Khasiat strawberi merangkumi banyak aspek kepada kesihatan manusia. Bermula dari kesihatan dalaman hinggalah kesihatan luaran. Strawberi adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C, folat dan kalium.
Merungkai asal usulnya, buah strawberi berasal dari negara Eropah pada kurun ke-18. Strawberi (Fragaria) yang masak berwarna merah, berjus dan manis.
Strawberi merupakan salah satu buah beri daripada keluarga buah beri iaitu Rosaceae yang terdiri daripada buah raspberi dan beri hitam.
Kini, strawberi juga boleh didapati di Malaysia iaitu di Cameron Highland, Pahang.

Berikut merupakan 8 khasiat strawberi berdasarkan kajian-kajian:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam 100 gram buah strawberi, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 32 kcal
- Protein: 0.67 gram
- Lemak: 0.3 gram
- Karbohidrat: 7.68 gram
- Serat: 2 gram
- Kalsium: 16 miligram
- Zat Besi: 0.41 miligram
- Magnesium: 13 miligram
- Fosforus: 24 miligram
- Kalium: 153 miligram
- Vitamin C: 58.8 miligram
- Folat: 24 mikrogram
- Vitamin E: 0.29 miligram
Buah strawberi segar mempunyai banyak air iaitu 91 ml bagi 100 gram, maka jumlah karbohidratnya ialah sedikit (kurang dari 8 gram).
Strawberi juga mengandungi antioksidan termasuklah antosianin, asid elagik, kuersetin dan kaempferol. [1]
2. Boleh Membantu Mencegah Penyakit Jantung
Penyakit jantung ialah antara penyebab kematian tertinggi di seluruh dunia.
Strawberi adalah sumber yang baik untuk mendapatkan polifenol terutamanya antosianin.
Kajian-kajian mendapati antosianin memainkan peranan penting dalam menambahbaik kesihatan jantung. [2, 3]
Satu kajian terhadap wanita muda dan pertengahan umur dijalankan untuk mengetahui perkaitan antara diet flavonoid dengan risiko serangan jantung.
Kajian ini mendapati pengambilan antosianin (flavonoid) yang tinggi yang terdapat dalam buah strawberi dan beri biru mengurangkan risiko serangan jantung. [4]
3. Baik untuk Kesihatan Otak
Strawberi juga mempunyai khasiat untuk kesihatan otak manusia.
Dalam satu kajian epidemiologi mendapati pengambilan strawberi secara berpanjangan mempunyai perkaitan dengan penurunan kognitif yang lebih perlahan terhadap golongan yang sudah berusia. [5]
4. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kencing Manis
Penyakit kencing manis atau diabetes menjadi satu kebimbangan di seluruh dunia. Dianggarkan pesakit kencing manis boleh mencecah 592 juta pada 2035.
Punca penyakit ini adalah kerana gula darah yang terlalu tinggi yang bertanggungjawab menyebabkan kegagalan dan disfungsi pelbagai organ.
Beberapa kajian menunjukkan kaitan antara pengambilan buah-buahan terutamanya buah beri dan sayur-sayuran serta pengurangan kejadian baru penyakit kencing manis. [6, 7]
5. Berpotensi Merawat atau Mencegah Kanser
Buah strawberi juga mempunyai antioksidan yang boleh mencegah kanser dengan melawan atau meneutralkan radikal bebas.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati strawberi boleh menghalang pembentukan tumor bagi kanser mulut. [8]
Terdapat kajian lain yang menunjukkan bahawa ekstrak strawberi boleh mengaktifkan kematian sel-sel kanser payudara dan merencatkan kemaraan tumor. [9]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian lanjutan yang diperlukan untuk melihat potensi sebenar buah strawberi dalam mencegah dan merawat kanser.
6. Baik untuk Kesihatan Kulit
Strawberi mengandungi asid salisilik, asid alfa hidroksi (AHA) dan asid elagik.
Asid-asid ini boleh mencegah jerawat, menyingkirkan sel kulit mati dan mengurangkan hiperpigmentasi.
Kajian yang dijalankan mendapati produk kosmetik yang berasaskan strawberi boleh melindungi kulit daripada sinaran ultraviolet A yang boleh menyebabkan penyakit kulit. [10]
7. Boleh Mengurangkan Risiko Sembelit
Makan buah-buahan yang tinggi kandungan air dan serat seperti strawberi, tembikai dan anggur boleh memastikan badan sentiasa terhidrat dan mengekalkan pergerakan usus yang normal.
Serat juga penting bagi mengurangkan risiko sembelit dan membesarkan najis.
8. Boleh Membantu Merendahkan Tekanan Darah
Strawberi juga tinggi dengan kandungan kaliumnya.
Kalium (potassium) boleh membantu anda yang mengalami tekanan darah tinggi dengan mengurangkan kesan natrium (sodium) dalam badan.
Kalium dan magnesium juga boleh bertindak sebagai vasodilator iaitu bahan yang membantu mengembang dan mengendurkan saluran darah. Seterusnya, ia dapat merendahkan tekanan darah.
Rumusan
Strawberi ialah buah yang sihat, sedap dan rendah kalori.
Strawberi mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada kesihatan seperti mengurangkan risiko penyakit jantung, penyakit kencing manis, mencegah kanser dan juga merendahkan tekanan darah.
Strawberi juga mudah ditambah dalam diet harian. Mudah dimakan segar, dijadikan salad, dimakan bersama yogurt, dibuat jem dan macam-macam lagi.
Rujukan
- Skrovankova, S. et al. (2015). Bioactive Compounds and Antioxidant Activity in Different Types of Berries. International journal of molecular sciences.
- Wallace T. C. (2011). Anthocyanins in cardiovascular disease. Advances in nutrition.
- Basu, A. et al. (2010). Berries: emerging impact on cardiovascular health. Nutrition reviews.
- Cassidy, A. et al. (2013). High anthocyanin intake is associated with a reduced risk of myocardial infarction in young and middle-aged women. Circulation.
- Devore, E. E. et al. (2012). Dietary intakes of berries and flavonoids in relation to cognitive decline. Annals of neurology.
- Muraki, I. et al. (2013). Fruit consumption and risk of type 2 diabetes: results from three prospective longitudinal cohort studies. BMJ.
- Mursu, J. et al. (2014). Intake of fruit, berries, and vegetables and risk of type 2 diabetes in Finnish men: the Kuopio Ischaemic Heart Disease Risk Factor Study. The American journal of clinical nutrition.
- Casto, B. C. et al. (2013). Chemoprevention of oral cancer by lyophilized strawberries. Anticancer research.
- Somasagara, R. R. et al. (2012). Extracts of strawberry fruits induce intrinsic pathway of apoptosis in breast cancer cells and inhibits tumor progression in mice. PloS one.
- Gasparrini, M. et al. (2017). Strawberry-Based Cosmetic Formulations Protect Human Dermal Fibroblasts against UVA-Induced Damage. Nutrients.