Manggis ialah buah-buahan tempatan yang mempunyai rasa masam dan manis serta menyimpan 1001 khasiat yang baik untuk kesihatan kita.
Nama saintifik bagi manggis adalah Garcinia mangostana, daripada keluarga Guttiferae iaitu keluarga yang sama dengan asam gelugur. Buah ini mempunyai kulit luar yang tebal yang berwarna merah hingga ungu gelap apabila sudah masak. Isinya pula berwarna putih dan berjus.
Buah manggis biasanya dimakan segar atau dibuat jus. Masyarakat luar memanggil buah ini sebagai “Ratu Buah”. Biasanya, buah manggis ini dijual bersama-sama buah durian, “Raja Buah” semasa musimnya.

Manggis dikatakan mempunyai kesan penyejukan. Disebabkan itu, mereka yang makan buah durian digalakkan untuk makan manggis untuk menyejukkan badan.
Dari segi khasiatnya pula, kedua-dua bahagian kulit dan isi buah ini mempunyai khasiat. Di sini kami kongsikan khasiat-khasiat manggis termasuklah kulitnya berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
Berikut adalah khasiat manggis untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian perubatan yang telah dijalankan.
1. Mengandungi Nutrien Penting
Bagi 100 gram buah manggis terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 34 kcal
- Protein: 0.6 gram
- Lemak: 1.0 gram
- Karbohidrat: 5.6 gram
- Serat: 5.1 gram
- Kalsium: 7.0 miligram
- Zat besi: 1.0 miligram
- Fosforus: 13 miligram
- Kalium: 45 miligram
- Natrium: 7.0 miligram
- Vitamin C: 4.2 miligram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.03 miligram
- Vitamin B3: 0.3 miligram
Buah manggis boleh dikategorikan sebagai buah yang rendah kalori dan tinggi dengan serat. 100 gram manggis ini boleh membekalkan kira-kira 25% keperluan serat harian bagi setiap rakyat Malaysia.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan daripada rosak akibat daripada radikal bebas dan seterusnya mengurangkan risiko terjadinya penyakit kronik.
Manggis mengandungi sebatian yang mempunyai kesan antioksidan yang kuat iaitu xanton. Kedua-dua bahagian isi dan kulit buah ini menggandungi sebatian antioksidan ini. [2]
Terdapat juga kajian-kajian yang melaporkan bahawa xanton ini turut mempunyai ciri-ciri antiradang, antidiabetes, antiobesiti, antikanser dan juga pelindungan neuro. [3]
Ini menunjukkan sebatian xanton ini memainkan peranan utama dalam khasiat-khasiat buah manggis ini.
3. Bersifat Antiradang
Xanton ini juga turut didapati berperanan dalam mengurangkan keradangan.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menunjukkan xanton ini mempunyai kesan antiradang yang boleh mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser. [3]
Satu kajian yang melibatkan 60 orang peserta mendapati pengambilan jus manggis secara harian selama 30 hari boleh menurunkan paras keradangan dalam badan sebanyak 46% tanpa memberikan kesan sampingan terhadap hati dan buah pinggang. [4]
4. Boleh Merawat Penyakit Kemerosotan Saraf
Penyakit kemerosotan saraf adalah penyakit yang mengganggu aktiviti tubuh badan seperti keseimbangan, pergerakan, percakapan dan fungsi jantung.
Penyakit Alzheimer dan Parkinson adalah dua jenis penyakit kemerosotan saraf yang banyak terjadi.
Buah manggis turut didapati berkhasiat dalam membantu merawat penyakit yang berkaitan dengan kemerosotan saraf dan juga gangguan emosi seperti kemurungan.
Satu kajian semula yang dijalankan membuat kesimpulan bahawa ekstrak kulit manggis dan sebatian xanton boleh mencegah perkembangan penyakit-penyakit ini.
Kesan farmakologi ini dikaitkan dengan sifat atau ciri-ciri antioksidan, antiradang dan perlindungan saraf oleh ekstrak kulit manggis dan sebatian xanton. [5]
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian klinikal yang diperlukan untuk melihat keberkesanannya terhadap manusia dan sejauh mana ia selamat digunakan.
5. Mungkin Boleh Merawat Kanser
Buah manggis juga berpotensi untuk digunakan dalam merawat kanser. Keupayaan ini turut disumbang oleh kandungan xanton yang terdapat dikulit, isi dan juga daun tumbuhan ini.
Satu kajian melaporkan bahawa sebatian xanton menunjukkan ciri-ciri antikanser di beberapa peringkat perkembangan kanser seperti permulaan, perkembangan dan progressi.
Xanton juga boleh merencatkan perkembangan banyak sel-sel kanser seperti kanser payudara, leukimia, kanser paru-paru dan lain-lain. [6]
Kajian-kajian klinikal harus dijalankan untuk menguatkan lagi dapatan kajian-kajian praklinikal ini.
6. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Selain itu juga, buah manggis turut boleh membantu mengawal paras gula darah dengan mengekalkan paras gula darah yang sihat.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 22 orang wanita obes melaporkan bahawa pengambilan ekstrak manggis boleh meningkatkan kepekaan insulin bagi kumpulan yang dirawat dengan ekstrak ini. [7]
Kepekaan insulin yang tinggi membolehkan sel-sel dalam badan menggunakan gula dalam darah dengan lebih efisien dan seterusnya mengurangkan paras gula darah. Paras gula darah yang tinggi boleh membawa kepada penyakit diabetes.
7. Menguatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin C dan serat dalam buah manggis sangat berguna untuk kesihatan sistem imun badan (sistem pertahanan badan).
Vitamin C bertindak sebagai antioksidan dan diperlukan oleh sel-sel sistem imun untuk berfungsi dengan baik. [8]
Manakala serat pula boleh menyokong komuniti bakteria baik dalam usus yang turut berperanan penting bagi mengekalkan kekuatan sistem imun. [9]
Satu kajian yang melibatkan 59 orang individu sihat mendapati pengambilan suplemen manggis selama 30 hari menyebabkan pengurangan keradangan dan meningkatkan jumlah sel-sel imun dengan ketara. [10]
8. Boleh Merawat Masalah Mental
Masalah mental atau penyakit mental seperti kecelaruan bipolar dan skizofrenia adalah antara penyakit mental yang serius dan memerlukan rawatan yang berterusan.
Terdapat kajian yang mendapati penyakit mental ini mempunyai perkaitan dengan tekanan pengoksidaan dan keradangan yang berlaku pada otak dan sistem saraf pusat.
Satu kajian semula melaporkan bahawa kulit manggis berpotensi untuk digunakan sebagai rawatan sokongan terhadap penyakit mental seperti kecelaruan bipolar dan skizofrenia ini. [11]
Kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk mendapatkan satu dapatan yang kukuh sama ada kulit manggis ini benar-benar boleh membantu merawat penyakit mental ini.
9. Baik Untuk Kesihatan Kulit
Buah manggis juga didapati turut bermanfaat untuk mengekalkan kulit yang sihat.
Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak manggis boleh melindungi kulit haiwan tersebut daripada kerosakan akibat sinaran UV. [12]
Manakala, kajian terhadap manusia pula mendapati pengambilan ekstrak kulit manggis sebanyak 100mg sehari selama 3 bulan boleh meningkatkan keanjalan kulit mereka dan mengurangkan pengumpulan sebatian yang mempercepatkan penuaan kulit dan penyakit lain. [13]
Rumusan
Buah manggis adalah buah-buahan tempatan yang mempunyai khasiat yang tersendiri.
Buah ini mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai xanton. Xanton ini memainkan peranan penting dalam khasiat atau kebaikan buah manggis terhadap kesihatan manusia. Kulit manggis juga sebenarnya mempunyai khasiat yang lebih berbanding isinya.
Ringkasnya, buah manggis berguna untuk mendapatkan antioksidan, merawat penyakit kemerosotan saraf, kanser, masalah mental, mengawal paras gula darah, menguatkan sistem imun dan kesihatan kulit.
Rujukan
- Malaysian Food Composition Database. 1997. https://myfcd.moh.gov.my/
- Sukatta, U. et al. (2013). Distribution of major xanthones in the pericarp, aril, and yellow gum of mangosteen (Garcinia mangostana linn.) fruit and their contribution to antioxidative activity. Bioscience, biotechnology, and biochemistry.
- Ovalle-Magallanes, B. et al. (2017). Medicinal properties of mangosteen (Garcinia mangostana L.): A comprehensive update. Food and chemical toxicology.
- Xie, Z. et al. (2015). Daily consumption of a mangosteen-based drink improves in vivo antioxidant and anti-inflammatory biomarkers in healthy adults: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Food science & nutrition.
- Do, H., & Cho, J. (2020). Mangosteen Pericarp and Its Bioactive Xanthones: Potential Therapeutic Value in Alzheimer’s Disease, Parkinson’s Disease, and Depression with Pharmacokinetic and Safety Profiles. International journal of molecular sciences.
- Shan, T. et al. (2011). Xanthones from mangosteen extracts as natural chemopreventive agents: potential anticancer drugs. Current molecular medicine.
- Watanabe, M. et al. (2018). Mangosteen Extract Shows a Potent Insulin Sensitizing Effect in Obese Female Patients: A Prospective Randomized Controlled Pilot Study. Nutrients.
- Ströhle, A., & Hahn, A. (2009). [Vitamin C and immune function]. Medizinische Monatsschrift fur Pharmazeuten.
- Venter, C. et al. (2020). Nutrition and the Immune System: A Complicated Tango. Nutrients.
- Tang, Y. P. et al. (2009). Effect of a mangosteen dietary supplement on human immune function: a randomized, double-blind, placebo-controlled trial. Journal of medicinal food.
- Ashton, M. M. et al. (2019). The Therapeutic Potential of Mangosteen Pericarp as an Adjunctive Therapy for Bipolar Disorder and Schizophrenia. Frontiers in psychiatry.
- Im, A. R. et al. (2017). Protective effects of compounds from Garcinia mangostana L. (mangosteen) against UVB damage in HaCaT cells and hairless mice. International journal of molecular medicine.
- Ohno, R. et al. (2015). Mangosteen pericarp extract inhibits the formation of pentosidine and ameliorates skin elasticity. Journal of clinical biochemistry and nutrition.