Menjadi seorang pemimpin yang hebat bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi ia tidak mustahil. Bagaimana untuk menjadi pemimpin yang hebat ini?
Kita semua adalah pemimpin. Tidak kiralah sama ada menjadi pemimpin di rumah, pemimpin ditempat kerja atau pemimpin masyarakat.
Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim;
Dari Abdullah bin Umar Radhiyallahu’anhu, Nabi SAW bersabda:

“..Ketahuilah bahawa setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas siapa yang dipimpinnya.”
(HR Bukhari No. 2554 dan Muslim No. 1829)
Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, seseorang individu tersebut mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:
1. Menepati Masa atau Mendahului Masa
Untuk menjadi pemimpin yang hebat, ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin itu adalah sentiasa menepati masa atau mendahului masa.
Seorang pemimpin yang hebat mesti menghargai masa dan tidak membazirkan masa dengan perkara-perkara yang sia-sia.
2. Memberi Manfaat kepada Orang Lain
Seorang pemimpin yang hebat juga sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
Tidak kira sekecil mana pun sumbangannya, pemimpin yang hebat akan sentiasa memberi kepada orang sekelilingnya. Tidak kira dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan ilmu pengetahuan.
Leaders must be close enough to relate to others, but far enough ahead to motivate them.
John C. Maxwell
4. Menjadi Pengikut yang Hebat
Sebelum anda menjadi seorang pemimpin yang hebat, anda mestilah menjadi seorang pengikut yang hebat dengan kata lain anda mempunyai seorang pemimpin atau “role model“.
Pengikut yang hebat mestilah mempunyai ciri-ciri seperti taat, setia dan berbakti kepada pemimpinnya.
Walau bagaimanapun, menjadi pengikut yang taat dan setia bukan bermakna mengikuti apa sahaja arahan yang diberikan walaupun ia bertentangan dengan undang-undang dan syarak.
5. Pencetus Idea
Seorang pemimpin yang hebat juga mestilah seorang yang mempunyai banyak idea dan sering mencari idea baru untuk kemajuan organisasi atau pengikut yang dipimpinnya.
Mereka juga tidak lokek untuk berkongsi idea dengan pengikut-pengikutnya demi kebaikan bersama.
6. Pandai Bekerja
Menjadi seorang pemimpin yang hebat juga bermakna anda harus pandai bekerja dan boleh melaksanakan idea.
Idea tanpa pelaksanaan adalah angan-angan. Oleh itu, anda mestilah pandai melaksanakan idea-idea untuk menjadi satu kenyataan.
7. Pembela Golongan Lemah
Seorang pemimpin yang hebat juga mestilah seorang individu yang boleh menjadi pembela kepada golongan yang lemah.
Pemimpin hebat akan sentiasa membantu golongan yang kurang bernasib baik dan bukannya mengabaikan dan menindas mereka.
8. Pendamai
Kebolehan mendamaikan dua pihak yang bertelingkah adalah salah satu ciri istimewa seorang pemimpin yang hebat.
Mendamaikan dua pihak yang bergaduh memerlukan kebijaksanaan dan tidak semua pemimpin mempunyai kebolehan ini.
9. Memimpin Secara Tauladan
Ramai pemimpin yang gagal memimpin secara tauladan. Untuk anda menjadi seorang pemimpin yang hebat, anda mestilah boleh memimpin secara tauladan.
Ini bermakna anda perlu melakukan perkara tersebut sebelum menyuruh pengikut anda melakukannya. Anda mesti membetulkan diri anda dahulu sebelum membetulkan orang lain.
Pemimpin yang menunjukkan tauladan yang baik boleh menjadi penggerak untuk orang lain bertindak.
10. Pandai Mentadbir
Seorang pemimpin juga haruslah pandai mentadbir. Pengurusan dan pentadbiran adalah aspek yang penting terutamanya dalam sesebuah organisasi.
Kunci untuk menjadi seorang pemimpin yang pandai mentadbir adalah ilmu dan pengalaman.
11. Pemaaf
Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat juga anda perlu bersedia menjadi seorang yang pemaaf dan tidak menyimpan dendam.
Jadilah seorang yang berjiwa besar dan bersedia untuk memaafkan kesalahan orang lain.
12. Penasihat yang Baik
Seterusnya, pemimpin yang hebat juga merupakan seorang penasihat yang baik. Seorang pemimpin yang hebat boleh menasihati pengikut atau orang bawahannya dengan baik bukan dengan cara marah atau menengking.
Menjadi seorang penasihat yang baik juga bermakna pemimpin tersebut mengajak ke arah kebaikan dan bukannya mengajak ke arah keburukan atau kemungkaran.
13. Pendengar yang Baik
Menjadi seorang pemimpin juga bukan bermakna anda tidak boleh mendengar pendapat orang bawahan. Tidak bermakna anda sahaja yang betul.
Seorang pemimpin yang hebat dan berwibawa adalah seorang yang bersedia mendengar pendapat, keluhan atau cadangan daripada orang bawahan mereka.
Mendengar tidak semestinya anda perlu mengikutinya. Tetapi sekiranya cadangan atau idea itu bernas, maka anda boleh mempertimbangkannya.
14. Penampilan yang Anggun
Penampilan diri juga adalah petunjuk kepada keyakinan diri seseorang. Oleh itu, menjadi pemimpin yang hebat anda mestilah mempunyai penampilan diri yang kemas dan anggun.
Walaupun pakaian tersebut hanyalah pakaian biasa, penampilan anda mestilah sentiasa terjaga rapi.
15. Kerohanian yang Mantap
Akhir sekali, seorang pemimpin yang hebat mestilah seorang yang mempunyai kerohanian yang mantap. Seorang pemimpin yang hebat mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan Pencipta.
Rezeki dan kedudukan yang dikecapi itu adalah atas izin Allah SWT. Maka, sehebat mana pun diri kita, kita harus sedar dan sentiasa bermuhasabah diri bahawasanya kita adalah hamba.
Ringkasan
Menjadi seorang pemimpin yang hebat memerlukan suatu keperibadian yang luar biasa. Ciri-ciri yang tersenarai ini adalah sebahagian daripada banyak lagi keperibadian yang ada pada seorang pemimpin yang hebat.
Berusahalah menjadi salah seorang daripadanya.