Memilih buah-buahan rendah kandungan gula adalah pilihan bijak bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes) atau mereka yang sedang menjalani diet rendah karbohidrat.
Lazimnya, mereka yang ingin mengawal tahap pengambilan gula hanya menitik beratkan pengurangan terhadap pengambilan produk makanan seperti minuman berkarbonat, gula-gula, kek, aiskrim atau coklat.
Namun, terdapat juga sesetengah buah-buahan yang tinggi kandungan gula. Contohnya seperti buah mangga (mempelam) dan buah anggur.
Pelan diet rendah karbohidrat seperti diet keto dan diet Atkins juga tidak membenarkan pengambilan buah-buahan yang tinggi kandungan gula dan hanya membenarkan beberapa jenis buah rendah kandungan gula sahaja.
Dalam artikel ini, kita akan melihat beberapa buah-buahan yang rendah dengan kandungan gula tanpa mengurangkan sedikit pun khasiat buah-buahan ini.
Berikut adalah beberapa buah-buahan yang rendah kandungan gula.
1. Strawberi
Kandungan gula: 4.9 gram gula bagi setiap 100 gram buah strawberi.
Ini bermakna bagi satu cawan (166 gram) buah strawberi yang telah dipotong, terdapat 8.1 gram gula. Majoriti gula dalam buah ini terdiri daripada fruktosa dan diikuti oleh glukosa dan sedikit sukrosa.
2. Beri Hitam
Kandungan gula: 4.9 gram gula bagi setiap 100 gram buah beri hitam.
Secawan beri hitam (144 gram) pula mengandungi 7 gram gula. Menariknya, kandungan serat dalam buah beri hitam hampir sama dengan kandungan gulanya.
3. Raspberi
Kandungan gula: 4.4 gram gula bagi setiap 100 gram buah raspberi.
10 biji raspberi hanya mengandungi 0.84 gram gula sahaja. Majoriti gula dalam buah raspberi terdiri daripada fruktosa dan glukosa.
Raspberi juga tinggi dengan kandungan serat, mineral kalsium dan juga vitamin C.
4. Kiwi
Kandungan gula: 9 gram gula bagi setiap 100 gram buah kiwi.
Sebiji buah kiwi dengan berat 75 gram pula mengandungi 6.7 gram gula.
5. Limau Gedang
Kandungan gula: 6.9 gram gula bagi setiap 100 gram buah limau gedang (grapefruit).
Walau bagaimanapun, sebiji buah limau gedang yang mempunyai berat sekitar 308 gram agak tinggi dengan kadar gulanya iaitu 21.2 gram.
6. Avokado
Kandungan gula: 0.7 gram gula bagi setiap 100 gram buah avokado.
Buah avokado sangat rendah dengan kadar gula. Sebiji buah avokado seberat 150 gram mengandungi 1 gram gula sahaja.
Avokado juga adalah satu-satunya buah yang tinggi dengan lemak sihat.
7. Jambu Batu
Kandungan gula: 8.9 gram gula bagi setiap 100 gram buah jambu batu.
Sebiji jambu batu tanpa kulit dan biji seberat 55 gram mengandungi 4.9 gram gula.
Elakkan pengambilan buah jambu ini bersama-sama asam atau kuah rojak bagi mengelakkan gula tambahan.
8. Betik
Kandungan gula: 7.8 gram gula bagi setiap 100 gram buah betik.
Secawan buah betik yang telah dipotong dengan berat 145 gram mengandungi 11.3 gram gula. Kandungan air dan serat dalam buah betik menjadikan buah ini mengenyangkan.
Maka ia dapat mengawal daripada pengambilan buah ini secara berlebihan.
9. Oren (Limau Manis)
Kandungan gula: 9.6 gram gula bagi setiap 100 gram buah oren (limau manis).
Oren atau limau manis ini boleh dikategorikan sebagai buah-buahan rendah kandungan gula jika dimakan tidak melebihi sebiji sehari. Sebiji oren saiz sederhana seberat 77 gram mengandungi 7.5 gram gula.
10. Jambu Air
Kandungan gula: 2.3 gram gula bagi setiap 100 gram buah jambu air.
Manakala bagi 3 biji jambu air yang mempunyai berat sekitar 150 gram mengandungi 3.5 gram gula.
11. Belimbing
Kandungan gula: 3.2 gram gula bagi setiap 100 gram buah belimbing manis atau besi.
Sebiji buah belimbing bersaiz sederhana (234 gram) mengandungi 7.6 gram gula. Buah belimbing juga tinggi dengan kandungan air yang menjadikan buah belimbing ini mudah mengenyangkan.
12. Manggis
Kandungan gula: 0.5 gram gula bagi setiap 100 gram buah manggis.
Sebiji buah manggis bersaiz besar mengandungi kira-kira 0.2 gram gula sahaja. Buah manggis juga tinggi dengan serat dan air.
Rumusan
Buah-buahan rendah kandungan gula ini adalah pilihan yang lebih baik kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau sesiapa sahaja yang ingin mengawal pengambilan gula harian.
Selain rendah dengan kandungan gula, buah-buahan ini turut boleh membekalkan pelbagai zat lain seperti mineral-mineral penting dan juga vitamin.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019.
- Malaysian Food Composition Database. (1997). 1997 FCD.