permanent tooth loss and sugar-sweetened beverage intake in U.S. young adults. Journal of public health dentistry.