Apa itu Alahan Soya?
Alahan soya adalah sejenis alahan makanan yang menyebabkan sistem imun bereaksi berlebihan terhadap kacang soya atau produk soya yang dimakan atau diminum.
Bagi kebanyakan orang, memakan soya tidak berbahaya. Tetapi, bagi anda yang meghidap alahan soya, sistem imun anda melihat protein soya sebagai bahan yang berbahaya atau “penceroboh” seperti bakteria atau virus.
Soya adalah salah satu produk yang paling sukar untuk dielakkan oleh orang yang mempunyai alahan. Hal ini demikian kerana, soya banyak digunakan dalam makanan diproses atau perasa.

Siapa yang Boleh Mengalami Alahan Soya?
Alahan soya boleh dihidapi oleh semua orang tidak mengira usia atau latar belakang.
Walau bagaimanapun, bayi dan kanak-kanak kecil adalah golongan yang lebih cenderung untuk mengalami alahan soya.
Anda juga lebih berisiko untuk mengalami alahan soya sekiranya turut mempunyai alahan makanan yang lain.
Ramai bayi atau kanak-kanak kecil yang berjaya pulih daripada alahan ini apabila mereka meningkat dewasa.
Tanda-tanda atau Gejala Alahan Soya
Tanda-tanda dan gejala alahan soya boleh terjadi secara ringan atau teruk. Antaranya adalah seperti berikut:
- Sakit perut
- Gatal-gatal dan bengkak
- Gatal-gatal mulut
- Loya
- Muntah
- Batuk
- Cirit-birit
- Hidung berair
- Ruam
- Berdehit
- Sukar bernafas
- Anafilaksis (tindak balas alahan yang teruk yang boleh mengancam nyawa)
Punca yang Menyebabkan Alahan Soya
Alahan soya berlaku apabila sistem imun badan tersalah menganggap protein tidak berbahaya yang terdapat dalam soya sebagai penceroboh dan mencipta antibodi terhadapnya.
Berikutnya, apabila kacang soya atau produk soya dimakan, sistem imun mengeluarkan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin untuk “melindungi” badan.
Pembebasan histamin ini menyebabkan tindak balas alahan seperti ruam, gatal-gatal dan sebagainya.
Produk-produk yang Mengandungi Soya
Terdapat banyak makanan mengandungi kacang soya atau produk soya.
Soya juga merupakan bahan popular dalam banyak produk alternatif kepada daging kerana ia kaya dengan protein.
Antara contoh makanan yang kaya dengan soya adalah:
- Minyak soya
- Edamame
- Miso
- Tempe
- Tauhu
- Kicap
- Susu soya
- Textured vegetable protein (TVP)
- Yogurt soya
- Ais krim
Selain itu, soya juga mungkin terkandung dalam produk-produk begitu:
- Sup atau air rebusan dalam tin
- Tuna dalam tin
- Daging dalam tin
- Biskut tawar
- Bar tenaga berprotein tinggi
- Susu formula bayi
- Mentega kacang rendah lemak
- Sos
- Sosej
- Daging proses
- Daging burger
- Ubat-ubatan
- Sabun dan pelembap
Bagaimana Alahan Soya di Diagnosis?
Sebelum melakukan ujian alahan, doktor mungkin bertanya mengenai sejarah alahan bagi keluarga anda, gejala-gejala yang berlaku atau tabiat pemakanan anda.
Kemudian, mereka mungkin menjalankan ujian-ujian berikut:
- Ujian cucuk kulit: Doktor akan meletakkan titisan cecair yang mengandungi alergen pada lengan bawah atau belakang seseorang. Doktor kemudian menusuk kulit dengan kuar steril. Jika ujian positif, benjolan kecil yang serupa dengan gigitan nyamuk akan kelihatan selepas 15–30 minit.
- Ujian darah: Ujian darah boleh mengukur jumlah antibodi (IgE) sebagai tindak balas kepada jenis makanan tertentu. Keputusan biasanya mengambil masa beberapa hari untuk tersedia.
- Cabaran makanan oral: Untuk mendiagnosis alahan makanan secara muktamad, doktor anda mungkin mengesyorkan cabaran makanan. Ini mungkin perlu jika sejarah alahan makanan keluarga dan ujian anda tidak sepadan. Semasa cabaran makanan ini, anda akan makan sedikit soya. Doktor kemudian akan mengawasi anda untuk melihat sama ada berlaku tindak balas atau tidak.
Bagaimana Alahan Soya di Rawat?
Jika anda mempunyai alahan soya, mengelakkan kacang soya atau produk mengandungi soya adalah satu-satunya cara untuk mencegah tindak balas.
Adalah penting untuk membaca label makanan dan sentiasa bertanya tentang ramuan dalam hidangan sebelum makan.
Epinefrin
Epinefrin adalah rawatan pertama untuk anafilaksis. Oleh itu, adalah sangat dinasihatkan bagi seseorang yang mengalami alahan soya yang teruk untuk membawa kit epinefrin kecemasan bersama mereka.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Soy Allergy. Cleveland Clinic
- American College of Allergy, Asthma & Immunology. Soy.