Melakukan perubahan diri mungkin mudah untuk sesiapa sahaja melakukannya. Tetapi untuk kekal istiqamah dalam melaksanakan perubahan diri mungkin menjadi satu cabaran yang sukar. Oleh itu, di sini kami kongsikan beberapa panduan atau tips untuk membantu anda istiqamah dalam perubahan diri.
Istiqamah bermaksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus termasuklah urusan agama. Dalam konteks perubahan diri, istiqamah merujuk kepada ketekalan kita berada dalam perubahan tersebut.
Sudah semestinya perubahan tersebut menuju ke arah diri kita yang lebih baik. Banyak contoh yang boleh kita lihat di sekeliling kita di mana ramai yang tewas dalam mengekalkan perubahan diri mereka. Akhirnya, mereka kembali kepada diri mereka yang lama.
Sudah tentu anda yang berada di sini tidak mahu menjadi seperti itu. Justeru itu, ayuh kita lihat beberapa cara atau panduan yang boleh dilakukan untuk istiqamah dalam perubahan diri.
1. Melakukan Perubahan Selama 40 hari
Dalam Islam, sekiranya seseorang itu ingin melakukan sesuatu perubahan secara istiqamah, mereka disarankan untuk melakukan perubahan atau ketaatan itu selama 40 hari berturut-turut.
Amalan ini boleh disandarkan kepada hadis Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa mengikhlaskan dirinya kepada Allah (ibadah dan taat) selama 40 hari maka akan zahir sumber-sumber hikmah daripada hati melalui lidahnya”.
HR. Abu Daud dan Abu Nai’mn dalam Al-Hilyah 5/189
2. Banyakkan Berdoa
Seterusnya, di samping melakukan perubahan diri, anda juga disarankan untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT.
Sesungguhnya kita tidak tahu bila doa kita akan dimakbulkan. Cepat atau lambat, ia adalah ketentuan dan kehendak Allah SWT.
Sebagai seorang hamba dan makhluk yang lemah, kita mestilah terus berdoa dan meminta agar diberikan kekuatan untuk terus istiqamah dalam perubahan diri.
Sudah tentu pelbagai cabaran dan dugaan akan menanti sesiapa sahaja yang ingin memperbaiki diri mereka. Maka, tempat memohon pertolongan dan mengadu yang terbaik sudah semestinya kepada Allah SWT.
3. Iklankan Pada Diri Sendiri
Langkah berikutnya untuk terus istiqamah dalam perubahan diri adalah dengan mengiklankan pada diri sendiri.
Caranya adalah dengan membuat catatan, notis atau poster berkenaan dengan perubahan yang ingin dilakukan. Kemudian, tampal atau letakkan catatan atau poster ini dikawasan yang sering dilihat setiap hari.
Melalui cara ini, kita tidak akan mudah terlupa atau terus leka dibuai perangai yang lama.
Kaedah ini juga boleh mendatangkan semangat yang baru setiap kali kita melihat dan membacanya.
4. Kongsi dengan Orang Tersayang
Panduan yang seterusnya adalah berkongsi berkenaan perubahan yang ingin dilakukan dengan orang yang tersayang. Tidak kira kepada pasangan, anak-anak atau ibu bapa.
Melalui cara ini, pasangan atau ahli keluarga kita boleh mendoakan, menegur atau memberikan kita semangat untuk teruskan usaha dalam melakukan perubahan tersebut.
5. Dorong Orang Lain Untuk Sama-sama Buat
Salah satu kaedah yang boleh membantu kita untuk konsisten dalam melakukan perubahan adalah dengan mendorong orang lain untuk sama-sama melakukan perubahan.
Melalui kaedah ini, secara tidak langsung kita akan berasa malu jika kita tidak melakukan perubahan tersebut.
Bak kata pepatah Inggeris “walk the talk“.
6. Ubah Persekitaran Kita
Langkah seterusnya yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam mengekalkan perubahan diri adalah mengubah persekitaran kita.
Jika kita ingin menjadi seorang yang berjaya, kita harus mewujudkan persekitaran seperti orang yang berjaya.
Contohnya, mewujudkan tempat kerja yang selesa, menghabiskan masa untuk perkara yang berfaedah dan mempunyai rakan-rakan yang positif.
Sekiranya kita kekal berada pada persekitaran yang sama, besar kemungkinan kita akan terpengaruh untuk kembali kepada diri kita yang lama.
Rumusan
Semua orang boleh berubah dan ia tidak mustahil. Setiap insan adalah hebat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Justeru itu, jangan berasa lemah untuk melakukan perubahan diri.
Carilah kekuatan dan keistimewaan diri untuk menjadi seorang yang lebih baik.
Panduan ini boleh dijadikan bimbingan untuk anda terus istiqamah dalam mengekalkan perubahan diri. Percayalah disebalik kesusahan pasti ada kesenangan.