Buah avokado adalah buah unik yang mempunyai banyak khasiatnya. Buah ini juga merupakan antara buah yang tinggi kandungan lemak sihat. Oleh kerana buah avokado bukanlah buah-buahan tempatan, maka mesti ada yang tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk makan buah avokado ini.
Di sini kami kongsikan beberapa cara makan buah avokado yang boleh dicuba oleh kita semua.
1. Dijadikan Jus atau Smoothie
Isi buah avokado boleh dijadikan jus atau smoothie.
Jus atau smoothie ini boleh dicampur dengan buah-buahan lain seperti buah pisang, strawberi, buah beri atau nanas. Minuman ini boleh juga dicampur dengan yogurt atau susu.
Cara ringkas untuk membuat smoothie avokado, kisar bahan-bahan berikut:
- 1 biji buah avokado yang sudah masak, dibuang kulit dan biji.
- 1/2 biji pisang.
- 1 cawan susu (240 ml).
- 1/2 cawan (125 gram) yogurt atau Greek yogurt (perisa mengikut kesukaan masing-masing).
- Ais
Anda boleh mencuba pelbagai buah atau campuran lain untuk membuat smoothie.
Tips: Untuk mengetahui sama ada buah avokado itu telah masak atau belum, picit buah tersebut dengan tapak tangan atau jari. Buah yang sudah masak akan sedikit lembut. Jika masih keras, buah ini belum masak.
2. Dijadikan Salad
Buah avokado juga boleh dijadikan salad. Dicampur dengan sayur-sayuran yang lain atau dijadikan salad tuna.
Kandungan kalori daripada lemak dan serat dalam buah ini menjadikan anda kenyang dengan lebih lama dan boleh membantu menurunkan berat badan. [1]
3. Makan Bersama Telur Hancur
Campurkan buah avokado yang dipotong dadu ke dalam telur hancur (scrambled egg) semasa telur masih di dalam kuali.
Pastikan avokado ini di masukkan setelah telur tersebut sudah separuh masak dan teruskan memasak sehingga avokado ini sedikit suam.
Tambahkan keju, garam dan lada hitam sebagai penambah perisa.
4. Digril
Buah avokado juga boleh dipanggang dan dimakan bersama-sama daging panggang.
Potong buah ini kepada dua, buang bijinya. Sapukan minyak (minyak zaitun) dan titiskan air lemon dan panggangnya selama 2-3 minit.
Akhir sekali, tambah garam dan lada hitam sebagai perasa.
5. Dijadikan Puding
Buah avokado juga boleh dijadikan puding. Kebiasaannya, dicampur dalam puding coklat.
6. Dimakan Bersama-sama Sushi
Bagi pengemar sushi, avokado juga boleh dimakan bersama-sama sushi. Buah ini boleh digabungkan bersama isi atau sebagai hiasan atas sushi.
7. Telur dan Avokado Bakar
Resepi ringkas ini antara resepi sihat yang senang untuk dicuba. Anda hanya memerlukan sebiji buah avokado, dua biji telur, garam dan lada hitam.
Cara-caranya adalah:
- Belah buah avokado tersebut kepada 2.
- Kemudian, korek keluar biji dan sebahagian isi avokado ini (kira-kira 2 sudu besar atau lebih untuk memuatkan telur).
- Pecahkan telur dan masukkan ke dalam setiap belahan avokado ini (1 biji 1 belahan).
- Taburkan garam dan lada hitam secukup rasa.
- Bakar avokado dan telur ini ke dalam ketuhar (oven) selama 15 minit pada suhu 200 darjah celcius.
8. Di makan Bersama Roti Bakar
Avokado juga boleh menggantikan jem atau mentaga kacang.
Sapukan isi avokado yang telah ditumbuk di atas roti bakar. Boleh dicampurkan bahan lain seperti garam, lada hitam, air limau, serbuk lada putih atau telur hancur atau goreng.
9. Dijadikan bahan hiasan atas (topping)
Avokado juga senang untuk dicampurkan dalam banyak resipi. Contohnya, buah ini boleh dijadikan hiasan atas bagi burger, sandwic, atau piza.
10. Dijadikan ais krim
Ya. Avokado juga boleh dijadikan ais krim.Enak dimakan ketika cuaca panas.
Bahan-bahannya:
- 2 biji buah avokado masak bersaiz kecil, di
- 2 biji limau nipis.
- 250 ml yogurt asli.
- 1 sudu teh ekstrak vanila.
- 3 sudu besar madu.
Cara-caranya:
- Campurkan semua bahan-bahan tadi dan kisar sehingga sebati.
- Rasa dan sesuaikan tahap kemanisannya mengikut kehendak masing-masing.
- Tuangkan kedalam acuan ais krim.
- Bekukan semalaman.