Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu telah memaklumkan bahawa terdapat lebih daripada 150 kes yang disyaki bakteria Salmonella dikaitkan dengan produk coklat jenama Kinder keluaran Belgium.
Kes berkaitan dengan bakteria Salmonella disyaki disebabkan pengambilan atau pemakanan produk coklat keluaran syarikat Kinder tersebut telah menjejaskan 11 negara setakat ini.
Sebanyak 26 kes dilaporkan di Belgium, diikuti 25 kes di Perancis, 10 kes di Jerman, 15 kes di Ireland, 1 kes di Luxemburg, 2 kes di Belanda, 1 kes di Norway, 1 kes di Sepanyol, 4 kes di Sweden, 65 kes di United Kingdom dan 1 kes di Amerika Syarikat.

WHO turut memaklumkan bahawa majoriti jangkitan yang berlaku disebabkan oleh bakteria Salmonella jenis Typhimurium dan Enteritidis.
Kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke bawah adalah golongan yang paling teruk terjejas melibatkan kira-kira 89 peratus daripada keseluruhan kes. Seramai 9 orang pesakit juga dimasukkan ke hospital. Walau bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
Menurut WHO lagi, bakteria Salmonella yang dikenal pasti ini sepadan dengan kes jangkitan yang ditemui pada Disember dan Januari lalu, dalam tangki susu mentega di sebuah kilang yang dikendalikan oleh pembuat coklat Ferrero, di bandar Arlon, Belgium.
Dalam satu kenyataan, WHO memaklumkan bahawa jenis (strain) Salmonella yang menyebabkan wabak ini mempunyai daya tahan terhadap enam jenis antibiotik.
Gejala dan Simptom-simptom
Jangkitan bakteria Salmonella (Salmonellosis) boleh menyebabkan gejala dan simptom seperti demam akut, sakit perut, loya, muntah, dan cirit-birit yang boleh berdarah seperti dalam kebanyakan kes jangkitan semasa.
Gejala biasanya bermula antara 6 dan 72 jam selepas pengambilan makanan atau air yang tercemar dengan bakteria Salmonella dan penyakit boleh berlarutan dari dua hingga tujuh hari.
Dalam kebanyakan kes, gejala Salmonellosis agak ringan dan pesakit akan pulih tanpa rawatan khusus.
Walau bagaimanapun, risiko adalah lebih tinggi untuk sesetengah kanak-kanak dan pesakit tua di mana dehidrasi boleh menjadi teruk dan mengancam nyawa.
Dalam satu kenyataan lain, agensi PBB itu memaklumkan bahawa risiko penularan di rantau Eropah dan global dinilai sebagai sederhana sehingga maklumat mengenai penarikan balik sepenuhnya produk itu tersedia.