Sakit gigi bongsu hanya dialami oleh orang dewasa kerana gigi ini tumbuh paling akhir. Sakit ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Jika berlaku pada waktu malam, sudah tentu tiada klinik gigi yang beroperasi. Oleh itu, di sini kami kongsikan petua hilangkan sakit gigi bongsu yang boleh membantu mengurangkan kesakitan sebelum anda berjumpa dengan doktor gigi.
Gigi bongsu ialah gigi geraham yang ketiga yang tumbuh pada peringkat umur 17-25 tahun.
Ketika tumbuh, gigi ini kerap terhimpit kerana ruang pada rahang mulut tidak mencukupi untuk gigi ini tumbuh dengan baik.
Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan, kebengkakkan,penyakit gusi, nafas berbau, jangkitan pada gusi dan kerosakan gigi bersebelahan (karies gigi) pada individu tersebut.
Berikut adalah beberapa rawatan dirumah atau petua hilangkan sakit gigi bongsu yang boleh dicuba menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah atau boleh dibeli di kedai.
1. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air suam yang dicampuri garam adalah rawatan yang sangat popular untuk merawat sakit gigi.
Berkumur dengan air suam yang dicampuri garam dapat menyihatkan gusi dan meningkatkan penyembuhan ulser dalam mulut. [1]
2. Makan Ubat Penahan Sakit
Ubat penahan sakit seperti aspirin dan paracetamol yang digunakan untuk menghilangkan sakit kepala juga boleh digunakan untuk melegakan sakit gigi bongsu.
Kajian mendapati aspirin dan paracetamol menunjukkan keberkesanan untuk merawat sakit gigi. [2]
3. Gunakan Flos
Gunakan flos untuk mengeluarkan sisa makanan di celah gigi bagi mengelakkan jangkitan bakteria di gusi ataupun gigi.
4. Pes Bawang Putih dan Halia
Bawang putih yang ditumbuk didapati salah satu pembunuh bakteria atau virus yang efektif.
Malah, saintis mendapati bawang putih yang dicampur dengan halia dan ditumbuk dijadikan seperti pes lebih efektif berbanding bawang putih sahaja. [3]
Sapukan pes ini di bahagian gigi dan gusi yang sakit.
5. Minyak Pati Daun Pudina
Daun pudina mempunyai minyak pati yang boleh melegakan kesakitan dan mengurangkan radang. [4]
Cairkan dengan beberapa titis minyak pati daun pudina ke dalam sesudu minyak zaitun atau minyak kelapa, kemudian rendamkan bebola kapas ke dalam campuran minyak ini.
Sapukan kapas ini dibahagian yang sakit atau biarkan kapas itu disitu.
6. Minyak Pati Kayu Manis
Minyak pati kayu manis juga didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria yang dapat mencegah bakteria yang menyebabkan karies gigi. [5]
Cairkan minyak pati ini ke dalam air, kemudian gunakan air itu untuk berkumur.
7. Minyak Pati Bunga Cengkih
Minyak pati bunga cengkih turut mempunyai ciri-ciri antibakteria seperti minyak kayu manis yang dapat mencegah bakteria jenis Streptococcus mutans yang menyebabkan karies gigi. [6]
Minyak bunga cengkih ini boleh dicampurkan dengan air suling dan digunakan untuk berkumur. Sekiranya kesakitan gigi itu amat kuat, titiskan minyak bunga cengkih ini ke atas kapas dan letakkan kapas ini berdekatan gigi yang sakit itu.
8. Minyak Pati Serai
Minyak pati serai juga boleh digunakan untuk mencegah karies gigi. Minyak ini turut mempunyai ciri-ciri antibakteria yang dapat mencegah bakteria karies gigi dan radang pada gusi. [6, 7]
Campurkan minyak pati serai ini ke dalam air, kemudian gunakannya untuk berkumur.
Peringatan!
Rawatan dirumah atau petua hilangkan sakit gigi bongsu ini hanyalah untuk rawatan segera dan sementara, sila dapatkan rawatan susulan di klinik pergigian untuk rawatan lanjut.
Bagi minyak pati (essential oil), tidak semua minyak pati adalah tulen. Sila baca label untuk mengetahui sama ada minyak pati ini 100% tulen atau mengandungi campuran lain.
Harus diingat juga, minyak pati juga boleh menyebabkan alahan bagi sesetengah orang akibat sentuhan dengan minyak pati ini. [4]
Rujukan
- Huynh, N. C. et al. (2016). Rinsing with Saline Promotes Human Gingival Fibroblast Wound Healing In Vitro. PloS one.
- Voelker, M. et al. (2016). Efficacy of disintegrating aspirin in two different models for acute mild-to-moderate pain: sore throat pain and dental pain. Inflammopharmacology.
- Kanth, M. R. et al. (2016). Efficacy of Specific Plant Products on Microorganisms Causing Dental Caries. Journal of clinical and diagnostic research.
- de Groot, A., & Schmidt, E. (2016). Essential Oils, Part V: Peppermint Oil, Lavender Oil, and Lemongrass Oil. Dermatitis.
- Gupta, C. et al. (2011). Comparative study of cinnamon oil and clove oil on some oral microbiota. Acta bio-medica.
- Chaudhari, L. K. et al. (2012). Antimicrobial activity of commercially available essential oils against Streptococcus mutans. The journal of contemporary dental practice.
- Dany, S. S. et al. (2015). Efficacy of 0.25% Lemongrass Oil Mouthwash: A Three Arm Prospective Parallel Clinical Study. Journal of clinical and diagnostic research.