Tindak balas alahan di muka boleh menyebabkan bibir bengkak, mata bengkak dan mata berair. Sudah pasti ia menyebabkan ketidakselesaan. Jadi, bagaimana untuk menghilangkan tindak balas alahan di muka ini?
Artikel ini akan melihat gejala-gejala dan punca yang menyebabkan tindak balas alahan serta bagaimana untuk menghilangkan atau merawatnya alahan di muka ini.
Alahan yang berlaku di muka adalah perkara biasa kerana kulit pada bahagian ini lebih sensitif berbanding bahagian lain.
Seseorang boleh merawat dan mencegah alahan mereka, sebaik sahaja mereka tahu apa yang menyebabkannya.
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala tindak balas alahan adalah berbeza-beza bergantung kepada bahan yang mencetuskannya (alergen).
Anda mungkin mengalami ruam selepas menggunakan krim muka atau mengalami gatal-gatal di muka selepas menggunakan sabun atau pencuci muka.
Gejala-gejala tindak balas alahan di muka adalah seperti berikut:
- Ruam
- Gatal-gatal
- Bintik-bintik merah pada kulit
- Bengkak pada kulit
- Sensasi membakar atau menyengat pada kulit
- Bibir dan mata bengkak
- Lidah membengkak
- Mata gatal dan merah
- Mata berair
- Kulit menjadi kering dan merekah
Gejala-gejala tindak balas alahan mungkin timbul dalam masa beberapa saat atau minit, atau secara beransur-ansur selama beberapa jam.
Punca-punca
Tindak balas alahan di muka boleh berlaku akibat daripada alergen yang dimakan, disedut atau disapu pada kulit.
Beberapa punca yang boleh menyebabkan tindak balas alahan di muka adalah seperti berikut:
Melalui sentuhan:
- Sabun atau detergen
- Barang solek atau produk kecantikan
- Barang kemas
- Getah atau lateks
- Bahan kimia atau pelarut
- Habuk
- Tumbuhan
Melalui sedutan:
- Debunga
- Haba habuk
- Kulapuk
Melalui makanan:
- Telur
- Kacang tanah
- Gandum
- Susu
- Kerang-kerangan
- Kacang soya
- Ubat antibiotik
- Ubat antiradang bukan steroid seperti aspirin
- Ubat kemoterapi
- Ubat antikonvulsan (ubat sawan)
Rawatan Untuk Menghilangkan Alahan Di Muka?
Rawatan bergantung kepada jenis-jenis alahan dan lokasi serta keterukan gejala-gejala yang dialami.
Rawatan utama adalah seperti berikut:
1. Antihistamin
Antihistamin adalah ubat yang boleh mengurangkan bengkak, kemerahan, ruam dan gatal-gatal pada muka.
Ubat ini juga boleh membantu dengan gejala-gejala seperti mata berair, hidung tersumbat, dan kesukaran bernafas.
Antihistamin boleh didapati dalam bentuk tablet, krim, titisan mata dan semburan hidung.
2. Kortikosteroid
Krim, semburan dan titisan mata yang mengandungi kortikosteron boleh membantu mengurangkan keradangan.
Ubat boleh membuka saluran udara di hidung untuk membantu dengan kesukaran bernafas. Ia juga boleh membantu mengurangkan bengkak yang dialami.
Krim kortikosteroid yang ringan boleh didapati secara belian kaunter di farmasi atau kedai ubat. Manakala, kortikosteroid yang kuat perlu diperolehi melalui preskripsi doktor.
3. Pelembap
Pelembap yang boleh diperolehi secara belian kaunter atau preskripsi boleh membantu melembapkan kulit kering dan mengurangkan kegatalan.
Ia juga membentuk lapisan yang melindungi kulit daripada alergen.
4. Kompres sejuk
Kompres sejuk dan lembap boleh melegakan kegatalan dan mengurangkan keradangan. Ini boleh diletakkan pada kulit apabila perlu untuk mengurangkan ketidakselesaan.
5. Imunoterapi
Untuk alahan yang teruk atau berterusan, doktor mungkin mengesyorkan kaedah rawatan yang dipanggil imunoterapi.
Bagi rawatan ini, seseorang secara beransur-ansur didedahkan kepada dos alergen yang semakin meningkat sehingga 3 tahun supaya badan dapat membiasakannya.
Rawatan ini boleh mengurangkan keterukan dan tempoh gejala-gejala yang berlaku.
Rujukan
- Zimlich, R. (2022). 6 Causes of Allergic Reactions on the Face. verywellhealth.
- American Academy of Allergy Asthma & Immunology. Allergy Shots (immunotherapy).